English translation not available for this content.

logo kpt black

SIARAN MEDIA

ASEAN CONFERENCE ON WOMEN ACADEMIC LEADERSHIP (ACWAL)2025
PERKUKUH KEPIMPINAN WANITA DALAM SEKTOR PENDIDIKAN TINGGI


Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), UTM Holdings, dan CITY University Malaysia, telah menganjurkan Persidangan Kepimpinan Akademik Wanita ASEAN (ACWAL) 2025 di Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Persidangan yang dihadiri oleh YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Timbalan Menteri Pendidikan dan turut dirasmikan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini telah menghimpunkan lebih 300 peserta dari negara ASEAN dan antarabangsa, sekali gus mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh peranan wanita dalam kepimpinan pendidikan tinggi.

Persidangan ini berfungsi sebagai wadah strategik untuk membentuk persekitaran kepimpinan akademik yang lebih dinamik dan inklusif melalui sesi dialog, perkongsian ilmu serta tindakan kolektif. ASEAN, sebagai sebuah rantau yang pesat membangun, menuntut kepimpinan yang mencerminkan kepelbagaian, keterangkuman dan daya tahan. Dalam konteks ini, pemimpin wanita dalam bidang akademik memainkan peranan penting dalam memacu inovasi dan kelestarian institusi pendidikan tinggi melalui perspektif serta kepakaran unik mereka.

ACWAL 2025 menampilkan barisan panel terkemuka dari Malaysia, Thailand, Indonesia, Timor-Leste, Kemboja, dan Qatar bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan kepimpinan wanita dalam pendidikan tinggi. Antara topik utama yang diketengahkan termasuklah Pemerkasaan Pendidikan Tinggi ASEAN secara Inklusif, Kepimpinan ASEAN: Wanita sebagai Pemacu Transformasi Pendidikan Tinggi ke Arah Kelestarian dan Keterangkuman Serantau, serta Memanfaatkan Kepimpinan Wanita dalam Memacu Inovasi ke Arah Pembangunan Mampan.

Persidangan ini juga bertujuan untuk meningkatkan pemahaman tentang kepentingan kepelbagaian dan keterangkuman dalam transformasi institusi pendidikan tinggi, di samping mencadangkan dasar yang mengintegrasikan perspektif gender di semua peringkat kepimpinan. Selain itu, ACWAL 2025 turut menyediakan platform kepada pemimpin wanita untuk berkongsi pengalaman serta amalan terbaik dalam kepimpinan akademik. Tidak ketinggalan, persidangan ini juga meneroka strategi kepimpinan berasaskan nilai ASEAN dan konsep Malaysia MADANI dalam usaha membina daya tahan institusi pendidikan tinggi di rantau ini.

Sebagai inisiatif berimpak tinggi, ACWAL 2025 bukan sahaja memperkasakan wanita dalam sektor akademik, malah berperanan sebagai pemangkin utama dalam mengukuhkan jaringan kepimpinan serantau. Dengan menekankan kepelbagaian, kelestarian dan ketahanan, persidangan ini membuka ruang untuk merealisasikan transformasi bermakna dalam landskap pendidikan tinggi ASEAN.

Kementerian Pendidikan Tinggi
20 Februari 2025

Muat Turun:

  pdf Siaran Media - ASEAN Conference On Women Academic Leadership (ACWAL) 2025 Perkukuh Kepimpinan Wanita Dalam Sektor Pendidikan Tinggi(136 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 404
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 24 March 2025, 04:31:56.

sirim-logo