Pergerakan Pulang Pelajar IPT Ke Kampung Halaman Mulai 27 April 2020

Pelajar-pelajar di Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta, Politeknik dan Kolej Komuniti bakal memulakan pergerakan pulang ke kampung halaman masing-masing secara berperingkat-peringkat mulai Isnin, 27 April 2020 KECUALI dari zon merah dan kuning. Pelajar yang berada dalam zon hijau sahaja yang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing yang juga terletak dalam zon hijau.

Persiapan rapi sedang dilakukan bagi menghantar para pelajar dengan kerjasama   Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menyediakan perkhidmatan pengangkutan untuk membawa pelajar dari pusat pelepasan di IPT yang telah dikenalpasti pulang ke destinasi masing-masing.

Aspek keselamatan dan kesihatan pelajar adalah prioriti utama ketika pergerakan pelajar berlangsung. Setiap perkhidmatan pengangkutan akan diiringi oleh seorang pegawai perhubungan (liaison officer) yang akan mempunyai senarai lengkap pelajar.

Selain itu, saringan gejala (suhu badan, sakit tekak, batuk, selsema dan sesak nafas) akan dijalankan oleh KKM dan Pusat Kesihatan Universiti (PKU) sebelum pergerakan pelajar. Pelajar diingatkan  untuk sentiasa menjaga penjarakan sosial (social distancing), memakai topeng muka (face mask) di sepanjang perjalanan dan mengamalkan kebersihan dengan memakai hand sanitizer.

KPT telah menyediakan garis panduan sebagai  rujukan  kepada agensi berkaitan, pelajar dan ibu bapa dalam proses pergerakan pelajar IPT ini. Bilik Gerakan KPT akan beroperasi selama 24 jam  bagi membantu para pelajar dan ibu bapa yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara ini. Sebarang pertanyaan sila hubungi talian hotline 03-8870 6777/6949/6628/6623/6124.

DATO’ DR. NORAINI AHMAD

Menteri Pengajian Tinggi

26 April 2020

Print Email