SIARAN MEDIA
KPT TERUSKAN SIRI KETIGA FORUM ILMUWAN MALAYSIA MADANI (FIM), BINCANG TOPIK KEPENGERUSIAN ASEAN-MALAYSIA 2025
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meneruskan Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) siri ketiga dengan penganjuran bersama Kementerian Luar Negeri (KLN) berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada Jumaat.
Program yang mengetengahkan topik ‘Hala Tuju dan Strategi Kepengerusian ASEAN- Malaysia 2025’ ini menampilkan Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjadi moderator bagi tiga panel jemputan iaitu Menteri KLN, YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan; Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Datuk Prof. Dr. Mohd Faiz Abdullah; dan Felo Penyelidik Kehormat Perak Academy.
Malaysia komited untuk terus memastikan pelaksanaan kepengerusian ASEAN yang dinamik dan berkesan selaras dengan prinsip Kepusatan ASEAN (ASEAN Centrality) dan keharmonian serantau.
Antara topik yang dikupas oleh panel adalah mengenai persediaan dan strategi Malaysia untuk memainkan peranannya pada Kepengerusian ASEAN 2025; inklusiviti dan kemampanan dalam Visi ASEAN; serta peningkatan kerjasama rantau ASEAN.
Turut dibicarakan mengenai cabaran dan peluang dalam isu global; ASEAN sebagai blok ekonomi dan kuasa diplomasi; isu sosial dan kesejahteraan; serta pengukuhan semangat dan kepimpinan ASEAN.
FIM siri ketiga secara keseluruhannya menyenaraikan usaha dan komitmen berterusan Kerajaan Malaysia bersama ASEAN dalam menangani cabaran serantau dan global, sambil memanfaatkan peluang untuk memperkukuh kerjasama dan kesejahteraan bersama.
FIM merupakan satu inisiatif yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri diadakan sebagai satu bentuk wacana intelektual dan selari dengan aspirasi KPT yang memainkan peranan penting untuk memupuk dan menggalakkan budaya perkongsian ilmu pengetahuan dan pengalaman oleh ilmuwan dan masyarakat dalam pelbagai bidang berlandaskan pendekatan senegara (Whole-of-Nation approach).
Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Setiausaha KPT, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; Ketua-ketua Setiausaha Kementerian serta Ketua-Ketua Jabatan.
Kementerian Pendidikan Tinggi
23 November 2024
Muat Turun:
- Last updated on .
- Hits: 1304