English translation not available for this content.
logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB. DATO’ HAJI MOHAMMAD YUSOF BIN APDAL
TIMBALAN MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS SANJUNGAN BUDI LAMBAIAN KASIH
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI TAHUN 2023

 21 MAC 2023 (SELASA)


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Malaysia Madani

Terima kasih kepada saudari Pengacara Majlis.

SALUTASI

(Salutasi akan disediakan secara berasingan)

Yang diraikan, iaitu: 
Yang Berbahagia Dato’ Profesor Dr. Husaini bin Omar,
Mantan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi;
Yang Berusaha Encik Roslee Yahya,
Mantan Pengarah Kanan (Kompetensi)
Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK);
Yang Berusaha Teknologis Noor Aidi binti Nadzri,
Mantan Pengarah Politeknik Ibrahim Sultan
Dan,
Yang Berusaha Puan Rokiah binti Saad,
Ketua Unit Audit Dalam
Kementerian Pendidikan Tinggi;

Seterusnya para jemputan yang saya hormati sekalian. 

PENDAHULUAN

  1. Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT, kerana atas limpah kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama pada malam ini sempena Majlis Sanjungan Budi Lambaian Kasih Kementerian Pendidikan Tinggi Tahun 2023, bagi meraikan persaraan enam orang pegawai dari Kumpulan Pengurusan Tertinggi KPT. Walau bagaimanapun, saya difahamkan Puan Norisma binti Mohd Ismail, PTD Gred Utama C, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Strategik dan Puan Shahah binti Ahmad, Pegawai Teknologi Maklumat Gred F54, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Maklumat tidak dapat bersama-sama kita pada malam ini kerana telah mempunyai komitmen yang lebih awal.

APRESIASI BUDI DAN JASA

  1. Ibarat tertulis dalam pantun Melayu:

Akar keladi melilit selasih,
Selasih tumbuh di hujung taman,
Kalungan budi junjungan kasih,
Mesra kenangan sepanjang zaman.

  1. Insan-insan yang diraikan pada malam ini merupakan insan-insan yang telah menyumbangkan jasa dan bakti yang bernilai kepada dunia pendidikan tinggi negara. Sungguhpun begitu, mereka memiliki kelebihan yang pelbagai yang merupakan pelengkap dalam pasukan kepimpinan di KPT.

Yang Berbahagia Dato’ Profesor Dr. Husaini bin Omar, Mantan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi

  1. Yang Berbahagia Dato’ Profesor Dr. Husaini bin Omar, bukanlah asing bagi sektor pendidikan tinggi negara kerana telah berkecimpung dalam dunia ini lebih daripada 27 tahun. Laluan kerjaya beliau yang panjang bermula dengan pengalaman industri sebagai seorang jurutera geologi selama lapan (8) tahun yang kemudiannya terjun ke bidang akademik pada tahun 1996 dan menjawat beberapa jawatan strategik di peringkat kementerian sebelum bersara sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi.
  1. Mengimbas sejarah perkhidmatan beliau, Yang Berbahagia Dato’ Prof. Husaini telah memegang beberapa jawatan utama di peringkat universiti antaranya Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) di Universiti Putra Malaysia. Beliau, seterusnya dilantik sebagai Naib Canselor di Universiti Malaysia Kelantan dari 1 Januari 2018 sehingga 6 Januari 2019.
  1. Terdahulu, beliau diberi amanah dan kepercayaan untuk menerajui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sebagai Ketua Eksekutif. Selama berkhidmat di MQA, beliau telah mengangkat tahap kualiti pendidikan tinggi negara ke satu tahap yang membanggakan. Pelantikan sebagai Ketua Eksekutif MQA merupakan satu kepercayaan yang diberikan oleh pihak Kementerian atas kebolehan yang ditunjukkan oleh Yang Berbahagia Dato’ Prof. Dr.
  1. Yang Berbahagia Dato’ Prof. Dr. Husaini juga telah melakar pencapaian dengan merangkul beberapa anugerah sepanjang perkhidmatan beliau seperti Anugerah Saintis Muda, Anugerah Belia Negara dan anugerah lain seperti International Technology Expo Gold Medal.
  1. Di samping itu, beliau juga aktif dan terlibat dengan pelbagai organisasi kebangsaan dan badan antarabangsa. Beliau pernah menganggotai Persatuan Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (MSeT), menjadi Felo The Geological Society of London dan Ahli Persatuan International Association of Engineering Geology (IAEG), Paris. Pengalaman ini menjadikan beliau sebagai pakar rujuk oleh organisasi-organisasi antarabangsa.
  1. Figura ini telah menyambut hari kelahiran ke-60 pada 10 Mac 2023 yang lalu setelah mencurahkan keringat dan tenaga bagi melonjakkan kemajuan, kecemerlangan dan menaikkan martabat pendidikan tinggi negara sehingga ke kedudukan masa kini.

