UPM Uruskan Perjalanan Pulang Pelajar-Pelajar IPT Zon Tengah Ke Selatan Tanah Air

English translation not available for this content.

Universiti Putra Malaysia (UPM) bekerjasama dengan enam universiti awam zon tengah bagi proses perjalanan pulang pelajar-pelajar tujuh buah universiti awam di  Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya ke beberapa lokasi selatan di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor melibatkan seramai 240 pelajar bermula pukul 10 malam tadi.

Selain UPM, pusat penghantaran perjalanan pulang seramai 2,122 pelajar lagi pada malam ini dibuat serentak di enam universiti zon tengah yang lain iaitu UIAM, UiTM, UKM, UM, UPNM dan UTM KL. Daripada jumlah keseluruhan 240 pelajar di pusat penghantaran UPM pada malam ini, 176 ialah pelajar UPM, dan bakinya ialah pelajar dari UIAM, UiTM, UKM, UM, UPNM dan UTM KL. 

Proses perjalanan pulang ini mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Majlis Keselamatan Negara dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia.

Saya berpuas hati dengan kelancaran proses pada malam ini yang diuruskan secara keseluruhan oleh UPM. Terima kasih kepada usaha Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Setia Dato’ Dr. Aini Ideris dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman dalam memastikan proses ini berjalan lancar.

Saya doakan kesemua pelajar selamat dalam perjalanan menaiki 14 buah bas ke 11 lokasi Ibu Pejabat Daerah (IPD) iaitu tiga di Negeri Sembilan, tiga di Melaka dan lima di Johor. Setibanya pelajar-pelajar ini ke IPD masing-masing, mereka akan dihantar ke rumah.

UPM pada 2 Mei lalu menjadi tuan rumah bagi proses perjalanan pulang pelajar-pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta zon tengah (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya) ke beberapa lokasi di zon Perak melibatkan seramai 1,876 pelajar. 

Pelajar harus sentiasa mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, pastikan penjarakan sosial, digalakkan menggunakan penutup hidung dan mulut, mengamalkan amalan pencegahan jangkitan, mengelakkan sebarang bentuk perhimpunan dan pastikan pemakanan yang sihat.

 

DATO’ DR. NORAINI AHMAD

MENTERI PENGAJIAN TINGGI

5 MEI 2020

  • Last updated on .
  • Hits: 10552
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 April 2024, 16:56:01.