English translation not available for this content.
logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI KOMITED BANTU PELAN PEMULIHAN NEGARA


Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa komited untuk membantu Pelan Pemulihan Negara sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik COVID-19 seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin baru-baru ini.

Dalam Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) yang diumumkan sebelum ini, kerajaan telah memperuntukkan RM80 juta bagi meningkatkan kapasiti katil dan peralatan ICU bagi rawatan COVID- 19 di tiga buah Hospital Pengajar Universiti (HPU) iaitu HPU Universiti Teknologi MARA, HPU Universiti Putra Malaysia dan HPU Universiti Kebangsaan Malaysia.

Peruntukan tambahan ini juga akan dapat memperkasakan peranan HPU yang telah sedia bekerjasama dengan pihak KKM dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19 sejak tahun 2020. Sejak bulan Februari 2020 sehingga 31 Mei 2021, lima

(5) buah HPU telah terlibat secara langsung dalam merawat pesakit COVID-19 iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Sultan Ahmad Shah Medical Centre @IIUM (SASMEC @IIUM) dan Hospital Universiti Teknologi Mara (HUiTM) Sungai Buloh. Kesemua HPU ini berstatus hospital hibrid COVID-19 yang mana pesakit-pesakit bukan COVID-19 masih terus mendapatkan perkhidmatan rawatan dan perubatan di sini.

Selain daripada itu, KPT juga giat membantu kerajaan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) melalui pewujudan Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pendidikan Tinggi (PPV IPT).

Ketika ini, terdapat 18 PPV IPT telah beroperasi di seluruh negara. Empat lagi PPV IPT akan dibuka bermula 21 Jun 2021 iaitu di Universiti Sains Malaysia (USM), Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM, UiTM Shah Alam dan Hospital UiTM Puncak Alam.

Sebanyak 19 lagi PPV IPT dalam perancangan untuk dibuka menjadikan jumlah keseluruhan PPV IPT sebanyak 41 buah. Sehingga 11 Jun lalu, seramai 134,932 orang telah menerima vaksin di PPV IPT.

Peruntukan yang disediakan kepada KPT ini jelas menunjukkan keprihatinan pihak Kerajaan dalam usaha berterusan mempertingkatkan kapasiti kesihatan awam di negara ini. KPT juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Covid-19 Immunisation Task Force (CITF) atas peluang kerjasama yang diberikan kepada pihak IPT untuk bersama-sama menangani wabak COVID-19 di negara ini. KPT yakin dan komited bahawa inisiatif bersama ini mampu melandaikan jangkitan COVID-19.

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI
17 Jun 2021

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media KPT Komited Bantu Pelan Pemulihan Negara (85 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 12764
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 27 March 2024, 16:20:33.