Hebahan

Maklumat hebahan terkini kementerian

Kemasukan Pelajar IPT Ke Kampus Pada Mac 2021

English translation not available for this content.

A. KEMASUKAN PELAJAR KE KAMPUS

  1. Apakah kategori pelajar berkeperluan yang dibenarkan kembali ke kampus?

    Kategori pelajar berkeperluan yang dibenarkan kembali ke kampus ialah:

    1. Pelajar program pengajian peringkat Sijil, Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Pasca Siswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas;
    2. Pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam talian;
    3. Pelajar Asasi atau Setara dan Diploma yang sedia ada di kampus boleh meneruskan pembelajaran secara hibrid;
    4. Pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom;
    5. Pelajar Berkeperluan Khas (OKU); dan
    6. Pelajar yang menduduki peperiksaan Malaysia University English Test (MUET), antarabangsa dan badan profesional.
  2. Bilakah pelajar berkeperluan dibenarkan masuk ke kampus untuk aktiviti PdP pada kemasukan semester baharu 2021?

    Semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu dari semua negara kecuali United Kingdom dibenarkan kembali ke kampus secara fizikal bermula 1 Januari 2021. Manakala, pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan berkeperluan dibenarkan kembali ke kampus secara fizikal bagi semua Universiti Awam (UA), IPT Swasta (IPTS), Politeknik dan Kolej Komuniti bermula Mac 2021.

    Kemasukan pelajar berkeperluan ke kampus perlu dilaksanakan secara berfasa mengikut keutamaan yang ditentukan oleh IPT bagi mengikuti PdP secara hibrid.

  3. Siapakah yang bertanggungjawab untuk mengenal pasti pelajar berkeperluan?

    Pihak IPT adalah bertanggungjawab untuk mengenal pasti pelajar berkeperluan berdasarkan kategori pelajar yang telah diluluskan dan membenarkan mereka memasuki kampus.

  4. Bagaimana pihak IPT mengenal pasti pelajar berkeperluan yang tidak mempunyai akses internet dan persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian?

    Pihak IPT mengenal pasti pelajar berkeperluan yang tidakmempunyai akses internet dan persekitaran tidak kondusif berdasarkan permohonan yang dibuat oleh pelajar.

  5. Adakah pelajar berkeperluan yang tidak disenaraikan oleh IPT boleh memohon untuk kembali ke kampus bagi menjalankan PdP secara hibrid?

    Ya Boleh. Sekiranya pelajar berkeperluan yang tidak disenaraikan oleh IPT berhasrat untuk kembali ke kampus, pelajar boleh mengemukakan permohonan kepada IPT masing-masing beserta justifikasi bagi pertimbangan IPT selanjutnya. Walau bagaimanapun keputusan permohonan tertakluk kepada pertimbangan IPT masing – masing. Sekiranya permohonan pelajar ditolak, pelajar masih boleh meneruskan sesi PdP secara dalam talian.

  6. Apakah proses kemasukan pelajar berkeperluan ke kampus?

    Semua IPT bertanggungjawab membuat perancangan dan penyelarasan yang teliti berkaitan pengurusan kemasukan pelajar ke kampus. Pelan komunikasi yang berkesan perlu dibangunkan supaya para pelajar dapat menerima dan melaksanakan SOP dengan baik. Pelajar berkeperluan boleh merujuk kepada IPT masing-masing berkaitan tatacara kemasukan pelajar ke kampus.

  7. Adakah IPT akan mengeluarkan pemakluman tarikh kepada pelajar terlibat sebelum dibenarkan pulang ke kampus?

    YA. IPT akan mengeluarkan pemakluman kepada pelajar yang berkeperluan untuk pulang ke kampus bagi memastikan pergerakan pelajar kembali ke kampus terancang dan lancar.

  8. Sekiranya pelajar dibenarkan mengikuti PdP di kampus, apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh pelajar untuk bergerak ke kampus?

    Pelajar perlu mendapatkan surat panggilan kemasukan dari IPT dan memohon kebenaran pergerakan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi merentas daerah atau negeri untuk pulang ke kampus sekiranya pelajar atau IPT berkenaan berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Walau bagaimanapun, kemasukan pelajar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ke kampus adalah ditangguhkan.

  9. Adakah kos pergerakan pelajar kembali ke kampus akan ditanggung oleh pihak kerajaan?

    TIDAK. Kos pergerakan pelajar kembali ke kampus adalah di bawah tanggungan sendiri.

