English translation not available for this content.
logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

PELANTIKAN YBHG. PROF. DATO’ DR. MOHAMMAD SHATAR BIN SABRAN SEBAGAI KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF, AGENSI KELAYAKAN MALAYSIA


Sukacita dimaklumkan bahawa YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang baharu, berkuat kuasa mulai 8 Februari 2021 sehingga 7 Februari 2024. Beliau menggantikan YBhg. Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar yang telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT) pada1 Februari lalu.

Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar, 54 tahun, mempunyai Diploma dalam bidang General Studies di Indiana University of Bloomington, Amerika Syarikat. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian pada peringkat Sarjana Muda dan Sarjana dalam bidang Community and Regional Planning di Iowa State University. Beliau juga memiliki Ijazah Kedoktoran dalam bidang Leadership and Community Development di University of Missouri Amerika Syarikat.

Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar memulakan karier dalam bidang pendidikan di Jabatan Sains Sosial, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 1994 sebagai tutor, sebelum dilantik sebagai Pensyarah di Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan di fakulti yang sama dari tahun 1999 hingga 2004. Seterusnya beliau dilantik ke jawatan Profesor Madya pada tahun 2008 dan ke jawatan Profesor pada tahun 2013. Dalam tempoh itu, beliau pernah menjawat jawatan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar dari tahun 2006 hingga 2013.

Beliau kemudiannya menjawat jawatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM pada 15 Mac 2013 sebelum dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 24 Februari 2017.

Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar telah menerima pelbagai anugerah dari dalam dan luar negara, antaranya Extra Ordinary Performance Award daripada Iowa State University; Anugerah Emas, Inovasi dan Penyelidikan Dalam Kaunseling 2010; Anugerah Outstanding Contributions to Education 2017 dari The Golden Globe Tiger Awards; dan Anugerah International Education Awards 2018 (IEA ‘18) daripada Ink. Edu Media. Beliau juga memiliki kepakaran khusus dalam bidang kepimpinan dan pembangunan komuniti serta telah menerbitkan lebih 40 buah buku. Beliau juga telah menerbitkan lebih dari 171 penerbitan dalam bentuk jurnal, buku, modul dan artikel berkaitan bidang tersebut.

Saya dan pihak Kementerian Pengajian Tinggi merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar atas pelantikan ini. Saya yakin beliau akan terus memacu transformasi MQA ke arah pencapaian visi sebagai agensi berautoriti global dalam kelayakan dan jaminan kualiti pendidikan tinggi.

DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD
Menteri Pengajian Tinggi
5 Februari 2021

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media Pelantikan YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (376 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 13090
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Wednesday 27 March 2024, 16:20:33.