Written on . Posted in Media Statement.

English translation not available for this content.
logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

PELANTIKAN NAIB CANSELOR UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU (UMT)


Sukacita dimaklumkan bahawa YBrs. Prof. Dr. Mazlan Abd. Ghaffar dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang baharu, berkuat kuasa mulai 2 Ogos 2021.

YBrs. Prof. Dr. Mazlan Abd. Ghaffar, 59 tahun berkelayakan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Perikanan daripada Universiti Putra Malaysia, Master of Science (Topical Coastal Studies) dari University Of Newcastle, England dan seterusnya memperoleh Doctor of Philosophy (Environmental Fish Biology & Ecophysiology) pada tahun 2001 daripada University of Wales, United Kingdom.

Bersesuaian dengan portfolio beliau dalam bidang penyelidikan dan inovasi, YBrs. Prof. Dr. Mazlan Abd. Ghaffar telah menggerakkan usaha mempergiatkan aktiviti penyelidikan khususnya di UMT melalui pelbagai pencapaian di peringkat institusi antara lainnya seperti pengiktirafan AKUATROP sebagai HiCOE kedua di UMT, mengetuai projek khas LRGS hasil kerjasama dengan beberapa buah Universiti Awam iaitu “Ocean Climate Change: Potential Risk, Impact and Adaptation Towards Marine and Coastal Ecosystem Services in Malaysia” dan mewujudkan Dana Khas Penyelidikan UMT berjumlah RM3 juta.

Beliau turut serta menubuhkan Bahagian Inovasi dan Pengkomersialan di UMT dengan matlamat utama mengenalpasti penyelidikan yang berpotensi untuk didaftarkan sebagai harta intelek dan seterusnya dikomersialkan. Melalui inisiatif ini, sebanyak 105 harta intelek berjaya dihasilkan yang menyumbang kepada penjanaan pendapatan UMT bagi tahun 2020.

Beliau juga menganggotai beberapa pertubuhan antarabangsa seperti Ichthyological Society of Japan, Marine Biology Association of United Kingdom, Asean Fisheries Society dan Taiwan Oceanography Society.

Dengan visi untuk meneraju UMT sebagai Universiti Berfokus yang cemerlang dengan bidang tujahan utama iaitu sains marin, saya percaya bahawa YBrs. Prof. Dr. Mazlan Abd. Ghaffar mampu menggalas tanggunjawab ini dan meneruskan kesinambungan kecemerlangan kepimpinan UMT.

Saya turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YBhg. Dato’ Prof. Dr. Nor Aieni Haji Mokhtar atas jasa bakti beliau menerajui UMT selama enam (6) tahun sejak tahun 2015.

DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD
Menteri Pengajian Tinggi

1 Ogos 2021

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media Pelantikan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) (364 KB)