  10. Bilakah pergerakan pelajar secara berfasa boleh dibuat?

    Pelajar berkeperluan dibenarkan memasuki kampus mulai 1 Mac 2021 secara berfasa bagi mengikuti pembelajaran secara hibrid.

B. PELAJAR BERULANG-ALIK KE KAMPUS DARI TEMPAT KEDIAMAN

  1. Adakah pelajar yang menetap di daerah yang sama dengan lokasi IPT berada, perlu menjalani pengasingan di Pusat Pengasingan ?

    Tidak perlu. Pelajar yang menetap di daerah yang sama dengan lokasi IPT berada hanya perlu menjalani saringan kesihatan yang ketat setiap kali masuk ke IPT.

    Contoh: Pelajar menetap di Ipoh dan lokasi IPT adalah di Ipoh.

  2. Sekiranya pelajar telah selesai menjalani tempoh pengasingan selama 10 hari, adakah pelajar dibenarkan tinggal di rumah sewa di daerah yang sama dengan lokasi IPT tersebut?

    Boleh. Walau bagaimanapun, pelajar masih perlu menjalani saringan kesihatan yang ketat setiap kali masuk ke IPT.

    Contoh: Pelajar berasal dari Ipoh dan belajar di IPT yang terletak di Petaling Jaya. Setelah selesai tempoh pengasingan selama 10 hari pelajar dibenarkan tinggal di rumah sewa di sekitar Petaling Jaya. Walau bagaimanapun, pelajar perlu menjalani saringan kesihatan yang ketat setiap kali masuk ke IPT.

C. PUSAT PENGASINGAN

  1. Apakah yang dimaksudkan dengan pusat pengasingan?

    Pusat Pengasingan merupakan fasiliti yang disediakan oleh IPT sebagai zon pengawasan bagi memantau tahap kesihatan/risiko pelajar dari kawasan PKP dan PKPB sebagai langkah mengawal penularan pandemik COVID-19.

  2. Siapakah yang akan menanggung kos penginapan di pusat pengasingan?

    Kos penginapan di pusat pengasingan akan ditanggung oleh IPT masing-masing.

  3. Siapakah yang perlu menjalani pengasingan di pusat pengasingan?

    Pelajar dari zon PKP dan PKPB perlu hadir lebih awal bagi menjalani pengasingan selama 10 hari di pusat pengasingan yang disediakan oleh IPT.

    Bagi pelajar yang menjalani Ujian Swab (RT-PCR) sebelum kembali ke kampus, boleh dipertimbangkan bagi pengecualian tempoh pengasingan tertakluk kepada kelulusan atau keputusan terkini KPT.

  4. Adakah semasa pengasingan, pelajar boleh mengikuti PdP?

    YA. Pelajar dibenarkan mengikuti PdP secara dalam talian semasa proses pengasingan.

  5. Adakah ahli keluarga/kenalan boleh melawat pelajar di pusat pengasingan?

    TIDAK. Pelajar tidak dibenarkan menerima pelawat semasa tempoh pengasingan.

  6. Bagaimanakah tahap kesihatan pelajar dipantau di pusat pengasingan?

    Tahap kesihatan pelajar yang menjalani proses pengasingan akan dipantau melalui saringan kesihatan yang dilaksanakan sebanyak dua (2) kali sehari sepanjang tempoh pengasingan.

D. PERGERAKAN PELAJAR DARI/KE SABAH DAN SARAWAK

  1. Bagaimana pergerakan pelajar berkeperluan dari Semenanjung, W.P. Labuan dan Sabah yang akan kembali ke IPT di Sarawak?

    Pelajar berkeperluan dari Semenanjung, W. P. Labuan dan Sabah yang akan pulang ke IPT di Sarawak diwajibkan menjalani Ujian Swab RT-PCR dalam tempoh tiga (3) hari sebelum penerbangan ke Sarawak. Pelajar diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

  2. Bagaimana pergerakan pelajar berkeperluan dari Semenanjung, W.P. Labuan dan Sarawak yang akan kembali ke IPT di Sabah?

    Pelajar berkeperluan dari Semenanjung, W. P. Labuan dan Sarawak yang akan pulang ke IPT di Sabah diwajibkan menjalani Ujian Swab RT-PCR dalam tempoh tiga (3) hari sebelum penerbangan ke Sabah.

  3. Bagaimana pergerakan pelajar berkeperluan dari Sabah yang akan kembali ke IPT di Semenanjung, W.P. Labuan dan Sarawak?

