English translation not available for this content.
logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

PENUBUHAN KAMPUS CAWANGAN UNIVERSITI TSUKUBA DI MALAYSIA


  1. Hari ini, saya mewakili Kerajaan Malaysia telah menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) antara Kerajaan Malaysia dengan Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi (MEXT) dan Kementerian Luar Negeri Jepun berhubung penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia.
  1. Cadangan penubuhan sebuah kampus cawangan institusi pendidikan tinggi Jepun di Malaysia telah diutarakan oleh Kerajaan Malaysia pada tahun Kerajaan Jepun telah menyambut baik cadangan tersebut dan seterusnya mencadangkan supaya kampus cawangan Universiti Tsukuba ditubuhkan di Malaysia.
  1. Universiti Tsukuba yang ditubuhkan pada tahun 1872 merupakan salah satu daripada 86 buah universiti awam dan tersenarai dalam 10 universiti terbaik di Jepun.
  1. Bagi merealisasikan cadangan penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia, kedua-dua buah negara telah bersetuju untuk memeterai suatu MoC antara Kerajaan Malaysia dengan Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi (MEXT) dan Kementerian Luar Negeri Jepun.
  1. MoC tersebut adalah sebagai asas persetujuan yang merangkumi objektif, ruang lingkup dan bentuk kerjasama, serta perincian komitmen kewangan oleh kedua-dua buah negara.
  1. Penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia bakal melakar sejarah tersendiri kerana ia adalah kampus cawangan universiti Jepun yang pertama ditubuhkan di luar negara berkenaan.
  1. Pemilihan Malaysia sebagai lokasi penubuhan kampus cawangan universiti awam Jepun pertama di dunia merupakan satu pengiktirafan kepada pengurusan pendidikan tinggi negara dan hubungan dua hala yang erat antara Malaysia dan Jepun.
  1. Penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia akan memberi peluang dan menarik lebih ramai pelajar antarabangsa untuk datang dan melanjutkan pelajaran di Malaysia.
  1. Selain itu, penubuhan kampus cawangan ini juga dilihat sebagai tanda penghargaan Kerajaan Malaysia kepada Kerajaan Jepun dan kesinambungan terhadap Dasar Pandang ke Timur yang sudah mencecah 40 tahun.
  1. Semoga pemeteraian MoC tersebut akan memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara dan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bakat dan pengetahuan global dapat dicapai.

DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

14 MAC 2023

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media MoC Penubuhan Universiti Tsukuba.pdf (301 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 5834