English translation not available for this content.
logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATO' HAJI MOHAMMAD YUSOF BIN APDAL
TIMBALAN MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS PELANCARAN JOM MASUK U 2023 ZON SABAH

27 MEI 2023


PEMBUKA BICARA

 

  1. Alhamdulillah, pertama sekali saya ingin panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah dan kurnianya, kita telah diberi kesempatan dan ruang untuk bersama di dalam Program Jom Masuk U 2023 Zon Sabah.
  1. Terima kasih juga kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) selaku rakan strategik bagi Program Jom Masuk U Zon Sabah ini serta kepada semua pihak yang berkesempatan untuk bersama- sama meraikan Majlis Pelancaran Program Jom Masuk U hari ini yang merupakan Signature Program tahunan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
  1. Tidak lupa juga kepada Pelibatan Ibu Bapa Komuniti Swasta (PIBKS) yang turut membantu & menggalakkan Ibu bapa untuk hadir bersama ke Program Jom Masuk U Zon Sabah Insyallah KPT akan meningkatkan jalinan kerjasama bersama PIBKS dengan lebih kukuh lagi di masa akan datang.

JOM MASUK U 2023

Hadirin Hadirat yang saya kasihi sekalian,

  1. Pada tahun ini, Jom Masuk U dilaksanakan di seluruh Malaysia yang dimulakan dengan Zon Selatan dan Zon Sarawak pada 20 Mei yang lalu. Diikuti dengan Zon Sabah dan Zon Kedah yang di adakan pada hari ini sehingga esok
  2. Diteruskan ke Zon Timur pada 3 – 4 Jun 2023 dan diakhiri dengan Majlis Penutupan di Zon Tengah yang akan disempurnakan oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi.
  3. Program Jom Masuk U di Zon Sabah ini membolehkan pelajar, ibu bapa, pendidik, kaunselor dan masyarakat Sabah mendapatkan maklumat berkenaan peluang pengajian yang ditawarkan oleh 20 Universiti Awam (UA), Jabatan Pendidikan Politeknik Dan Kolej Komuniti (JPPKK), Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) serta penglibatan hampir 30 Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) yang terpilih. Agensi yang menyediakan biasiswa dan pembiayaan pendidikan turut dilibatkan di dalam program ini seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
  4. Tanpa perlu ke kampus IPTA dan ILKA yang berada di Semenanjung Malaysia, rakyat sabah berpeluang mendapatkan Khidmat nasihat langsung daripada para perunding yang bertugas sepanjang program ini.

KEPENTINGAN KE PENDIDIKAN TINGGI BAGI PELAJAR SABAH

Hadirin Hadirat yang saya kasihi sekalian,

  1. Sabah merupakan salah sebuah negeri yang terkenal dengan keunikan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai etnik dan budaya. Di wilayah ini, pembangunan dalam bidang pendidikan sentiasa mendapat perhatian pihak kerajaan, pemimpin mahupun masyarakat tempatan.
  2. Melalui pendidikan, kita memperoleh pengetahuan, kemahiran dan nilai yang diperlukan untuk pembangunan diri dan masyarakat. Ini kerana Pendidikan adalah asas untuk membina masa depan yang lebih baik bagi individu, masyarakat dan negara.
  3. Pembangunan sistem pendidikan menjadi satu pelaburan yang bukan sahaja dapat menjamin kemakmuran negara tetapi juga melahirkan modal insan yang berilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi pada masa akan datang.
  4. Seiring dengan tema Membangun Malaysia MADANI, KPT komited dalam usaha membantu mencapai hasrat Kerajaan melalui pelaksanaan inisiatif dan program yang memberi manfaat kepada pemegang taruh KPT khususnya, serta komuniti dan masyarakat secara amnya dan Sabah secara khususnya seperti Program Jom Masuk U yang diadakan di bumi di bawah bayu ini.

PERMOHONAN UPUONLINE®

Hadirin Hadirat yang saya kasihi sekalian,

  1. Fasa pertama permohonan untuk memasuki IPTA melalui UPUOnline® telah berakhir pada 28 Mac yang lalu. Namun, para pelajar berpeluang untuk membuat permohonan fasa kedua yang telah dibuka pada 15 Mei 2023-19 Jun 2023. Semua calon yang berkelayakan adalah dipelawa mengambil peluang ini bagi menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi.
  1. Terdapat sebanyak 500 buah program pengajian ditawarkan kepada Lepasan SPM dan 1,096 buah program pengajian ditawarkan kepada Lepasan STPM/Setaraf oleh UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA seluruh negara.

