English translation not available for this content.
logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

PERGERAKAN PELAJAR INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI PULANG SEMPENA CUTI SEMESTER 2020/2021


Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diadakan pada 8 Julai 2021 telah bersetuju untuk membenarkan pelajar di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang telah tamat sesi akademik 2020/2021 pulang ke rumah masing-masing bermula 12 Julai 2021. Cuti semester akan bermula Julai hingga Oktober 2021.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menetapkan beberapa mekanisme kawalan pergerakan para pelajar di IPT secara berfasa bagi memastikan pergerakan mereka adalah terkawal. Bagi fasa permulaan, pergerakan pelajar hanya dibenarkan di kawasan yang tidak tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD). Pergerakan pelajar di dalam kawasan PKPD hanya dibenarkan selepas tempoh PKPD tersebut tamat.

Kementerian telah menetapkan kaedah pergerakan sehala pelajar iaitu menggunakan pengangkutan bas yang diselaraskan oleh IPT masing-masing dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat. Pergerakan pelajar menggunakan kenderaan sendiri turut dibenarkan. Ibu bapa atau penjaga tidak dibenarkan merentas negeri untuk membawa pelajar pulang.

Bagi pelajar yang pulang ke Sabah, Sarawak dan Labuan, kos ujian calitan (swab test) RT-PCR akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan. Kos kuarantin pula akan ditanggung oleh kerajaan negeri masing-masing.

Aspek keselamatan dan kesihatan pelajar adalah menjadi keutamaan KPT ketika pergerakan pelajar berlangsung. Pihak yang terlibat boleh merujuk kepada SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan FAQ Pergerakan Pelajar Pulang bagi mendapatkan perincian maklumat berkenaan pergerakan pelajar.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Bilik Gerakan COVID-19 KPT yang dibuka 24 jam di talian 03-8870 6777 / 6949 / 6623 / 6628, melayari laman web IPT atau terus menghubungi Pegawai Penyelaras di IPT masing-masing.

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI
9 JULAI 2021

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media Pergerakan Pelajar IPT Pulang Sempena Cuti Semester 2020/2021 (16 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 11321
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 29 March 2024, 08:50:00.