    Bagi pelajar berkeperluan dari Negeri Sabah ke IPT di Semenanjung, W.P. Labuan dan Sarawak diwajibkan menjalani Ujian Swab RT-PCR dalam tempoh tiga (3) hari sebelum penerbangan.

    Bagi kemasukan ke Sarawak, pelajar diwajibkan untuk menjalani kuarantin di pusat kuarantin yang akan ditentukan oleh Kerajaan Negeri Sarawak selama 14 hari sebelum dibenarkan pulang ke kampus.

  4. Bagaimanakah prosedur pergerakan pelajar berkeperluan dari Sarawak yang akan kembali ke IPT di Semenanjung, W.P. Labuan dan Sabah?

    Bagi pelajar berkeperluan dari Sarawak ke IPT di Semenanjung dan W.P. Labuan tidak diwajibkan menjalani Ujian Swab. Manakala, pelajar yang akan ke Negeri Sabah akan menjalani Ujian Swab RTPCR dalam tempoh tiga (3) hari sebelum penerbangan/memasuki Negeri Sabah. Pelajar akan ditempatkan di pusat pengasingan yang ditentukan oleh IPT masing-masing bagi memastikan mereka bebas daripada sebarang gejala COVID-19.

  5. Adakah kos kuarantin dan ujian pengesanan COVID-19 yang diwajibkan oleh Kerajaan akan ditanggung oleh kerajaan bagi pergerakan pelajar ke Sabah, Sarawak dan Semenanjung?

    YA. Kos Ujian Swab bagi kemasukan ke Negeri Sabah dan Sarawak serta pelajar Sabah yang keluar dari Sabah akan dibiayai oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Manakala bagi kos kuarantin, hanya kemasukan ke Negeri Sarawak sahaja diwajibkan menjalani kuarantin selama 14 hari. Kos ini akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Sarawak.

  6. Apakah yang perlu di lakukan oleh pelajar yang diwajibkan menjalani Ujian Swab di fasiliti/ klinik kesihatan/ hospital kerajaan?

    Pelajar perlu membawa surat panggilan kemasukan IPT dan mengemukakannya kepada Pusat Kesihatan Daerah untuk mendapatkan temu janji bagi tujuan pelaksanaan Ujian Swab RT-PCR. Seterusnya, pelajar perlu menjalani Ujian Swab mengikut tarikh dan lokasi yang telah ditetapkan dalam temu janji yang dibuat oleh Pusat Kesihatan Daerah.

  7. Sekiranya pelajar berkemampuan dan bersetuju untuk menggunakan peruntukan sendiri bagi melaksanakan Ujian Swab di klinik/ hospital swasta, adakah keputusan ujian ini boleh digunakan?

    Ya. Keputusan Ujian Swab dari klinik/hospital swasta boleh diterima jika ia memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh Kerajaan.

E. AKTIVITI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

  1. Adakah aktiviti PdP secara bersemuka dibenarkan bagi pelajar yang berada di kampus?

    Pembelajaran bagi semua program pengajian diteruskan secara hibrid. IPT perlu memastikan SOP yang ketat dipatuhi.

F. AKTIVITI PELAJAR

  1. Adakah aktiviti pelajar termasuk kelab, persatuan dan ko-kurikulum dibenarkan?

    Semua aktiviti pelajar termasuk kelab, persatuan dan ko-kurikulum secara bersemuka dan berkumpulan TIDAK DIBENARKAN bagi IPT yang berada dalam kawasan PKP dan PKPB.

  2. Walau bagaimanapun, bagi pelajar IPT yang berada dalam kawasan PKPP, semua aktiviti pelajar boleh dilaksanakan dengan mematuhi SOP yang berkuat kuasa.

    Pelaksanaan program/aktiviti secara dalam talian atau platform digital yang bersesuaian adalah digalakkan.

    Pelaksanaan semua aktiviti pelajar termasuk kelab, persatuan dan kokurikulum adalah tertakluk kepada situasi pandemik COVID-19 dan arahan semasa yang berkuat kuasa.

G. AKTIVITI PENYELIDIKAN

  1. Adakah aktiviti penyelidikan dibenarkan?

    Semua aktiviti penyelidikan yang berkeperluan boleh dilaksanakan dengan memastikan SOP yang ketat dipatuhi.

H. LANGKAH KESELAMATAN

  1. Adakah pelajar yang berkeperluan perlu menjalani Ujian Swab sebelum kembali ke kampus?

    TIDAK. Pelajar dalam kategori ini tidak diwajibkan untuk menjalani Ujian Swab sebelum kembali ke kampus kecuali bagi Negeri Sabah dan Sarawak yang mewajibkan perkara tersebut.

