Kemasukan Semula Pelajar Ke Kampus Secara Fizikal Bermula 1 Mac 2021

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) prihatin dan menyedari kepentingan dalam memastikan keperluan program pengajian pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) berjalan dengan sempurna walaupun berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19.

KPT telah mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan sesi libat urus bersama Majlis Perwakilan Pelajar, pihak pengurusan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pakar kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan tarikh kemasukan pelajar ke kampus secara fizikal. Selain itu, kajian dan survey yang dibuat oleh Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) mendapati majoriti pelajar mahukan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) diadakan secara dalam talian.

Justeru, berdasarkan hasil dan usaha daripada sesi libat urus tersebut, pihak MKN telah bersetuju untuk membenarkan enam (6) kategori pelajar berkeperluan kembali ke kampus secara fizikal seawal 1 Mac 2021 bagi mengikuti PdP secara hibrid iaitu secara fizikal dan secara dalam talian. Enam kategori pelajar yang dibenarkan pulang ke kampus seawal 1 Mac 2021 adalah seperti berikut:

  • Pelajar dari program pengajian peringkat Sijil, Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Pasca Siswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas;
  1. Pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian;
  2. Pelajar Asasi atau Setara dan Diploma yang sedia ada di kampus boleh meneruskan pembelajaran secara hibrid;
  1. Semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom;
  1. Pelajar Berkeperluan Khas (OKU); dan
  1. Pelajar yang menduduki peperiksaan Malaysia University English Test (MUET), antarabangsa dan badan profesional.

Pelaksanaan PdP secara hibrid di dalam kampus boleh dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mengutamakan keselamatan serta kebajikan pelajar. Pelajar yang tidak termasuk  dalam kategori pelajar berkeperluan pula akan meneruskan PdP secara dalam talian.

Pergerakan pulang pelajar berkeperluan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak

 Para pelajar berkeperluan dari Semenanjung yang akan pulang ke kampus IPT di negeri Sabah dan Sarawak diwajibkan untuk menjalani Ujian Swab yang akan dibiayai oleh KKM.

Bagi pelajar yang tiba di Sarawak, mereka diwajibkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari sebelum dibenarkan pulang ke kampus. Kos makan minum dan kuarantin mulai 1 Mac 2021 akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Sarawak.

Pergerakan pulang pelajar berkeperluan dari negeri Sabah dan Sarawak ke Semananjung

Bagi pelajar berkeperluan dari negeri Sabah dan Sarawak, mereka akan ditempatkan di pusat pengasingan yang ditentukan oleh IPT masing-masing bagi memastikan bebas daripada sebarang gejala COVID-19.

Selain daripada ketetapan pergerakan pelajar IPT yang dinyatakan di atas, para pelajar turut disaran untuk merujuk kepada SOP Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak yang sedang berkuat kuasa.

Pihak IPT juga boleh merujuk kepada SOP Sektor Pengajian Tinggi sedia ada yang telah diwartakan merangkumi aspek pengoperasian IPT bagi semua kategori Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Para pelajar boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai urusan kemasukan ke IPT melalui Bilik Gerakan COVID-19 KPT yang dibuka 24 jam di talian 03-8870 6777/6949/ 6623/ 6628, melayari laman web IPT atau terus menghubungi IPT masing-masing.

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI

31 Januari 2021

Print Email