MEMPERKASA PROGRAM TVET

Hadirin Hadirat yang saya kasihi sekalian,

  1. Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi di dalam ucapan beliau pada Majlis Amanat Menteri Pendidikan Tinggi 2023, telah menegaskan bahawa penawaran program kemahiran perlu sesuai dan selari dengan kecekapan teknologi dan mega trend dunia yang menjurus kepada tiga pendekatan utama iaitu High Arts, High Tech dan High Touch.
  1. Ketiga-tiga aspek ini adalah berasaskan kepada perkembangan semasa teknologi dengan menggabungkan kedinamikan pelbagai disiplin ilmu. Ia membolehkan lepasan institusi Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini bukan sahaja relevan dengan tuntutan Malah, mempunyai kelebihan yang melayakkan mereka menerima pekerjaan dan kadar upah yang lebih bermaruah.
  1. TVET merupakan alternatif kepada pendidikan akademik yang memberikan penekanan kepada kemahiran teknikal dan praktikal bagi memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.
  1. Namun, terdapat cabaran yang dihadapi oleh TVET di Malaysia kerana persepsi ramai yang masih mengutamakan pendidikan akademik berbanding pendidikan teknikal menjadi antara faktor cabaran bidang TVET.
  1. Stigma yang menganggap bahawa sijil kemahiran hanya untuk golongan yang tidak berjaya dalam bidang akademik tidak lagi relevan pada masa kini.
  1. Kementerian sentiasa memberi galakan dan intensif seperti melaksanakan Program Dermasiswa B40 TVET bagi pelajar golongan B40 untuk mengikuti pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda di IPTA sejak tahun 2022.

Hadirin Hadirat yang saya kasihi sekalian,

  1. Program Industry On Campus (IOC) sebagai salah satu inisiatif kepada pelajar untuk merasai persekitaran sebenar industri ke dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PDP). Melalui strategi ini, Kementerian menyasarkan Politeknik yang menawarkan Program TVET dapat menjalinkan hubungan yang akrab dan serius dengan pihak industri sekaligus dapat merapatkan jurang antara kehendak industri dengan sumber pekerja mahir tempatan.
  1. Selain daripada politeknik, Kolej Komuniti juga harus menjadi destinasi utama pilihan bagi pelajar yang berminat mengembangkan bakat dan kemahiran. Malah ianya terbuka kepada sesiapa sahaja termasuk mereka yang telah kehilangan pekerjaan untuk mendapatkan peluang membina kemahiran lain dan meneruskan minat yang pernah tergendala mahupun menyokong peralihan kerjaya.

PENUTUP BICARA

Hadirin Hadirat yang saya hormati sekalian, 

  1. Pendidikan bukan lagi dilihat sebagai satu isu yang bersifat lokal atau kenegaraan semata-mata tetapi telah menjadi isu sejagat dan diperjuangkan di seluruh dunia termasuk di negara kita. Pendidikan telah menjadi asas kepada pembangunan masyarakat malah telah menjadi perkara penting dalam agenda Negara.
  1. Pendidikan berkualiti tinggi menjadi tunjang utama negara dalam mencapai kadar celik teknologi yang tinggi di kalangan masyarakat, melahirkan pemimpin yang berwibawa serta menjamin kestabilan ekonomi.
  1. Justeru, pencapaian pendidikan inklusif dan berkualiti adalah amat penting kepada generasi muda dan akan datang dalam pembangunan masyarakat yang lestari dan sejahtera.
  1. Kepada semua pelajar, hayatilah kata- kata ini :

“Dengan memiliki ilmu kita dapat menggenggam dunia dan mengejar cita-cita. Dengan memiliki ilmu, kita dapat berbakti kepada keluarga, agama, masyarakat dan bangsa.”

  1. Akhir kata, syabas dan tahniah saya zahirkan di atas komitmen dan kerjasama yang diberikan oleh semua yang terlibat samaada di peringkat Kementerian, IPTA, JPPKK, ILKA, IPTS serta agensi- agensi seperti MQA, PTPTN dan lain- lain dalam menjayakan program ini.
  1. Saya mendoakan agar Program Jom Masuk U 2023 Zon Sabah ini menjadi titik pemacu kepada peningkatan keupayaan penyampaian perkhidmatan pendidikan tinggi negara. Malah, turut membuka peluang yang lebih luas kepada saudara dan saudari untuk menempa kemajuan yang lebih gemilang pada masa hadapan.
  2. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, dengan ini saya melancarkan Program Jom Masuk U 2023 Zon Sabah.

Sekian, terima kasih.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YB Timbalan Menteri JMU2023 Zon Sabah.pdf (178 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 5771
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 19 April 2024, 16:56:01.