    Walau bagaimanapun, perkara ini adalah tertakluk kepada arahan semasa Kerajaan Negeri.

  2. Bagaimana sekiranya pelajar yang tiba di kampus mempunyai bacaan suhu yang tinggi atau bergejala?

    Pelajar tersebut akan dirujuk ke Pusat Kesihatan Universiti/ klinik/ hospital berdekatan untuk menjalani saringan kesihatan yang lebih komprehensif atau menjalani Ujian Swab sekiranya diperlukan.

  3. Adakah pelajar wajib menggunakan aplikasi MySejahtera di kampus?

    YA. Pelajar perlu menggunakan aplikasi MySejahtera semasa di kampus untuk tujuan contact tracing pihak KKM. Selain itu, pelajar perlu mematuhi keperluan penggunaan aplikasi selain MySejahtera yang diwajibkan oleh IPT masing-masing.

I. PELAJAR ANTARABANGSA

  1. Apakah langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelajar antarabangsa sebelum pergerakan kembali ke Malaysia?

    1. Kemukakan permohonan kemasukan melalui sistem Education Malaysia Global Services (EMGS) di pautan: www.educationmalaysia.gov.my;
    2. Terima surat kelulusan kemasukan yang telah diluluskan oleh Ketua Pengarah Imigresen (KPI);
    3. Memuat turun, melengkapkan dan menandatangani Letter of Undertaking and Indemnity (LoU) dan mendapatkan Notis Perjalanan daripada Perwakilan Malaysia yang ditauliahkan;
    4. Menjalani ujian pengesanan RT-PCR COVID-19 tiga (3) hari sebelum berlepas ke Malaysia;
    5. Memuat turun aplikasi MySejahtera di telefon pintar dan lengkapkan semua maklumat yang diperlukan tiga (3) hari sebelum ketibaan;
    6. Pelajar membuat bayaran caj penuh kuarantin dan ujian pengesanan COVID-19 secara dalam talian (online) melalui sistem MySafeTravel/ Aplikasi MyQr oleh MyEG di pautan www.myeg.gov.my dan mengemukakan slip pembayaran di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA); dan
    7. Mempamerkan Notis Perjalanan kepada Syarikat Penerbangan semasa mendaftar masuk.
  2. Apakah maklumat-maklumat yang diperlukan sebelum mengemukakan permohonan kemasukan?

    Pelajar adalah dikehendaki untuk mengemukakan maklumat seperti berikut:

    1. Nama Penuh;
    2. Warganegara;
    3. Nombor Pasport;
    4. Institusi Pendidikan Tinggi;
    5. Maklumat Pengajian;
    6. Nombor Telefon;
    7. Emel;
    8. Lokasi Keberadaan Pelajar (negara semasa);
    9. Tarikh dan Maklumat Penerbangan;
    10. Borang persetujuan untuk menanggung kos rawatan dan lainlain kos berkaitan sekiranya positif COVID-19; dan
    11. Lain-lain maklumat berkaitan yang diperlukan dari semasa ke semasa.
  3. Adakah pelajar dibenarkan membuat permohonan kemasukan ke Malaysia terus kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)?

    TIDAK. Semua permohonan kemasukan ke Malaysia perlu mendapat pengesahan KPT melalui EMGS.

  4. Adakah pelajar dibenarkan memasuki Malaysia tanpa menandatangani Letter of Undertaking (LoU)?

    TIDAK. Hanya pelajar yang menandatangani LoU dan menerima Notis Perjalanan sahaja dibenarkan memasuki Malaysia.

  5. Adakah tanggungan pelajar dibenarkan masuk ke Malaysia sekiranya memiliki Pas Tanggungan masih sah?

    Hanya pelajar sahaja yang dibenarkan masuk. Semua pemegang Pas Tanggungan masih belum dibenarkan memasuki Malaysia.

  6. Adakah pelajar perlu menjalani Ujian Saringan COVID-19 di negara asal sebelum kemasukan ke Malaysia?

    Pelajar wajib membuat Ujian Saringan COVID-19 tiga (3) hari sebelum tarikh berlepas ke Malaysia dan laporan ujian tersebut perlu ditunjukkan kepada pegawai bertugas di PMA semasa ketibaan.

