SIARAN MEDIA
FESTIVAL IDEA PUTRAJAYA PENTAS IPT PAMER PRODUK
INOVASI DAN TEKNOLOGI TERBAHARU
Festival Idea Putrajaya yang akan berlangsung pada 27 hingga 29 November di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bakal menjadi pentas bagi warga pendidikan tinggi berkongsi, mencetus dan mengarusperdakanakan idea, pemikiran, inovasi serta teknologi baharu dengan masyarakat.
Sebanyak 65 produk inovasi dan teknologi terbaharu melibatkan Institusi Pendidikan Tinggi Awam/ Swasta (IPTA/ IPTS) bakal dipamerkan dengan pendekatan 3R iaitu sedia untuk kerjasama (Ready to Collaborate); sedia untuk dikomersialkan (Ready to Commercial); dan tersedia untuk komuniti (Ready to Community).
Produk-produk inovasi yang dipamerkan ini merupakan hasil usaha kolektif yang melibatkan akademia, pelajar dan kerjasama strategik melibatkan lima (5) kluster iaitu:
i. Bakat dan Teknologi
ii. Hospitaliti dan Warisan
iii. Seni Kreatif dan Media
iv. Kesihatan dan Kesejahteraan
v. Pertanian dan Keterjaminan Makanan
Antara produk inovasi dan teknologi terbaharu yang menarik adalah dron-dron bagi keselamatan; alatan canggih bagi rawatan kesihatan; sistem ramalan dan amaran banjir dan pelbagai lagi. Selain itu, pengunjung yang hadir sepanjang tiga hari ini juga boleh mengikuti pelbagai acara menarik seperti perkongsian idea dan pengetahuan dengan sesi panel, ceramah serta pembentangan daripada pakar bidang.
Sesi rangkaian atau networking juga bakal berlangsung dengan pengunjung berpeluang untuk berhubung dengan individu-individu berpengaruh dalam industri tertentu termasuk penyelidik, usahawan, profesional dan kreatif.
Selain itu, peluang kolaborasi dan kerjasama juga terbuka luas untuk IPT bersama pemain industri serta komuniti melalui sesi Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) yang membuka peluang baharu dalam kerjasama antara pelbagai pihak.
Penganjuran Festival Idea Putrajaya yang julung kali diadakan ini dianjurkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya, merupakan satu inisiatif penting dalam usaha merakyatkan idea dan pendidikan tinggi serta mempromosikan Malaysia sebagai pusat wacana intelektual dan inovasi di peringkat serantau dan global.
Kementerian Pendidikan Tinggi
25 November 2024
Muat Turun:
- Last updated on .
- Hits: 1289