English translation not available for this content.
logo kpt black

TEKS UCAPAN

YANG BERBAHAGIA DATO’ DR. HAJI MEGAT SANY BIN MEGAT AHMAD SUPIAN
TIMBALAN KETUA SETIAUSAHA (DASAR)
KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI (KPT)

MAJLIS PELANCARAN
JUALAN MURAH KELUARGA MALAYSIA SISWA (JMKMSiswa)

19 OKTOBER 2022


MUKADIMAH

  1. Bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat kita hadir bersama-sama di Majlis Pelancaran Jualan Murah Keluarga Malaysia Siswa atau akronimnya JMKMSiswa pada pagi ini. Di kesempatan ini, saya ucapkan ribuan terima kasih serta mengalu-alukan Yang Berhormat Tan Sri Noh Haji Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi atas kesudian untuk hadir di majlis pada hari ini.
  1. Saya, mewakili Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) amnya dan Universiti kebangsaan Malaysia (UKM) khususnya juga ingin mengucapkan selamat datang dan terima kasih kepada pihak Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) kerana telah memilih UKM sebagai lokasi bagi Majlis Pelancaran JMKMSiswa.
  1. Ianya merupakan satu pengiktirafan bagi UKM serta entiti koperasi UKM iaitu UNIKEB dalam melaksanakan inisiatif Kerajaan untuk membantu para mahasiswa menangani kos sara hidup yang semakin meningkat khususnya dengan kenaikan harga barangan keperluan harian. Saya difahamkan barangan yang dijual sepanjang JMKMSiswa ini merupakan barangan keperluan harian yang sememangnya diperlukan oleh para mahasiswa selain makanan keperluan untuk memasak.

PENDEKATAN SECARA KOLABORASI STRATEGIK BAGI MENGURANGKAN KOS SARA HIDUP MAHASISWA

Para Mahasiswa yang dikasihi serta hadirin yang dihormati sekalian,

  1. Atas dasar kecaknaan terhadap kos sara hidup yang meningkat yang turut membebankan para pelajar dan keprihatinan terhadap kebajikan siswa di IPT selaras dgn #KPTPrihatin, KPT telah menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Sara Hidup Siswa Keluarga Malaysia. Jawatankuasa ini yang dipengerusikan oleh YB Menteri Pengajian Tinggi dan Jawatankuasa Pelaksana di peringkat institusi dipengerusikan oleh Naib Canselor/Rektor/Pengarah telah bertindak sebagai penyelaras dan pelaksana dasar, memantau kawalan harga barang dan perkhidmatan serta membentuk jaringan kolaborasi dengan pihak berkepentingan secara holistik.
  1. KPT mula meneroka pendekatan baharu dalam membantu mahasiswa berkeperluan dengan menjalankan kolaborasi strategik dengan Kementerian dan jabatan Kerajaan yang lain. Pendekatan ini bermula dengan pelaksanaan kerjasama strategik antara KPT dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKOM) melalui inisiatif peranti siswa keluarga Malaysia. Manakala pada hari ini, dengan kerjasama strategik antara KPT dan KUSKOP, inisiatif Jualan Murah Keluarga Malaysia Siswa (JMKMSiswa) dapat direalisasikan. Kita berharap agar kolaborasi strategik seperti ini dapat diperluaskan lagi dengan kementerian lain bagi memberi manfaat kepada mahasiswa berkeperluan.

INISIATIF BAGI MENGURANGKAN KOS SARA HIDUP MAHASISWA

Para Mahasiswa yang dikasihi serta hadirin yang dihormati sekalian,

  1. Selaras dgn #KPTPrihatin, KPT  menerusi  universiti-universiti  awam  amat  giat  dalam  menjalankan  pelbagai  inisiatif sebagai  usaha  untuk  membantu  para  mahasiswa  yang memerlukan  khususnya  dalam kalangan keluarga  yang  berpendapatan rendah.  Antaranya  melalui  program  Food  Basket  Siswa  Keluarga Malaysia.  Melalui  program  sebegini,  para  mahasiswa  dapat membeli  set  makanan  lengkap  dengan  harga  lebih  murah  iaitu serendah  RM3.50  untuk  sarapan  pagi,  makan  tengahari  atau makan  malam  berbanding  di  restoran  atau  kedai  di  luar  kampus.
  2. Malahan, tambahan daripada itu, inisiatif bantuan makanan kepada golongan mahasiswa B40 seperti Food@Campus dan Food Bank Siswa juga turut dilaksanakan bagi memastikan tiada mahasiswa yang terpaksa mengikat perut sepanjang pengajian.

JMKM SISWA

  1. Bagi pelaksanaan JMKM Siswa, saya dimaklumkan bahawa pelaksanaannya akan melibatkan 13 Kedai Koperasi (Coopmart) di kampus Universiti Awam dan 7 Pusat Keusahawanan Universiti Awam bagi Universiti Awam yang tidak mempunyai kedai koperasi. Tempoh pelaksanaannya pula bermula pada hari ini, 19 Oktober 2022 hingga Disember 2022.
  2. Selain koperasi, keterlibatan Pusat Keusahawanan Universiti Awam dalam program JMKMSiswa ini juga merupakan salah satu peluang untuk mempupuk nilai keusahawanan dalam kalangan pelajar. Ianya selaras dengan hasrat Kerajaan amnya dan KPT khususnya sepertimana yang dizahirkan dalam Lonjakan Pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi): Melahirkan Graduan Holsitik, Berciri Keusahawanan dan Seimbang.

USAHA MELAHIRKAN GRADUAN BERCIRIKAN KEUSAHAWANAN

Para hadirin sekalian,

  1. KPT berbesar hati dan mengalu-alukan kerjasama dengan pihak KUSKOP dalam melahirkan mahasiswa yang berbakat dalam menjadi bakal pelapis usahawan pada masa akan datang. Saya berharap, program keusahawanan dan koperasi yang melibatkan pelajar seperti ini akan akan menyuntik minat dan semangat keusahawanan dan berkoperasi dalam kalangan mahasiswa agar mereka dapat berdikari tanpa terlalu bergantung kepada kerjaya bergaji apabila para mahasiswa ini mula menyertai realiti komuniti selepas tamat pengajian nanti.
  2. Adalah menjadi satu kerugian yang besar sekiranya bakat keusahawanan yang ada tidak digilap dan dikembangkan.

PENUTUP

  1. Akhir kata, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada pihak KUSKOP selaku peneraju program, UKM selaku hos majlis pelancaran pada hari ini dan semua pihak yang terlibat atas usaha yang tidak putus bagi menjayakan program ini.
  2. Izinkan saya menutup ucapan saya dengan serangkap pantun.

Mencari timba si anak dara,
Di bawah sarang burung tempua,
Salam sembah pembuka bicara,
Selamat datang untuk semua.
Sekian.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan TKSU (D) JMKM Siswa.pdf (430 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 12817
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Thursday 18 April 2024, 14:41:25.