  7. Adakah Laporan Ujian Saringan COVID-19 perlu diterjemahkan ke Bahasa Inggeris?

    YA. Hanya Laporan Ujian Saringan COVID-19 yang diterjemahkan dalam Bahasa Inggeris diterima bagi tujuan pemeriksaan pihak berkuasa semasa ketibaan di Malaysia.

  8. Adakah Keputusan Ujian Saringan COVID-19 yang melebihi tiga (3) hari sebelum tarikh berlepas diterima di Pintu Masuk Antarabangsa?

    TIDAK. Keputusan Ujian Saringan COVID-19 yang melebihi tiga (3) hari sebelum tarikh berlepas tidak sah. Pelajar wajib menjalani Ujian Saringan COVID-19 sekali lagi di PMA dan menjalani kuarantin wajib selama sepuluh (10) hari di stesen kuarantin yang telah ditetapkan.

  9. Bilakah Ujian Saringan COVID-19 akan dilaksanakan?

    Pelajar perlu menjalani Ujian Saringan RT-PCR COVID-19 tiga (3) hari sebelum ketibaan di Malaysia dan menjalani saringan kesihatan sekali lagi di Kaunter Saringan, KKM di PMA semasa tiba di lapangan terbang. Pelajar hanya dibenarkan masuk ke Kaunter Pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia setelah selesai Ujian SaringanCOVID-19 dan pelajar tidak menunjukkan gejala.

  10. Adakah implikasi kos Ujian Saringan COVID-19 ditanggung oleh kerajaan?

    TIDAK. Semua implikasi kos Ujian Saringan COVID-19 semasa urusan kemasukan ke Malaysia dan sehingga tamat tempoh kuarantin perlu ditanggung oleh pelajar.

  11. Adakah pelajar yang kembali dari luar negara perlu menjalani kuarantin wajib sebelum kembali ke kampus?

    YA. Semua pelajar dari luar negara dikehendaki menjalani kuarantin wajib di Stesen Kuarantin yang telah ditetapkan, iaitu selama tujuh (7) hari untuk pelajar antarabangsa yang menunjukkan laporan ujian RT-PCR COVID-19 semasa di PMA dan selama sepuluh (10) hari untuk mereka yang tidak membawa bersama laporan RT-PCR COVID-19.

  12. Adakah pelajar dibenarkan untuk memilih Stesen Kuarantin?

    TIDAK. Stesen Kuarantin akan ditentukan oleh pihak NADMA.

  13. Apakah tanggungjawab pelajar semasa menjalani tempoh kuarantin?

    Pelajar perlu memastikan perkara berikut:

    1. Pelajar menjalani Ujian Swab kali ke-2:
      1. Pelajar yang telah menunjukkan bukti laporan ujian RTPCR COVID-19 di PMA semasa ketibaan di Malaysia perlu menjalani Ujian Swab RT-PCR / RTK Ag COVID-19 pada hari ke-5 tempoh kuarantin; dan
      2. Pelajar yang tidak menunjukkan bukti laporan ujian RTPCR COVID-19 di PMA semasa ketibaan di Malaysia perlu menjalani Ujian Swab RT-PCR / RTK Ag COVID-19 pada hari ke-8 tempoh kuarantin; dan
    2. Pelajar perlu membuat penilaian kendiri setiap hari melalui Home Assessment Tool dalam aplikasi MySejahtera selama 14 hari dari tarikh ketibaan.
  14. Apakah tanggungjawab IPT semasa pelajar menjalani tempoh kuarantin?

    IPT perlu memastikan perkara berikut:

    1. IPT perlu mengenal pasti lokasi Stesen Kuarantin pelajar masing-masing melalui EMGS; dan
    2. IPT perlu membuat perancangan yang teliti bagi memastikan urusan pengambilan pelajar dari Stesen Kuarantin ke IPT masing-masing berjalan dengan lancar dan teratur.
  15. Adakah kos kuarantin ditanggung oleh kerajaan?

    TIDAK. Semua implikasi kewangan ditanggung oleh pelajar.

  16. Berapakah jangkaan kos yang perlu dibayar oleh pelajar?

    CAJ BAGI UJIAN PENGESANAN COVID-19 DI PINTU MASUK ANTARABANGSA DAN FASILITI KKM
    UJIAN PENGESAHAN COVID-19FI
    RT-PCR RM250.00
    RTK Ag RM120.00
    KOS KUARANTIN
    KOS PENGINAPAN/ PENGOPERASIANFI
    Kos penginapan
    (RM150.00/sehari)
    RM1,500.00 (kuarantin 10 hari)
    RM1,050 (kuarantin 7 hari)
    Caj Tetap
    (Pengoperasian Stesen Kuarantin)
    RM2,600.00
  17. Bilakah bayaran Ujian Saringan COVID-19 dan Kos Kuarantin perlu dijelaskan?

