English translation not available for this content.
logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATO' HAJI MOHAMMAD YUSOF BIN APDAL
TIMBALAN MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS PERASMIAN PENUTUP “UiTM HEALTH COMPETITION – RAISING AWARENESS ON RARE DISEASES & MENTAL HEALTH” & PELANCARAN BUKU MEMPERKASA KESEJAHTERAAN KOMUNITI HASIL DARI PROGRAM UNIVERSITY FOR SOCIETY (U4S) ZON TENGAH WILAYAH

21 FEBRUARI 2023


1. Bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat kita bersama-sama dalam Majlis Perasmian Penutup “UiTM Health Competition – Raising Awareness on Rare Diseases & Mental Health” anjuran UiTM bersama KPT dan PFIZER serta Pelancaran Buku “Memperkasa Kesejahteraan Komuniti” hasil dari pelaksanaan Program University for Society (U4s) Zon Tengah Wilayah melibatkan kerjasama Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Teknologi MARA dan Pfizer.

2. Terima kasih dan tahniah saya ucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakannya. Pada kesempatan ini juga, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada pihak Kolej Kejuruteraan UiTM, Shah Alam khususnya atas dedikasi berterusan mereka sehingga berjaya menganjurkan acara yang berprestij pada hari ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

3. ‘Penyakit jarang jumpa’ ini kurang dibincangkan dalam kalangan penggubal dasar dalam kerajaan apatah lagi dalam kalangan masyarakat disebabkan kekurangan maklumat epidemiologi serta kesan langsung yang dihadapi oleh pesakit tersebut.

4. Bagi mencapai kesaksamaan akses kepada kualiti kesejahteraan hidup dan perkhidmatan perubatan yang berkesan serta mampu-milik seperti yang digariskan dalam Polisi Perkhidmatan   Perubatan Kebangsaan, Malaysia perlu mengambil pendekatan yang serius dan mengemukakan cadangan yang bernas untuk menangani ‘isu penyakit jarang jumpa’. 

5. Tiga buah Universiti Awam di Malaysia telah disaran untuk memperkenalkan mata pelajaran genetik dalam kurikulum pengajian perubatan masing-masing, yang kemudiannya akan diikuti oleh 30 buah lagi Sekolah Perubatan di Universiti Awam dan Swasta di negara ini.

6. Perkara ini penting bagi Malaysia dan ia bertepatan dengan hasrat kita untuk membangunkan satu  Pelan  Pengurusan  Penyakit Jarang Jumpa Kebangsaan yang jelas serta mudah diakses merangkumi aspek pengujian dan rawatan yang komprehensif.

Hadirin yang dihormati sekalian,

7. Kesedaran kepada ‘penyakit jarang jumpa’ di Malaysia secara relatifnya masih lagi rendah walaupun semakin meningkat dari segi momentum sejak sepuluh tahun kebelakangan ini. Ia merupakan satu faktor kritikal dalam aspek pengurusan penyakit ini yang memerlukan penglibatan daripada semua pihak sama ada pihak kerajaan mahupun swasta.

8. Kebiasaannya, kempen kesedaran kepada penyakit ini hanya dilakukan kepada Kumpulan Advokasi pesakit dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGOs). Kumpulan dan Badan-badan ini memainkan peranan yang penting untuk mendapatkan perhatian dan penglibatan daripada pihak kerajaan atau penggubal dasar.

9. Data epidemiologi yang diterbitkan pada tahun 2015 oleh KKM telah mengenal pasti bahawa kecenderungan orang dewasa menghidapi penyakit mental ialah 29%. Ini menunjukkan tiga kali ganda peningkatan berbanding data yang diperolehi pada tahun 1996 iaitu pada 10% sahaja.

10. Satu lagi kajian di Malaysia yang dijalankan pada April 2020 semasa Ordinan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melaporkan bahawa daripada 716 orang dewasa yang dikenal pasti, 70% daripada mereka telah mengalami gangguan tekanan, 76% mengalami kebimbangan melampau dan 42.3% mengalami kemurungan.

11. Data tersebut menunjukkan impak negatif yang serius terhadap implementasi  PKP  dan pandemik COVID-19 kepada kesihatan mental dalam kalangan orang dewasa di negara ini.

12. Oleh yang demikian, kefahaman terhadap kesihatan mental dan kepentingannya boleh memberi kesedaran kepada orang ramai seterusnya membantu untuk mencegahnya.

13. Kekurangan kesedaran dan ketidakfahaman mengenai kesihatan mental dalam kalangan orang ramai merupakan cabaran utama untuk ditangani dalam menyediakan rawatan untuk penyakit mental.

14. Keberanian, kasih-sayang, harapan, kebenaran, perpaduan dan ketelusan adalah merupakan nilai teras dalam dimensi psiko-spiritual yang mana kesemuanya ini disepadukan dalam bentuk terapi.

15. Sehubungan dengan ini, kempen kesedaran kesihatan mental perlu berfokus kepada tiga perkara iaitu:

  1. Meningkatkan kesedaran orang ramai,
  2. Mendidik masyarakat mengenai tanda-tanda awal kepada isu kesihatan mental, dan
  3. Melibatkan pemegang taruh yang menjadi sasaran utama.

Hadirin yang dihormati sekalian,

16. Akhir kata, sekali lagi saya merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak yang terlibat dalam menjayakan UiTM Health Competition serta penerbitan buku “Memperkasa Komuniti Sejahtera”.

17. Semoga segala yang telah dilaksanakan ini dapat membantu usaha KPT dan IPT dalam membangunkan kecemerlangan pengajian tinggi negara di peringkat serantau dan antarabangsa.

18. Dengan lafaz ‘Bismillahirrahmanirrahim’, saya dengan ini merasmikan Majlis Penutupan “UiTM Health Competition – Raising Awareness on Rare Diseases & Mental Health”. 

Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

 

Muat Turun:

pdf TU YBTM - UITM HEALTH COMPETITION.pdf (59 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 6049