Pelantikan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM)

English translation not available for this content.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini mengumumkan pelantikan YBrs. Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan sebagai Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) baharu berkuat kuasa mulai 4 Oktober 2019 hingga 3 Oktober 2022. Pelantikan ini dibuat berdasarkan syor Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor Universiti Awam terdiri daripada panel bebas yang dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Zarinah Anwar dan dianggotai oleh YBhg. Tan Sri Wahid Omar, YBhg. Tan Sri Dato' Dr. Lin-See Yan, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Mohamad Abdul Razak dan YBrs. Dr. Andrew Aeria pada 4 September 2019. Panel ini juga dianggotai oleh Pengerusi Lembaga Gabenor USM dan dua Wakil Senat USM.

Pelantikan beliau sebagai Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) adalah berdasarkan kepada kepakaran, pengetahuan, pengalaman dan pencapaian beliau semasa memegang jawatan pentadbiran utama iaitu, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Universiti Malaya (UM) selama 6 tahun dan jawatan-jawatan sebelumnya sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Kementerian percaya beliau akan dapat memacu kecemerlangan Universiti Sains Malaysia (USM) ke tahap yang lebih tinggi.

LATAR BELAKANG DAN PENGALAMAN

YBrs. Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berasal dari Kuala Lumpur dan dilahirkan pada 9 Julai 1975 (44 tahun). Beliau merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dari University of Manchester Institute of Science and Technology (UMIST), United Kingdom pada tahun 1997 dan seterusnya melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana (MEngSc) di Universiti Malaya pada tahun 1999. Pada tahun 2007, beliau memperoleh Ijazah Kedoktoran (Integrated Optical Devices) dari University of Southampton, United Kingdom.

Sebagai Pengurusan Tertinggi UM beliau terlibat dalam meningkatkan kecemerlangan dan ketampakan UM di peringkat global yang meningkatkan kedudukan UM di tempat ke-70 dalam kedudukan 100 terbaik dunia berdasarkan Quacquarelli Symonds (QS) World University Ranking 2020. Universiti Malaya juga telah dinobatkan berada di kedudukan ke-10 di kalangan universiti-universiti global dalam bidang kejuruteraan. Kejayaan ini telah diumumkan oleh pihak U.S. News dalam penerbitan U.S. News 2018 Best Global Universities Ranking.

Semasa memegang portfolio Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), antara inovasi yang telah dilaksanakan oleh beliau adalah pengurusan air dan sisa, penyelidikan serta pendidikan bagi pembangunan yang mampan sehingga memperoleh pengiktirafan Most Sustainable (Greenest) City Centre University in Asia oleh UI Green Metric pada tahun 2017 dan 2018. Selain itu, YBrs. Profesor Dr. Faisal Rafiq juga telah berjaya mengkomersilkan produk penyelidikan melalui spin-off beliau Flexilicate Sdn. Bhd. Justeru, KPM berharap agar pelantikan ini dapat meneruskan kesinambungan pencapaian dan sumbangan beliau untuk kecemerlangan USM dan seterusnya merealisasikan visi USM untuk menjadi Universiti Penyelidikan yang terkemuka di peringkat global.

KPM dengan ini ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YBhg. Datuk Profesor Dr. Asma Ismail, mantan Naib Canselor USM atas khidmat bakti dan kepimpinan beliau sepanjang memegang jawatan sebagai Naib Canselor USM mulai 4 Oktober 2016 hingga 3 Oktober 2019. YBhg. Datuk Profesor Dr. Asma Ismail kini menggalas tanggungjawab yang lebih besar sebagai Pengerusi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM).

JABATAN PENDIDIKAN TINGGI
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
2 Oktober 2019

  • Last updated on .
  • Hits: 12316
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Thursday 25 April 2024, 18:19:27.