    Bayaran Ujian Saringan COVID-19 dan Kos Kuarantin perlu dijelaskan sebelum kemasukan ke Malaysia secara dalam talian (online) dan slip pembayaran dikemukakan kepada petugas di PMA. Walau bagaimanapun, pembayaran secara tunai di PMA semasa ketibaan masih dibenarkan sehingga dimaklumkan kelak.

  18. Adakah pelajar dibenarkan bergerak sendiri ke IPT selepas tamat tempoh kuarantin?

    TIDAK. Pelajar tidak dibenarkan bergerak ke IPT selepas tamat tempoh kuarantin tanpa pengawasan dan pemantauan IPT.

  19. Adakah pelajar antarabangsa yang telah tamat tempoh kuarantin perlu mendapatkan surat kebenaran dari pihak polis untuk merentas Daerah/Negeri?

    TIDAK PERLU. Pihak NADMA akan memberikan surat pengesahan tamat tempoh kuarantin (Release Order) kepada pelajar dan boleh digunakan untuk ditunjukkan kepada petugas Sekatan Jalan Raya (SJR) ketika merentas Daerah/Negeri untuk bergerak ke IPT masingmasing.

  20. Apakah tindakan yang perlu diambil selepas pelajar antarabangsa selesai kuarantin wajib yang ditetapkan oleh NADMA?

    IPT perlu mengambil pelajar yang telah tamat tempoh kuarantin wajib dan meneruskan pengajian di kampus. Surat pengesahan tamat tempoh kuarantin (Release Order) boleh digunakan untuk membuat perjalanan merentasi Daerah dan Negeri.

  21. Adakah pelajar antarabangsa perlu menjalani pengasingan di IPT?

    TIDAK. Pelajar antarabangsa hanya perlu menjalani kuarantin wajib di Stesen Kuarantin yang ditetapkan oleh NADMA. Pelajar hanya perlu menjalani kuarantin diri sehingga hari ke-14 sebelum dibenarkan hadir ke kelas.

  22. Adakah pelajar transit untuk ke Sabah atau Sarawak perlu menjalani Ujian Saringan COVID-19 di PMA?

    YA. Pelajar yang transit di KLIA/KLIA2 dan akan menaiki kapal terbang ke Sabah atau Sarawak perlu menjalani Ujian Saringan COVID-19 di Pintu Masuk Antarabangsa di KLIA/KLIA2.

  23. Adakah pelajar transit untuk ke Sabah dan Sarawak dibenarkan untuk menjalani kuarantin di Stesen Kuarantin sebaik sahaja tiba di Sabah atau Sarawak atau perlu menjalani kuarantin di Stesen Kuarantin di Semenanjung Malaysia?

    Sekiranya tempoh masa ketibaan pelajar dari luar negara di KLIA/KLIA2 dan jadual penerbangan ke Sabah atau Sarawak kurang daripada 24 jam, pelajar akan dibenarkan menaiki pesawat dan menjalani kuarantin di Stesen Kuarantin di Sabah atau Sarawak.

    Walau bagaimanapun, sekiranya tempoh masa ketibaan pelajar dari luar negara dan jadual penerbangan ke Sabah atau Sarawak melebihi 24 jam, maka pelajar dikehendaki menjalani kuarantin wajib di Stesen Kuarantin yang ditetapkan oleh NADMA di Semenanjung Malaysia (Kuala Lumpur/Selangor/Negeri Sembilan) selama 7 atau 10 hari sebelum dibenarkan untuk meneruskan perjalanan ke Sabah atau Sarawak.

  24. Adakah pelajar antarabangsa perlu mendapatkan surat pengesahan dari pihak kedutaan sekiranya ingin meninggalkan Malaysia?

    TIDAK PERLU. Pelajar hanya perlu mendapatkan surat kebenaran untuk merentas Daerah/Negeri daripada Balai Polis yang berdekatan. IPT diminta untuk membantu pelajar bagi urusan ini.

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI
16 FEBRUARI 2021

Muat Turun: pdf FAQ - Kemasukan Pelajar IPT ke Kampus pada Mac 2021 (188 KB)

%MCEPASTEBIN%
  • Hits: 1089
Ministry of Higher Education Official Portal © All rights reserved
Last Modified: Thursday 06 May 2021, 11:25:14.