KENYATAAN MEDIA
PERSIDANGAN ANTARABANGSA HCI 2025, RIYADH: PLATFORM
MEMPERKASA PERANAN MALAYSIA DALAM PENDIDIKAN TINGGI
Saya telah menghadiri edisi kedua Persidangan Antarabangsa Human Capability Initiative (HCI 2025) yang berlangsung pada 13–14 April 2025 di Riyadh, Arab Saudi.
Program menyaksikan kehadiran saya sebagai panelis forum buat kali kedua atas jemputan rasmi Kerajaan Arab Saudi bagi menyertai persidangan berprestij yang berlangsung di bawah naungan Perdana Menteri Arab Saudi, Yang Amat Mulia Putera Mahkota Muhammad bin Salman, bertemakan “Beyond Readiness.”
Sebagai pengiktirafan terhadap komitmen Malaysia dalam Pembangunan Keupayaan Insan, saya telah turut menyertai sesi Perbincangan Meja Bulat Menteri yang menghimpunkan menteri-menteri pendidikan tinggi dari lebih 20 buah negara. Sesi ini dipengerusikan oleh Profesor Fernando Reimers, Pengarah Global Education Innovation Initiative dari Universiti Harvard.
Dalam sesi tersebut, saya berkongsi beberapa inisiatif utama Malaysia dalam mendepani era kecerdasan buatan (AI), antaranya pelaksanaan program pembelajaran dalam talian ‘AI untuk Rakyat’, penubuhan fakulti AI pertama negara, dan pembentukan Konsortium AI yang menyatukan kepakaran universiti-universiti tempatan. Saya turut menekankan pentingnya nilai etika dan kemanusiaan dikekalkan dalam kemajuan teknologi agar pembangunan yang berlaku bersifat seimbang dan inklusif.
Selain menyertai perbincangan ilmiah, saya juga mengadakan pertemuan dua hala bersama TYT Dr. Lee Ju-ho, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Korea Selatan. Pertemuan ini penuh simbolik bersempena ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik Malaysia-Korea Selatan dan sebagai menyusuli lawatan rasmi YAB Perdana Menteri ke negara tersebut pada November lalu.
Kedua-dua pihak bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja Bersama di peringkat pegawai di kedua-dua Kementerian untuk menggerakkan Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani sebelum ini. Persetujuan memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pendidikan tinggi juga turut dicapai termasuk pelaksanaan program mobiliti pelajar dan pensyarah, penglibatan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), Politeknik serta Kolej Komuniti dalam kolaborasi teknikal, dan penglibatan syarikat multinasional Korea dalam pelaksanaan program ‘Work-based Learning’ (WBL) di Malaysia.
Saya turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pendidikan Arab Saudi, TYT Dr. Yousef bin Abdullah Al-Benyan bagi membincangkan kolaborasi antara Malaysia dan Arab Saudi terutamanya dalam program perkongsian tenaga mahir dan teknologi terkini dalam bidang pendidikan tinggi selain daripada model pengurusan universiti yang sedang dibangunkan oleh Kerajaan Arab Saudi.
Selain itu, saya sempat mengadakan perbincangan dengan beberapa menteri pendidikan yang lain iaitu Menteri Pendidikan Nigeria, TYT Dr. Maruf Tunji Alausa, Menteri-Menteri Negara bagi Pendidikan Tinggi, Buruh dan Pembangunan Kemahiran Maldives, TYT Ahmed Shafeeu dan Menteri Pendidikan dan Latihan Vokasional Zanzibar, PYT Lela Muhamed Mussa. Kesemuanya menyatakan hasrat untuk melihat model pendidikan tinggi Malaysia untuk mereka ambil dan aplikasi dalam negara mereka termasuklah bidang TVET. Masing-masing kagum dengan pembangunan pendidikan tinggi Malaysia yang bergerak selari dengan pembangunan arus semasa dan perancangan yang baik dari segi pelaksanaan dasar pendidikan.
Sebagai sebahagian daripada agenda utama HCI 2025, saya diundang sebagai panelis dalam forum bertajuk ‘Human Capabilities as an Economic Catalyst – Unlocking Potential for Prosperity’, yang menjadi pentas perbincangan global mengenai potensi modal insan sebagai pemacu utama kemakmuran ekonomi.
Dalam forum ini, saya berkongsi tentang 10 ‘shifts’ yang KPT akan lakukan dalam Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025-2035 nanti yang turut melibatkan beberapa perkara tentang AI. Kita juga memperkenalkan konsep ‘unbundling’ iaitu pemecahan struktur program akademik kepada komponen kecil seperti ‘micro-credentials’, kursus individu, modul pembelajaran, latihan industri, dan projek. Ini sesuatu yang mungkin baharu dan boleh diperkongsikan dengan negara-negara lain agar pelajar diberi lebih fleksibel dan pilihan terbuka dengan kursus yang mereka ambil.
Dengan penyertaan lebih 300 jurucakap dari lebih 100 negara serta kehadiran lebih 12,000 peserta, HCI 2025 menjadi medan penting untuk Malaysia terus memperkukuh jaringan antarabangsa serta memperlihatkan usaha serius negara dalam membina ekosistem pendidikan tinggi yang mampan, inovatif dan berdaya saing global.
Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memperkukuh jaringan antarabangsa dan menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau yang berdaya saing di peringkat global.
DR. ZAMBRY ABD KADIR
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI
15 April 2025
Muat Turun:
- Last updated on .
- Hits: 3696