Statistik Siswazah, 2019

English translation not available for this content.

Siswazah bekerja meningkat 6.9 peratus pada 2019 kepada 4.25 juta orang

PUTRAJAYA, 16 JULAI 2020 – Bilangan siswazah yang bekerja meningkat 6.9 peratus pada 2019 kepada 4.25 juta orang, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini berhubung Statistik Siswazah 2019. Siswazah ditakrifkan sebagai individu yang memiliki sijil tertinggi dari universiti, kolej, politeknik, badan yang diiktiraf atau setaraf, yang mana tempoh pengajian adalah sekurang-kurangnya dua tahun.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, "Jumlah siswazah di Malaysia adalah 5.29 juta orang merangkumi 21.3 peratus daripada populasi umur bekerja pada 2019. Hampir 90 peratus daripada siswazah berada dalam tenaga buruh dengan kadar 83.5 peratus (4.4 juta orang). Walaupun majoriti siswazah adalah perempuan, kadar penyertaan tenaga buruh siswazah perempuan adalah lebih rendah (79.8%) berbanding lelaki yang merekodkan kadar 87.7 peratus."

Dari  segi  guna  tenaga,  siswazah  bekerja  meningkat  6.9  peratus  mencatatkan 4.25 juta  orang pada  2019.  Daripada  jumlah  siswazah  yang bekerja,  lelaki meliputi 49.8 peratus (2,114.1 ribu orang) sementara perempuan merangkumi 50.2 peratus (2,132.6 ribu orang). Melihat kepada kebolehpasaran siswazah mengikut sijil tertinggi yang diperoleh, didapati siswazah bekerja berkelulusan ijazah mencatatkan peningkatan yang lebih tinggi iaitu 8.5 peratus berbanding siswazah berkelulusan diploma dengan 4.9 peratus.

Dari aspek tahap kemahiran, kebanyakan siswazah bekerja dalam kategori mahir, iaitu sebanyak 73.3 peratus (3.11 juta orang), bersesuaian dengan kelayakan mereka sebagai siswazah. Sementara itu, siswazah bekerja dalam kategori separuh mahir mewakili 25.6 peratus atau 1.09 juta orang pada tahun 2019.

Dari segi aktiviti ekonomi, 79.6 peratus siswazah tertumpu di sektor Perkhidmatan merekodkan 3.38 juta orang. Ini diikuti oleh Pembuatan (538.6 ribu orang), Pembinaan (226.1 ribu orang), Pertanian (57.6 ribu orang) dan Perlombongan & pengkuarian (43.2 ribu orang).

Mengulas mengenai kadar pengangguran, beliau memaklumkan, “Kadar pengangguran siswazah pada 2019 kekal 3.9 peratus dengan 170.3 ribu penganggur siswazah. Siswazah yang aktif mencari pekerjaan merangkumi 74.8 peratus (127.4 ribu orang). Dari jumlah ini, lebih daripada 80 peratus menganggur bagi tempoh kurang daripada enam bulan manakala hanya 8.1 peratus menganggur bagi tempoh 12 bulan dan lebih."

Sementara itu, siswazah luar tenaga buruh meningkat 7.6 peratus kepada 869.8 ribu orang, merangkumi 16.5 peratus daripada keseluruhan siswazah. Sumbangan peratusan terbesar luar tenaga buruh iaitu sebanyak 36.8 peratus adalah disebabkan kerja rumah/ tanggungjawab keluarga (319.9 ribu orang). Mereka ini dilihat sebagai kumpulan yang berpotensi untuk menyertai pasaran buruh. Di samping itu, mereka yang bersara/ lanjut usia meliputi 30.0 peratus (260.7 ribu orang) diikuti dengan masih belajar/ program latihan iaitu 27.6 peratus (239.9 ribu orang).

Sementara itu, Survei Gaji & Upah 2019 yang dilaksanakan oleh DOSM mendapati bahawa penengah gaji & upah bulanan siswazah dengan pekerjaan utama sepenuh masa adalah RM4,371 (2018: RM3,936). Siswazah bekerja dalam kategori mahir menerima RM5,175 manakala kategori separuh mahir menerima RM2,300.

Merumuskan berkenaan penemuan statistik siswazah, beliau menambah, “Berhubung jawatan kategori mahir yang perlu diisi oleh siswazah, Statistik Guna Tenaga Suku Tahunan melaporkan kadar kekosongan jawatan kategori mahir di pertubuhan formal sektor swasta pada 2019 adalah 2.3 peratus dengan 48.3 ribu kekosongan jawatan. Ini jauh lebih rendah berbanding bilangan keluaran siswazah setahun iaitu dalam lingkungan 300 ribu orang. Sehubungan itu, antara laluan alternatif bagi menyokong kemasukan siswazah baharu ke dalam pasaran buruh dapat diterokai melalui bidang keusahawanan dengan memanfaatkan revolusi platform digital.”

YBhg. Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin selaku Pesuruhjaya Banci 2020 turut menyatakan tentang Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia (Banci) 2020 yang dilaksanakan dalam 2 fasa dengan tema ‘Data Anda Masa Depan Kita’. Fasa pertama bermula pada 7 Julai hingga 30 September 2020 melalui kaedah banci dalam talian (e-Census) manakala fasa kedua bermula pada 7 hingga 24 Oktober 2020 dengan menggunakan kaedah temuramah bersemuka. Dianggarkan sebanyak 9 juta tempat kediaman akan diliputi semasa Banci 2020 yang melibatkan lebih kurang 32.7 juta penduduk. Data yang dikumpul melalui banci ini bakal memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat kerana ia digunakan oleh pihak Kerajaan untuk membuat perancangan dan dasar yang berpaksikan rakyat. Semua penduduk Malaysia dijemput mengisi e-census dan maklumat lanjut berkaitan Banci 2020 boleh diperoleh melalui portal banci iaitu www.mycensus.gov.my.

 

Dikeluarkan oleh:

PEJABAT KETUA PERANGKAWAN MALAYSIA JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA

16 JULAI 2020

  • Last updated on .
  • Hits: 16069
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Thursday 25 April 2024, 18:19:27.