English translation not available for this content.
logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

CADANGAN PENUBUHAN PUSAT LATIHAN DAN PENYELIDIKAN AUTOMOTIF DI UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS (UPSI)


Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersedia untuk merealisasikan cadangan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob, Perdana Menteri untuk membangunkan sebuah pusat latihan dan penyelidikan dikenali sebagai Center of Advanced Automotive Research and Training (CAART).

Saranan tersebut adalah signifikan dalam memenuhi keperluan dari segi pembangunan tenaga kerja yang terlatih serta pendidikan dan juga penyelidikan dalam bidang automotif terkini seperti kenderaan hibrid, autonomous, elektrik dan sebagainya.

Sesuai dengan lokasinya yang strategik dan terletak dalam wilayah Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV), Kementerian Pengajian Tinggi yakin bahawa UPSI ialah pilihan terbaik untuk menjayakan hasrat berkenaan.

Usaha ini juga mampu menyumbang kepada aspirasi Kerajaan untuk menjadikan AHTV sebagai hab kepada pembangunan kereta elektrik sekali gus mencapai matlamat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) di samping membantu menjadikan Malaysia sebagai negara neutral karbon menjelang 2050. Penubuhan pusat ini juga dilihat mampu menggalakkan inisiatif industri dalam universiti (inkubator), Program 2U2I, dan program pembelajaran sepanjang hayat.

Dari segi pelaksanaan, inisiatif ini akan dijayakan dengan kerjasama universiti teknikal yang memiliki kepakaran dalam bidang automotif seperti Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), DRB HICOM University dan mana-mana IPT termasuk yang mempunyai kepakaran dalam bidang automotif seperti Automotive Technology Centre (ATeC) di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin dan Centre of Automotive and Manufacturing Technology (POLCAM) di Politeknik Sultan Azlan Shah.

Diharapkan pembangunan pusat ini akan merealisasikan aspirasi usaha sama universiti dan industri seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

DR. NORAINI AHMAD
MENTERI PENGAJIAN TINGGI

13 APRIL 2022

Muat Turun:

  pdf Kenyataan Media Cadangan Penubuhan Pusat Latihan Dan Penyelidikan Automotif Di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) (88 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 15490
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 29 March 2024, 08:50:00.