English translation not available for this content.

logo kpt black

SIARAN MEDIA

YB MENTERI TERIMA PELAN PENDIDIKAN TINGGI MALAYSIA
2025-2035 SECARA RASMI


Selepas sembilan (9) bulan penuh dedikasi, Kumpulan Pakar Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035 (PPTM 2025-2035) yang diketuai oleh Datuk Prof. Emerita Dr. Asma Ismail telah menyiapkan rangka tindakan (blueprint) pendidikan tinggi negara yang baharu. Dokumen tersebut telah diterima secara rasmi oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan akan dibawa serta dibentang ke peringkat seterusnya sebelum dilancarkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak lama lagi.

YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry dalam ucapannya menegaskan bahawa PPTM 2025-2035 adalah hasil usaha anak tempatan tanpa bergantung kepada perunding asing, sekali gus membuktikan keupayaan pakar Malaysia dalam merangka hala tuju pendidikan tinggi negara.

Pembangunan rangka tindakan ini melibatkan lebih 8,226 pihak berkepentingan melalui sesi perbincangan, validasi dan tinjauan kebangsaan serta disiapkan dalam sembilan bulan, satu tempoh yang jauh lebih singkat berbanding rangka tindakan sebelumnya yang mengambil masa dua tahun. Proses penyelidikan ini turut merangkumi lebih 240 mesyuarat, 100 kajian rujukan dan 181 individu termasuk pakar akademik serta lebih 22 penulis daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).

PPTM 2025-2035 menekankan akses pendidikan inklusif, transformasi digital dan daya saing global serta mencatat pencapaian asas.

Pelaksanaan rangka tindakan ini memerlukan komitmen kerajaan, institusi pendidikan tinggi, industri dan masyarakat bagi memastikan Malaysia terus relevan dalam lanskap pendidikan tinggi global.

Majlis Sign Off PPTM 2025-2035 petang semalam menandakan KPT sudah bersedia memacu permulaan baharu bagi pendidikan tinggi negara dengan penekanan kepada inovasi, kebolehpasaran graduan serta pemerkasaan akademik dan industri.

Malah pelan ini dijangka akan membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi dalam dekad akan datang serentak merealisasikan visi sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf dunia.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPT, Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr. Haji Mohd Zahari Ismail; dan Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Dato' Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

Kementerian Pendidikan Tinggi

27 Februari 2025

Muat Turun:

   pdf Siaran Media - YB Menteri Terima Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035 Secara Rasmi(97 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 423
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 24 March 2025, 04:31:56.

sirim-logo