English translation not available for this content.
logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

PENGGULUNGAN PERBAHASAN TITAH DIRAJA OLEH MENTERI PENDIDIKAN TINGGI 


  1. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua 29 Ahli Parlimen yang telah membahas isu-isu dalam sektor pendidikan tinggi negara.
  1. Saya berkesempatan menggulung dua kelompok isu utama yang dibahaskan.
  1. Pertama, berkenaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, Literasi dan Kebebasan Berpolitik Pelajar. Di bawah tema ini, saya menegaskan: 
    1. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak memberi halangan aktivisme politik dalam kalangan pelajar dan IPT- IPT diminta memberi kerjasama dan menyokong kebebasan tersebut, tanpa sekatan dan halangan;
    2. Pemansuhan Seksyen 15(2)(c) dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dan Seksyen 10(2)(c) dalam Akta Institusi-institusi Pelajaran pada tahun 2019 membenarkan pelajar IPTA melibatkan diri dalam politik kepartian di dalam dan luar kampus, termasuk bertanding sebagai calon pilihan raya;
    3. Bagi meningkatkan literasi mahasiswa terhadap pelaksanaan Undi 18 serta melahirkan mahasiswa yang prihatin dengan sistem pemerintahan negara, pelbagai program pendidikan pengundi telah dilaksanakan kepada mahasiswa dengan kerjasama Akademi Pilihan Raya (APR) dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR);
    4. Sehingga kini, seramai 252,188 orang mahasiswa IPTA telah mengikuti pelbagai bentuk program pendidikan pengundi melalui 200 program yang telah dijalankan.
  1. Kedua, Ekosistem dan Kualiti TVET serta Pembukaan IPT Baharu. Di bawah tema ini saya menyatakan bahawa:
    1. KPT bersetuju bahawa TVET harus menjadi aliran pendidikan tinggi yang mengutamakan teknologi terkemuka dunia dan mampu mempersiap pelajar dengan tuntutan industri;
    2. Program-program TVET dalam sektor pendidikan tinggi sedang diselaraskan kembali agar lebih menekankan apa yang dipanggil sebagai High Tech, High Art dan High Touch;
    3. Data menunjukkan 93.7% lepasan Politeknik pada tahun 2021 berjaya menyertai alam pekerjaan;
    4. Caj atau yuran yang dikenakan bagi program politeknik selaku penyedia utama program TVET, hanyalah sebanyak RM200 satu semester;
    5. Sedangkan yuran sebenar setiap semester adalah kira-kira RM1,850 bagi sijil dan RM2,100 bagi Diploma dan Ijazah Sarjana Muda. Dalam hal ini, Kerajaan sudah memberi subsidi sehingga 90%.
  1. Selanjutnya, terdapat permintaan daripada 12 Ahli Parlimen untuk menubuhkan Politeknik, Kolej Komuniti, fakulti pengajian atau universiti penuh di kawasan masing-masing.
  1. Walau bagaimanapun, KPT tidak dapat memberikan komitmen pembukaan sesebuah IPT di sesuatu kawasan tanpa penelitian mendalam terhadap pelbagai spektrum keperluan, antaranya:
    1. Permintaan semasa yang harus merangkumi keperluan dari perspektif pelajar dan masyarakat semasa yang mesti seimbang dengan saiz populasi;
    2. Kecukupan dan kesediaan bekalan tenaga pakar dalam sesuatu bidang;
    3. Keupayaan menyediakan dan menyelenggara prasarana dengan baik;
    4. Kemandirian kewangan;
    5. Prospek dan jenis program yang hendak ditawarkan;
    6. Risiko pertindihan (overlapping) dan sebarang ketidakpadanan (mismatch) dengan IPT serta program sedia ada.
  1. KPT merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas perhatian dan saranan yang ditunjukkan oleh semua Ahli Parlimen sepanjang sesi Perbahasan Titah Diraja kali ini.

DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

22 FEBRUARI 2023

Muat Turun:

  pdf Kenyataan Media Penggulungan Perbahasan Titah Diraja Oleh Menteri Pendidikan Tinggi.pdf (107 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 8507