English translation not available for this content.
logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

SAMBUTAN DEKAD BAHASA KEBANGSAAN DAN PENGANUGERAHAN TOKOH AKADEMIK BAHASA MELAYU
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI TAHUN 2022


  1. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada hari ini telah mengadakan Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan dan Penganugerahan Tokoh Akademik Bahasa Melayu, KPT Tahun 2022 dengan tema, Bahasa Melayu Melestarikan Budaya Keilmuan. Majlis ini diadakan bagi meraikan kemuncak sambutan dekad bahasa dan mengiktiraf peranan ahli-ahli akademik di Universiti Awam, Politeknik dan Kolej Komuniti dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu.
  1. Dekad Bahasa Kebangsaan merupakan antara program tahunan kerajaan yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kecintaan terhadap bahasa kebangsaan. Pelaksanaan program ini mengambil pendekatan merakyatkan bahasa kebangsaan dan sastera Melayu dengan penglibatan masyarakat pelbagai kaum. Justeru, KPT akan terus menyokong usaha memartabatkan bahasa Melayu dan memastikan semua warga Kementerian terus bersama-sama menyemarakkan penggunaan bahasa kebangsaan ini.
  2. KPT juga pada hari ini secara rasminya mengumumkan penerima Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu (ATABM), Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu (ATHABM) dan Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal bagi tahun 2022. Anugerah ini merupakan satu daripada usaha untuk mengiktiraf ahli akademik di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) yang telah memperlihatkan dampak penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
  1. Sejak penganjurannya pada tahun 2012, seramai lapan penerima anugerah telah dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Bahasa Melayu. Tokoh-tokoh ini terdiri daripada ahli-ahli akademik di UA dengan pelbagai latar belakang bidang kepakaran. Manakala seramai dua tokoh telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal yang terdiri daripada pensyarah politeknik dan kolej komuniti.
  1. Setelah melalui penilaian yang komprehensif oleh Jawatankuasa Teknikal ATABM, penerima anugerah tokoh bagi setiap kategori untuk tahun 2022 adalah seperti yang berikut:

KATEGORI

PENERIMA

PENCAPAIAN GEMILANG

Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu

 

Prof. Dr. Mohammad Nazri Bin Mohd Jaafar

 

Profesor

Fakulti Kejuruteraan Mekanikal

Universiti Teknologi Malaysia

§  Tokoh berjaya mengangkat kedudukan dan martabat bahasa Melayu dalam bidang Aeronautik yang mana bidang ini lazimnya bersumberkan bahasa Inggeris. Tambahan pula, bidang aeronautik merupakan bidang yang berkembang pesat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seiring dengan teknologi 4IR dan 5G.  

§  Karya terjemahan Tokoh sejak hampir tiga dekad yang lalu dalam bidang Aeronautik telah menjadi rujukan para siswa dan bacaan masyarakat umum.

§  Sumbangan dan kejayaan Tokoh dalam menjalankan penyelidikan berkaitan dengan Aeronautik dalam bahasa Melayu merupakan usaha yang perlu dibanggakan oleh negara.

§  Menghasilkan penerbitan yang berkualiti dan berimpak dalam bentuk buku, karya terjemahan dan makalah jurnal dalam bahasa Melayu.

§  Dengan latar belakang pendidikan luar negara dalam bidang aeronautik Tokoh ini dengan beraninya memikul tanggungjawab untuk memperkenalkan bidang ini dalam bahasa Melayu.

§  Tokoh telah mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan oleh Akademi Sains Malaysia sebagai Top Research Scientist Malaysia (TRSM) pada tahun 2014.

Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu

Prof Madya Dr. Abdul Halim Bin Abdullah

 

Profesor Madya

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan

Universiti Teknologi Malaysia

 

§  Berpengalaman selama sebelas tahun sebagai ahli akademik yang berlatarbelakangkan Pendidikan Matematik. Sebagai ahli tenaga muda, tokoh telah berjaya memacu Pendidikan Matematik ke tahap membanggakan dengan menggunakan bahasa Melayu.

§  Kemampuan tokoh harapan dalam meraih geran penyelidikan dan seterusnya menerbitkan buku-buku ilmiah sangat memberangsangkan.

§  Tokoh juga banyak menulis dalam jurnal-jurnal berimpak dan penulisan popular seperti majalah dan akhbar.

§  Mendapat pengiktirafan dan sanjungan berasaskan ilmu Pendidikan Matematik malah berjaya membuat perbandingan Pendidikan Matematik antara Malaysia dengan Korea.

§  Tokoh telah banyak membuat penyeliaan tesis dalam bahasa Melayu bagi graduan sarjana di bawah seliaan beliau.

Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal

Ts. Dr. Izwah binti Ismail

 

Timbalan Pengarah (Akademik)

Politeknik Ungku Omar

 

§  Berpendidikan dalam bidang Kejuruteraan Elektrik, beliau  antara penggerak dan penyelidik keperluan program baharu dan penjajaran program sedia ada. Ini adalah untuk memastikan program pengajian yang ditawarkan oleh Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia kekal relevan dan menerapkan penggunaan teknologi semasa.

§  Giat memperkasa dan memartabatkan Bahasa Melayu melalui penyelidikan dan penerbitan dalam bidang pendidikan teknikal dan vokasional. 

§  Ketokohan dan kepimpinan beliau amat dikagumi dan menjadi contoh bukan sahaja di peringkat politeknik malah dalam kalangan agensi dan jabatan lain. Beliau pernah meraih Anugerah Setiausaha Kerajaan Negeri Perak pada tahun 2011 dan Naib Johan KIK Politeknik Malaysia pada tahun 2019.

§  Menerbitkan makalah dalam jurnal dan prosiding  berwasit serta kertas kerja teknikal di seminar kebangsaan dan antarabangsa.

§  Aktif  berkolaborasi dengan penyelidik  Iain bagi menghasilkan buku ilmiah berbahasa Melayu.

§  Dari segi penglibatan profesional, beliau telah dilantik sebagai panel pemilih biasiswa, dana penyelidikan, panel kesepakaran, fasilitator Profit Pengajar TVET TiPS, penilai kertas kerja serta editor bagi jurnal terpilih di dalam dan luar negara.

§  Aktif dengan aktiviti bersama komuniti seperti merekacipta robot ringkas bagi tujuan pembelajaran di Tadika Kemas Negeri Perak.

§  Tokoh ini mempunyai inisiatif berterusan dan hala tuju yang jelas dalam usaha beliau memartabatkan Bahasa Melayu agar dilaksanakan dengan sebaik mungkin supaya lebih berstrategi, berfokus dan realistik 

  1. Kementerian mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima anugerah dan berharap semoga penganugerahan ini akan memberi semangat kepada semua ahli akademik di Institusi Pendidikan Tinggi Awam untuk terus memartabatkan bahasa Melayu. Kementerian juga berharap agar anugerah ini dapat diteruskan pada tahun 2023 dan tahun-tahun akan datang, seterusnya menjadi pemangkin kepada kelestarian bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
9 DISEMBER 2022

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media KSU Dekad Bahasa Kebangsaan.pdf (124 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 10709
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 April 2024, 16:56:01.