English translation not available for this content.

Logo KPM

KENYATAAN MEDIA

YB Dr Maszlee Malik Mahu Malaysia Dan China Teroka Kerjasama Lebih Luas Dalam Bidang Pendidikan

Sempena lawatan kerja ke China selama empat hari, Menteri Pendidikan YB Dr Maszlee Malik yang kini berada di China mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk kumpulan ahli-ahli perniagaan.

YB Dr Maszlee melihat ada peluang dan ruang bagi memperluaskan kerjasama dalam bidang pendidikan sama ada di China ataupun di Malaysia terutama dalam bidang pengajian Islam.

Dalam perbincangan dengan Pengerusi Dewan Perniagaan Halal Shan Xi, Tie Qunping, timbul cadangan agar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengadakan cawangan di wilayah Xian, termasuklah membuka sekolah Islam antarabangsa untuk pengajian awal. Xian sahaja mempunyai lebih 300,000 penduduk beragama Islam dan berjuta lagi di wilayah Shan Xi dan di lima wilayah yang lain sekitar Shan Xi.

Malaysia mempunyai reputasi sebagai negara Islam yang moderat dan tidak mempromosikan ideologi radikal. Kerajaan China lebih selesa rakyatnya yang beragama Islam belajar di Malaysia berbanding negara-negara di Timur tengah.

YB Dr Maszlee juga mencadangkan China boleh menghantar pelajar-pelajar mereka ke Malaysia di mana Kementerian Pendidikan akan melakukan segala yang perlu bagi memperoleh pendidikan Islam dan bidang-bidang lain yang berkualiti di Malaysia.

YB Dr Maszlee juga meminta cawangan Education Malaysia di Beijing mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi mempromosikan pendidikan Malaysia di China termasuk mengadakan lebih banyak pengajian Bahasa Melayu di universiti-universiti di China, dan memperkuatkan program-program bersama peringkat ijazah dalam pengajian Bahasa Melayu dan pengajian Melayu di antara Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Putra Malaysia.

Usaha juga sedang diambil untuk mendapatkan lebih banyak biasiswa untuk pelajar-pelajar Malaysia mengikuti pengajian di universiti-universiti di seluruh China, serta mencari peluang agar kerajaan China menaja pelajar mereka untuk belajar di universiti-universiti Malaysia. YB Dr Maszlee percaya bahawa langkah ini akan memperkukuh hubungan dua hala dan mempertingkat pendapatan Malaysia.

YB Dr Maszlee berkata perbincangan susulan akan diadakan dengan pengurusan universiti-universiti di Malaysia sebaik kembali ke tanah air.

Lawatan kerja ini diadakan susulan lawatan rasmi YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke China bulan lalu.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
15 SEPTEMBER 2018

  • Last updated on .
  • Hits: 6364
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 April 2024, 16:56:01.