English translation not available for this content.
Logo KPT 200x150   Black

SIARAN MEDIA

PERUNTUKAN BAJET 2017 UNTUK PERBELANJAAN PEMBANGUNAN UNIVERSITI AWAM MENINGKAT

Peruntukan Perbelanjaan Pembangunan (Development Expenditure atau DE) Universiti Awam (UA) Malaysia dalam pembentangan Bajet 2017 oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini telah meningkat daripada RM671.7 juta pada tahun 2016 kepada RM1.7 bilion untuk tahun 2017. Ini merupakan peningkatan sebanyak 153.97%.

Perbelanjaan Pembangunan (DE) ini merupakan peruntukan bagi Universiti Awam untuk melaksanakan projek dan program yang dapat menjana pendapatan dan kegiatan ekonomi untuk UA masing-masing.

Peruntukan Kerajaan untuk program pendidikan tinggi perlu dilihat secara komprehensif di mana perbelanjaannya meliputi kedua-dua Perbelanjaan Pembangunan (DE) dan Perbelanjaan Mengurus (Operating Expenditure atau OE).

Walaupun Perbelanjaan Mengurus (OE) untuk UA telah dikurangkan dengan kadar purata 19.23%, namun jika dilihat secara komprehensif dengan mengambil kira Perbelanjaan Pembangunan (DE), pengurangan sebenar peruntukan keseluruhan untuk UA bagi tahun 2017 adalah 5.12% sahaja berbanding tahun sebelumnya.

Hasrat Kerajaan dan Kementerian adalah dengan peningkatan Perbelanjaan Pembangunan (DE), UA akan lebih berupaya untuk meningkatkan pendapatan masing-masing dan seterusnya mampu menampung perbelanjaan pengurusannya.

Secara keseluruhannya, bajet 2017 Kementerian Pendidikan Tinggi telah berkurangan sebanyak 9.3% daripada tahun sebelumnya. Walaubagaimanapun, daripada jumlah ini Perbelanjaan Pembangunan telah bertambah daripada RM1.6 bilion pada tahun 2016 kepada RM2.6 bilion bagi tahun 2017, iaitu peningkatan sebanyak 63.6%.

Kementerian ingin memaklumkan bahawa pengurangan peruntukan pendidikan tinggi adalah selaras dengan perancangan Kementerian di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT) untuk mengurangkan kebergantungan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) kepada kerajaan yang pada masa kini berada dalam linkungan 80-90% dan dianggap sebagai satu kebergantungan yang terlalu tinggi.

Sehubungan dengan itu, Lonjakan 5 PPPM (PT) iaitu Kemampanan Kewangan, menyatakan bahawa IPT di Malaysia perlu berusaha mendapatkan sumber pendapatan tambahan sebagai alternatif untuk menjadi sebuah institusi pendidikan awam yang lebih fleksibel, kukuh, dan mampan dari segi pengurusan kewangan mereka. Dalam masa yang sama ianya memberi peluang yang luas kepada IPT untuk menjalin kerjasama dengan industri demi manfaat bersama.

Kementerian juga telah melancarkan buku ‘Purple Book: Enhancing University Income Generation, Endowment & Waqf’ sebagai panduan kepada UA dan kesemua IPT mengenai cara-cara meningkatkan kebolehan penjanaan pendapatan. Purple Book tersebut boleh dimuat turun di pdf https://www.mohe.gov.my/muat-turun/awam/penerbitan-dan-jurnal/university-transformation-programme/187-the-unitp-purple-book/file. (1.27 MB)

Kementerian Pendidikan Tinggi
Putrajaya
26 Oktober 2016

  • Last updated on .
  • Hits: 23331
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 29 March 2024, 08:50:00.