KENYATAAN MEDIA
MESYUARAT BERSAMA EXCO PENDIDIKAN NEGERI WUJUDKAN
KOLABORASI STRATEGIK KPT DAN KERAJAAN NEGERI
Satu Mesyuarat Bersama EXCO Pendidikan Negeri dan Timbalan EXCO Pendidikan Negeri telah diadakan di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pagi tadi. Mesyuarat turut dihadiri bersama oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud serta Pengurusan Tertinggi KPT. Kesemua EXCO dan Timbalan EXCO ini bertanggungjawab berkenaan hal ehwal pendidikan tinggi di Negeri masing-masing.
Ini merupakan mesyuarat rasmi pertama yang diadakan. Dalam mesyuarat tersebut, Kementerian telah berkongsi serta menyalurkan maklumat kepada pihak Kerajaan Negeri berkaitan perkembangan semasa dan hala tuju terkini pendidikan tinggi negara termasuklah perancangan membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPPTM) 2026-2035.
Melalui platform ini juga pihak Kerajaan Negeri berpeluang mengetengahkan isu dalam pelaksanaan operasi pendidikan tinggi di negeri masing-masing, antara lain berkaitan kebajikan mahasiswa, pemerkasaan Institut Pendidikan Tinggi Negeri (IPTN), pengukuhan program TVET, kolaborasi industri dan juga peluang kerjasama dalam mengukuhkan hubungan strategik antara KPT dan Kerajaan Negeri bagi memastikan ekosistem sektor pendidikan tinggi negara pada tahap yang terbaik.
Saya juga memberi komitmen bahawa pihak Kementerian mempunyai perancangan jangka panjang dalam meningkatkan kualiti pendidikan tinggi negara dan ini memerlukan usaha sama yang berterusan dengan Kerajaan Negeri sepertimana yang dilakukan sebelum ini oleh KPT yang mengadakan kerjasama merentasi kementerian. Pertemuan seperti ini juga akan diadakan secara berkala bagi membincangkan perihal pendidikan tinggi negara dari semasa ke semasa.
DR. ZAMBRY ABD KADIR
10 Jun 2024
Muat Turun:
- Last updated on .
- Hits: 3933