English translation not available for this content.

logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

MALAYSIA DAN SWITZERLAND PERKUKUH KERJASAMA DAN
PENGANTARABANGSAAN PENDIDIKAN TINGGI


Saya mengadakan Lawatan Rasmi ke Switzerland bermula 6 hingga 9 September 2024 bagi memenuhi jemputan daripada Institut Perdagangan Dunia atau World Trade Institute (WTI) untuk menjadi panel pada World Trade Forum di sini.

Saya juga akan menyampaikan ucapan di Persidangan Meja Bulat “The Role of Higher Education in ASEAN to support the ASEAN Economic Community” di Ibu Pejabat Forum Ekonomi Dunia (World Economic Forum) pada 9 September 2024.

Dalam rangka lawatan hari pertama ini, saya telah mengadakan pertemuan dua hala dengan Professor Dr. Martina Hirayama, State Secretary for Education, Research and Innovation (SERI), Federal Department of Economic Affairs, Education and Research Switzerland.

SERI ialah agensi khusus yang menguruskan perkara mengenai dasar pendidikan, penyelidikan dan inovasi untuk negara. Pelbagai perkara dibincangkan termasuklah menghubungkan inisiatif program pertukaran pelajar, pensyarah dan penyelidik antara kedua-dua negara. Ini boleh menjadi pembuka kepada lebih banyak kerjasama meluas merentasi rantau Asean melalui Malaysia dan juga benua Eropah melalui Switzerland.

Selain itu, Switzerland adalah antara negara yang aktif dalam memperkasakan pendidikan TVET yang bermula daripada peringkat pengajian vokasional. Dua pertiga pelajar Switzerland memilih latihan vokasional berbanding laluan akademik tradisional. Ini juga selari dengan Dasar TVET negara yang sedang dilaksanakan dan ini sangat baik untuk kita saling berkongsi dan bertukar pandangan berkaitan perkara berkenaan TVET.

Saya dan delegasi Malaysia turut mengadakan lawatan ke Universiti Bern dan berjumpa dengan Rektor, Profesor Dr. Virginia Richter. Malaysia berminat dengan model kerjasama erat antara universiti dan industri yang dilaksanakan dengan sangat meluas di sini. Saya turut mengadakan lawatan ke ARTORG Centre for Biomedical Engineering, yang terletak di dalam Universiti Bern yang menumpu kepada kajian kecerdasan buatan (AI) dalam dunia bioperubatan.

Ketika di Bern, lawatan juga diadakan di École Polytechnique Fédérale de Lausanne (EPFL) iaitu sebuah universiti penyelidikan awam yang berada pada kedudukan 26 terbaik dunia. EPFL terkenal dengan bidang penyelidikan serta terdapat lebih 500 makmal di seluruh kampusnya. KPT sedang merangka kolaborasi antara universiti di Malaysia dengan EPFL melalui program yang akan direncana terutamanya dalam bidang AI.

Hari pertama di Switzerland telah menghubungkan banyak perkara dengan pelbagai pihak di sini. Ini juga sebagai langkah awal untuk kita membentuk gagasan kerjasama baharu dalam dunia pendidikan tinggi negara antara Malaysia dengan Switzerland dan juga antara Rantau Asean dengan Benua Eropah.

Lawatan ini turut disertai Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Dato’ Seri Prof. Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; serta Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli.

DR. ZAMBRY ABD KADIR
07 September 2024

Muat Turun:

  pdf Kenyataan Media-Malaysia dan Switzerland Perkukuh Kerjasama dan Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi (97 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 3063
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 11 October 2024, 07:37:56.

sirim-logo