Written on . Posted in Media Statement.

English translation not available for this content.
Jata Negara 200 x 156
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

KENYATAAN MEDIA

YB MENTERI PENDIDIKAN BERKAITAN PROGRAM iCGPA DI UNIVERSITI AWAM

Bagi memberi ruang kepada para pensyarah untuk menumpukan semula fokus mereka kepada tugasan sebagai tenaga pengajar sepenuhnya di universiti-universiti awam, saya dengan ini mengumumkan bahawa program Integrated Cumulative Grade Point Average Assessment (iCGPA) tidak lagi wajib dilaksanakan di Universiti Awam berkuatkuasa pada hari ini.

Dengan semangat memberi kebebasan dan autonomi kepada universiti, saya mengambil keputusan membenarkan pihak Universiti Awam untuk memilih sama ada meneruskan ataupun memberhentikan perlaksanaan program iCGPA di universiti masing-masing. Namun, jika pihak universiti ingin meneruskan program tersebut, keputusan itu hendaklah dibuat selepas mencapai konsensus bersama kakitangan akademik melalui sesi diskusi dan konsultasi dengan mereka.

Keputusan ini dibuat setelah Kementerian mengadakan beberapa sesi perkongsian dan pengkajian semula sistem iCGPA bersama kakitangan akademik dan pelajar daripada institusi-institusi yang sedang melaksanakan iCGPA, serta pihak industri dan badan professional yang berkenaan.

Berdasarkan maklum balas dan perkongsian pendapat bersama di sesi-sesi tersebut, adalah didapati bahawa semenjak iCGPA dilaksanakan, tumpuan para pensyarah telah beralih dari tugas utama mereka sebagai pensyarah iaitu mengajar, menjalankan kajian, menulis, menyelia pasca siswazah dan berkhidmat kepada masyarakat.

Saya berharap keputusan ini akan dapat memberi ruang kepada para pensyarah untuk kembali menumpukan usaha kepada peranan dan tugas hakiki mereka demi mengangkat martabat Universiti Awam sebagai medan intelektual yang tersohor.

Terima kasih.

YB DR. MASZLEE MALIK
MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA

21 Jun 2018