Logo KPT 200x150   Black

KENYATAAN MEDIA MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

KEBOLEHPASARAN GRADUAN
INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI (IPT) MALAYSIA 2016 MENINGKAT


Kadar purata kebolehpasaran graduan Malaysia meningkat sebanyak 1.1% menjadi 77.2% pada tahun 2016 jika dibandingkan 76.1% pada tahun 2015. Kadar purata ini adalah berdasarkan hasil laporan Kajian Pengesanan Graduan 2016 yang telah dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi sehingga 22 November, 2016.

Kadar purata kebolehpasaran graduan di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Malaysia dalam tempoh lima tahun mulai 2012 hingga 2016 juga telah mencatatkan peningkatan sebanyak 2.8%.

Graduan TVET telah menunjukkan peningkatan kebolehpasaran yang memberangsangkan bagi tahun 2016 di mana universiti-universiti teknikal Malaysia (MTUN) menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan pada tahap 87.1% disusuli dengan Politeknik (88.6%) dan Kolej Komuniti (97.2%).

Daripada 224,575 orang graduan yang menyertai kajian tersebut, seramai 126,966 orang (56.5%) telah memperolehi pekerjaan dalam tempoh 6 bulan selepas tamat pengajian, 32,063 orang (14.3%) berjaya melanjutkan pengajian, 5,246 orang (2.3%) memilih untuk meningkatkan kemahiran dan 9,053 orang (4.0%) sedang menunggu penempatan pekerjaan. Selebihnya, hanya 51,247 orang graduan (22.8%) graduan yang didapati masih belum mendapat pekerjaan.

Kajian kebolehpasaran graduan mengikut bidang pengajian pula mendapati graduan dalam pendidikan menunjukkan kebolehpasaran graduan tertinggi iaitu pada kadar 88.3% diikuti oleh graduan bidang teknik (80.2%) serta teknologi maklumat dan komunikasi (78.4%).

Usaha-usaha yang berterusan kini telah dan sedang dilaksanakan oleh KPT bagi memastikan peningkatan kadar kebolehpasaran graduan di Malaysia. Antaranya ialah melalui kerjasama erat antara IPT dan pihak industri seperti:

  1. Program Intervensi dan Program Pusat Kecemerlangan Industri (Industry Centre of Excellent - ICoE);

  2. Program Keusahawanan dengan kerjasama Permodalan Usahawan Nasional Berhad, TERAJU dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia;

  3. Program CEO@Fakulti yang melibatkan tokoh-tokoh korporat yang berwibawa daripada syarikat berkaitan Kerajaan, industri-industri terkemuka dan Pegawai Tinggi Perkhidmatan Awam untuk menyampaikan syarahan berkaitan perkongsian pengalaman dan kepakaran dalam bidang industri masing-masing kepada pelajar-pelajar di UA.

  4. Pengenalan kepada sistem Purata Nilai Gred Kumulatif Bersepadu (Integrated Cumulative Grade Point Average – iCGPA) yang pertama di dunia pada September 2015 bagi menilai kebolehan graduan bukan sahaja daripada segi peningkatan akademik malah turut menilai kebolehan pelajar dalam bidang keusahawanan, kemampuan pengurusan, kemahiran sosial dan berkomunikasi;

  5. Program 2u2i yang merupakan program work based learning (belajar sambil bekerja). Program ini merupakan program pertama diperkenalkan di dunia menerusi penempatan pelajar selama dua tahun di universiti dan dua tahun lagi dalam industri. Program ini juga merupakan kerjasama yang dijalin antara universiti dengan pihak perindustrian yang telah dikenal pasti.

YB Dato' Seri Idris Jusoh
Putrajaya
7 Disember 2016

Print