English translation not available for this content.
Logo KPT 200x150   Black

KENYATAAN AKHBAR

PEMBERIAN TEMPOH PELANJUTAN BIASISWA KEPADA PELAJAR Ph.D TAJAAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI


Kementerian Pendidikan Tinggi menyokong usaha warganegara Malaysia dalam memperolehi Ijazah Falsafah Kedoktoran (Ph.D) dengan memberi biasiswa kepada calon-calon yang layak. Pada masa yang sama, Kementerian mendengar dan memahami akan timbulnya beberapa kesulitan yang dihadapi oleh pelajar-pelajar tersebut bagi menamatkan pengajian mereka samada dalam atau di luar negara oleh kerana perkara-perkara di luar kawalan mereka.

Selaras dengan matlamat untuk meningkatkan sistem penyampaian Kerajaan yang bercirikan mesra rakyat disamping meneruskan amalan “rakyat didahulukan pencapaian diutamakan”, saya dengan ini memaklumkan bahawa pelajar-pelajar Ph.D di bawah tajaan KPT akan diberi kelonggaran untuk melanjutkan tempoh pengajian mereka berdasarkan garis panduan berikut:

  1. Bagi pelajar di IPT Amerika Syarikat, tempoh pengajian program Ph.D adalah selama 48 bulan. Pelanjutan untuk kali pertama dengan Biasiswa Separa Penuh (bayaran yuran pengajian sahaja) boleh dipertimbangkan untuk tempoh selama 6 bulan lagi. Bagi pelajar yang terdiri daripada pegawai dalam perkhidmatan, sekiranya pelajar masih gagal menamatkan pengajian dalam tempoh tersebut, pelanjutan kali terakhir bagi tempoh 6 bulan lagi boleh dipertimbangkan Tanpa Biasiswa dan Tanpa Gaji. Untuk lain-lain pelajar tiada pelanjutan kali terakhir dibenarkan.

  2. Bagi pelajar di IPT United Kingdom, tempoh pengajian program Ph.D adalah selama 36 bulan. Pelanjutan untuk kali pertama dan kedua masing-masing bagi tempoh 3 bulan dengan Biasiswa Penuh boleh dipertimbangkan. Sekiranya pelajar masih gagal menamatkan pengajian dalam tempoh tersebut, pelanjutan untuk kali ketiga dengan Biasiswa Separa Penuh (bayaran yuran pengajian sahaja) boleh dipertimbangkan untuk tempoh selama 3 bulan lagi. Bagi pelajar yang terdiri daripada pegawai dalam perkhidmatan, pelanjutan kali terakhir bagi tempoh 3 bulan lagi boleh dipertimbangkan Tanpa Biasiswa dan Tanpa Gaji. Untuk lain-lain pelajar tiada pelanjutan kali terakhir dibenarkan.

  3. Bagi pelajar di IPT lain-lain negara, tempoh pengajian program Ph.D adalah selama 36 bulan. Pelanjutan untuk kali pertama dan kedua masing-masing bagi tempoh 6 bulan dengan Biasiswa Penuh boleh dipertimbangkan. Sekiranya pelajar masih gagal menamatkan pengajian dalam tempoh tersebut, pelanjutan untuk kali ketiga dengan Biasiswa Separa Penuh (bayaran yuran pengajian sahaja) boleh dipertimbangkan untuk tempoh selama 6 bulan lagi. Bagi pelajar yang terdiri daripada pegawai dalam perkhidmatan, pelanjutan kali terakhir bagi tempoh 6 bulan lagi boleh dipertimbangkan Tanpa Biasiswa dan Tanpa Gaji. Untuk lain-lain pelajar tiada pelanjutan kali terakhir dibenarkan.

  4. Bagi pelajar di IPT Tempatan, tempoh pengajian program Ph.D adalah selama 36 bulan. Pelanjutan untuk kali pertama dan kedua masing-masing bagi tempoh 6 bulan dengan Biasiswa Penuh boleh dipertimbangkan. Sekiranya pelajar masih gagal menamatkan pengajian dalam tempoh tersebut, pelanjutan untuk kali ketiga dengan Biasiswa Separa Penuh (bayaran yuran pengajian sahaja) boleh dipertimbangkan untuk tempoh selama 6 bulan lagi. Bagi pelajar yang terdiri daripada pegawai dalam perkhidmatan, pelanjutan kali terakhir bagi tempoh 6 bulan lagi boleh dipertimbangkan Tanpa Biasiswa dan Tanpa Gaji. Untuk lain-lain pelajar tiada pelanjutan kali terakhir dibenarkan.

Garis Panduan bagi perkara (i), (ii) dan (iv) adalah berdasarkan Model Penajaan yang dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA).

Pemberian tempoh pelanjutan yang ditetapkan ini tidak boleh dianggap sebagai automatik tetapi ianya berasaskan kepada prinsip-prinsip “merit of the case” dengan mengambil kira kesulitan yang dihadapi oleh pelajar, sokongan dan perakuan daripada universiti serta tempoh pelanjutan yang dipohon oleh pelajar adalah munasabah dan wajar dipertimbangkan.

Permohonan tempoh pelanjutan biasiswa ini bolehlah dikemukakan mengikut saluran berikut:

  1. Bagi pelajar-pelajar yang terdiri daripada pegawai dalam perkhidmatan, permohonan perlu dikemukakan kepada Bahagian Biasiswa, Kementerian Pendidikan Tinggi melalui ketua jabatan/agensi masing-masing;dan

  2. Bagi lain-lain pelajar, permohonan perlu dikemukakan terus kepada Bahagian Biasiswa, Kementerian Pendidikan Tinggi dengan menyertakan dokumen sokongan dan perakuan daripada universiti masing-masing.

Pemakluman ini telah pun dimaklumkan kepada institusi-institusi pendidikan tinggi yang berkenaan dan adalah berkuatkuasa serta merta.

Sekian.

YB DATO’ SERI IDRIS JUSOH
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

14 DISEMBER 2017

  • Last updated on .
  • Hits: 16173
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 24 April 2024, 16:08:46.