English translation not available for this content.
logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

UNIVERSITI TUN HUSSEIN ONN MALAYSIA (UTHM) DISERU BANTU PEMETAAN EKOSISTEM PENDIDIKAN TVET NEGARA


  1. Satu lawatan kerja ke Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Batu Pahat, Johor telah diadakan pada 8 Mei 2023. Lawatan ini merupakan lawatan kerja ke universiti di bawah Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) kedua selepas Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada 5 Mei 2023 yang lalu.
  1. Lawatan kerja tersebut dimulakan dengan tinjauan ke tapak Pameran Berimpak Tinggi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) UTHM, perkembangan aktiviti pelajar serta sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTHM dan pihak-pihak industri iaitu Elsevier dan Fuzi Dream Sdn Bhd.  YBhg. Prof. Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, Naib Canselor UTHM kemudiannya telah membuat pembentangan pencapaian serta hala tuju UTHM termasuklah pelan pelaksanaan inisiatif Global Technopreneur University 2030 (GTU 2030).
  1. Saya telah tekankan bahawa pembangunan dan kemajuan negara bergantung kepada bagaimana TVET dijayakan. Sebagai universiti sulung dan salah sebuah daripada empat (4) universiti di bawah MTUN, adalah menjadi hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk melihat UTHM membantu pemetaan ekosistem TVET negara.
  1. Antara peranan yang boleh dimainkan oleh UTHM bersama-sama dengan universiti lain di bawah MTUN adalah dengan memperkasakan program-program yang ditawarkan, termasuklah pengenalan TVET aras tinggi (HTVET) dan program lepasan ijazah TVET.
  1. KPT akan mengkaji keperluan menambah bilangan kemasukan pelajar dalam TVET di universiti-universiti di bawah MTUN sesuai dengan keperluan semasa negara.
  1. Bagi pihak KPT, saya telah sarankan agar UTHM terus meningkatkan kerjasama dengan pihak industri terutamanya dalam penyelidikan serta memperhebat program kelestarian dan perantisannya bagi mencapai hala tuju yang telah digariskan, khususnya dalam bidang tujahannya yang berasaskan teknologi lestari dan pengangkutan.
  1. Turut hadir YBhg. Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT; YBhg. Dato’ Sri Ibrahim Ahmad, Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM; YBhg. Dato' Prof. Dr. Norzaini Azman, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Pembangunan); pengurusan kanan serta wakil pelajar UTHM.

DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

8 MEI 2023

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Diseru Bantu Pemetaan Ekosistem Pendidikan TVET Negara.pdf (152 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 5531
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Thursday 18 April 2024, 14:41:25.