English translation not available for this content.
Logo KPT 200x150   Black

KENYATAAN MEDIA

PELANCARAN INFRASTRUKTUR SIBER JALUR LEBAR BERKELAJUAN TINGGI 100 GIGABIT SESAAT MYREN-X OLEH KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI


  1. Bagi memenuhi keperluan pembelajaran dan penyelidikan secara lestari kepada Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dalam negara, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan melancarkan infrastruktur siber jalur lebar berkelajuan tinggi 100 Gigabit sesaat MYREN-X pada 4 Oktober 2017 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.

  2. Pelancaran ini adalah selaras dengan pengumuman oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak semasa membentangkan Bajet 2017 yang mengumumkan bahawa Kerajaan akan melaksanakan inisiatif meningkatkan kapasiti jalur lebar di Universiti Awam (UA) kepada maksimum 100 Gbps.

  3. MYREN-X merupakan sebuah infrastruktur siber rangkaian Giganet serta prasarana komputasi dan storan yang didedikasikan khas untuk aktiviti pembelajaran dan penyelidikan.

  4. MYREN-X merupakan lanjutan kepada MYREN yang ditubuhkan berikutan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Julai 2003 dan telah dilancarkan dengan rasminya pada 28 Mac 2005. MYREN yang pada permulaannya hanya menghubungkan 12 Universiti Awam (UA), kini meluaskan lagi rangkaian hubungan sehingga meliputi 150 institusi, terdiri daripada 20 UA, 4 Universiti Swasta, 31 Politeknik, 85 Kolej Komuniti, 5 hospital/ fakulti perubatan dan 5 agensi KPT.

  5. MYREN Network Sdn Bhd (MNSB) adalah satu konsortium yang diterajui oleh UiTM Holdings Sdn. Bhd. akan mengendalikan projek ini yang akan membolehkan 150 institusi tersebut mendapat akses secara terus kepada rangkaian pembelajaran dan pengajaran serta penyelidikan antarabangsa yang diliputi oleh jaringan Trans-Eurasia Information Network (TEIN). Ini termasuklah institusi-institusi luar negara yang disambung ke TEIN melalui Pan-European Research and Education Network (GEANT), INTERNET2 USA, Korea Advanced Research Network (KOREN), China Education dan Research Network (CERNET), Japan Science Information Network (SINET) dan jaringan-jaringan penyelidikan di negara-negara ASEAN.

  6. MYREN-X akan melonjak pelaksanaan program Massive Open Online Courses (MOOC), JukeBox, Integrated Cummulative Grade Point (iCGPA), 2 years University-2 years Industry (2u2i) yang telah dilaksanakan di Malaysia di bawah inisiatif Redesigning Higher Education.

  7. MYREN-X bukan sahaja akan membolehkan rakyat Malaysia mengakses pendidikan di luar negara secara dalam talian, bahkan membolehkan juga rakyat luar negara mengakses pendidikan di Malaysia justeru membawa pendidikan Malaysia ke luar negara. Penyelidik di Malaysia perlu mendapat akses kepada komuniti penyelidik dan juga akses kepada makmal-makmal penyelidikan antarabangsa. Pada masa ini tahap akses sangat terhad kerana ketiadaan infrastruktur rangkaian yang dimiliki sendiri oleh penyelidik dan KPT. Bahkan akses sesama universiti dalam negara juga amat terhad.

  8. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) menjadi teras ke arah mentransformasi dan meningkatkan mutu pendidikan tinggi negara. Ekosistem penyelidikan Malaysia perlu ditambah baik secara optimum ke arah pendekatan dan teknologi ICT terkini seperti Cloud Computing, Big Data Analytics, Grid Computing, Global Research Network dan Genome. Para penyelidik tempatan dapat bekerjasama dengan penyelidik luar negara dengan memanfaatkan kelajuan rangkaian Giganet yang khusus dengan berhubung menggunakan teknologi sidang video, memindahkan data elektronik yang besar dan menggunakan kemudahan komputer berprestasi tinggi di luar negara.

Kementerian Pendidikan Tinggi
Putrajaya


4 Oktober 2017

  • Last updated on .
  • Hits: 20932
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 29 March 2024, 08:50:00.