Yang Berusaha Encik Roslee Yahya, Mantan Pengarah Kanan (Kompetensi), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK)

  1. Seterusnya menelusuri sejarah jasa dan sumbangan insan kedua yang diraikan pada malam ini, iaitu Yang Berusaha Encik Roslee Yahya mantan Pengarah Kanan (Kompetensi), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK). Beliau telah berkhidmat selama 35 tahun dalam sektor Pendidikan Technical, Vocational Education and Training (TVET) yang memberikan sumbangan yang amat signifikan kepada pengukuhan dan perkembangan TVET KPT secara keseluruhannya.
  1. Di JPPKK, Encik Roslee Yahya bertanggungjawab mengawal selia dua bahagian penting iaitu Bahagian Kompetensi dan Peningkatan Kerjaya dan Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar. Secara khususnya, sehingga bulan Disember tahun lalu, terdapat 13,868 pensyarah dan kakitangan yang bertugas di politeknik dan kolej komuniti seluruh Malaysia yang berada di bawah kelolaan dan seliaan beliau. Dari aspek ambilan pelajar pula, beliau menguruskan pengambilan hampir 35 ribu pelajar baharu seluruh negara masuk ke sistem TVET KPT. Cabaran kemasukan pelajar baharu semasa pandemik Covid-19 telah berjaya ditangani dengan tangkas dan teratur.
  1. Sepanjang perkhidmatan, beliau pernah bertugas di pelbagai Kolej Komuniti dan Politeknik. Antaranya adalah Kolej Komuniti Bukit Beruang Melaka, Politeknik Metro Johor Bahru, dan Politeknik Kota Kinabalu, Sabah. Dengan kepelbagaian pengalaman, pengetahuan dan kemahiran menjadikan beliau memiliki kekuatan bagi memikul tanggungjawab sebagai Pengarah Kanan (Kompetensi) sehinggalah beliau bersara pada 4 Januari 2023 lalu.

Yang Berusaha Teknologis Noor Aidi binti Nadzri, Mantan Pengarah Politeknik Ibrahim Sultan

  1. Kepada Yang Berusaha Teknologis Noor Aidi binti Nadzri, mantan Pengarah Politeknik Ibrahim Sultan, saya mewakili seluruh warga KPT, mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat, komitmen dan jasa yang telah dicurahkan selama 34 tahun dan berakhir pada 18 Mac 2023 yang lalu. Pastinya ia menjadi ingatan yang sangat bererti baik di politeknik atau semasa menjawat beberapa jawatan penting di JPPKK. Sudah semestinya, memori ini tersemat rapi yang tidak dapat ditukar ganti hatta dengan emas atau wang ringgit.
  1. Menyelusuri sejarah perkhidmatan Teknologis Noor Aidi, beliau banyak menyumbang kepada kemajuan pelbagai institusi dan bahagian. Antaranya adalah di Bahagian Kurikulum. Bahagian ini memikul tanggungjawab besar memastikan kurikulum TVET berinovasi dan mendapat pengiktirafan. Selain itu, beliau pernah menjadi ketua kontingen JPPKK ke pertandingan Worldskills Competition yang mana kontingen beliau memenangi Medallion of Excellent.

Meraikan Yang Berusaha Puan Rokiah binti Saad, Ketua Unit Audit Dalam, KPT yang bakal bersara pada 1 Mei 2023

  1. Pada malam ini, kita turut meraikan Yang Berusaha Puan Rokiah binti Saad, Ketua Unit Audit Dalam, KPT yang bakal bersara pada 1 Mei 2023 nanti. Tentu saja Puan Rokiah sedang menumpukan perhatian untuk menyelesaikan tugas-tugas semasa dengan sempurna sebelum tiba tarikh persaraan.
  1. Bagi pihak KPT, saya amat menghargai dan mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas khidmat bakti puan selama bertugas sebagai penjawat awam dan di Kementerian ini khasnya. Komitmen dan usaha murni puan dalam menunaikan amanah dengan cemerlang sepanjang perkhidmatan sewajarnya dihargai dan dijadikan contoh oleh seluruh warga KPT.
  1. Saya dan seluruh warga KPT mendoakan semoga hari-hari mendatang bagi Puan Rokiah dilimpahi segala rahmat dan keberkatan daripada Allah S.W.T. Doa kami juga semoga terus mendapat kesihatan yang berpanjangan serta sentiasa bahagia di samping keluarga tersayang. Insya-Allah.

PENUTUP

  1. Sekali lagi, bagi pihak KPT, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pegawai yang diraikan pada hari ini. Semoga memori berkhidmat di Kementerian ini kekal menjadi kenangan yang terindah sepanjang hayat.

Berdayung sampan ke Tanah Semenanjung,
Hendak membeli tikarlah rotan,
Budi dikenang bakti disanjung,
Kekal subur dalam ingatan. 

  1. Saya juga ingin mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa dengan penuh ketaatan, keinsafan dan kesyukuran. Saya berharap agar kita semua diberikan kesihatan dan keafiatan diri yang terbaik untuk menunaikan ibadah ini dengan sempurna sehingga ke penghujungnya.

Selamat bersara dan selamat maju jaya!

Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan YBTM Majlis Sanjungan Budi Lambaian Kasih KPT 2023.pdf (203 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 9505
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Thursday 18 April 2024, 14:41:25.