English translation not available for this content.
logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

USAHA MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU


Sesuai dengan aspirasi Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob agar Bahasa Melayu dimartabatkan di peringkat antarabangsa, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mencadangkan kepada Kerajaan untuk menubuhkan Jawatankuasa Induk Pengembangan Bahasa Melayu Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Negara-negara ASEAN.

Jawatankuasa ini antara lain berperanan untuk merancang pemetaan program kerjasama dalam pelbagai aktiviti seperti penyelidikan, pengembangan bahasa Melayu di IPT di negara-negara ASEAN dan program terjemahan serta adaptasi karya-karya ilmu.

KPT turut mengenal pasti 19 universiti di Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina yang berpotensi untuk diadakan program-program kolaborasi dengan universiti tempatan.

Dalam hal ini, KPT telah melantik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) sebagai Sekretariat bagi memulakan kerjasama strategik untuk mengembangkan aspek-aspek penting tamadun alam Melayu ke peringkat antarabangsa.

Dengan jumlah kira-kira 300 juta orang penutur Bahasa Melayu di negara-negara induk Bahasa Melayu dan di negara-negara ASEAN lain yang mempunyai komuniti berbahasa Melayu, program pengembangan Bahasa Melayu di IPT di negara-negara ASEAN ini dapat melonjakkan taraf dan peranan Bahasa Melayu sebagai bukan sahaja lingua franca bahkan sebagai bahasa ilmu dan bahasa bernilai ekonomi di rantau ini.

DR NORAINI AHMAD
MENTERI PENGAJIAN TINGGI

7 MAC 2022

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media Usaha Memartabatkan Bahasa Melayu (118 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 13588
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 29 March 2024, 08:50:00.