Advisory Note No. 4/2020 Panduan Pengendalian Program Pendidikan Tinggi Semasa dan Pasca Perintah Kawalan Pergerakan

PENDAHULUAN

  1. YAB Perdana Menteri melalui perutusan pada 1 Mei 2020 dan 10 Mei 2020 telah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 4 Mei 2020 dan pelanjutan sehingga 9 Jun 2020. PKPB telah membenarkan sektor ekonomi dimulakan tetapi dengan syarat-syarat yang ditetapkan. Di samping pelaksanaan tersebut, terdapat beberapa sektor yang belum boleh dibuka semula seperti sektor pendidikan yang merangkumi Universiti Awam (UA), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik, Kolej Komuniti dan Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) yang lain.

  2. Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA) merujuk kepada Kenyataan Media Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bertarikh 27 Mei 2020 berkenaan Pengendalian Aktiviti Akademik Di Kampus Institusi Pendidikan Tinggi Semasa dan Pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memaklumkan bahawa semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) hendaklah dilaksanakan secara dalam talian sehingga 31 Disember 2020 dan semua aktiviti PdP secara bersemuka adalah tidak dibenarkan. Pengecualian diberikan kepada lima (5) kategori pelajar yang berkeperluan untuk pulang ke kampus secara berperingkat bagi melaksanakan PdP seperti di kenyataan media tersebut.

  3. Berdasarkan pemerhatian kepada perkembangan di luar negara, terdapat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) luar negara telah mula merancang pengendalian online/ remote learning sepenuhnya bagi sistem pengajian mereka sehingga penghujung tahun 2020 dengan kemungkinan melanjutkannya ke tahun 2021 sekiranya situasi masih memerlukan.

  4. Kesinambungan daripada pemakluman MQA berkenaan Panduan Pengendalian Program Pendidikan Tinggi Semasa dan Pasca PKP COVID-19 bertarikh 29 Mac 2020, panduan ini adalah bersifat advisory kepada PPT dalam merancang pelanjutan sistem pengajian secara online/ remote learning sehingga penghujung tahun 2020 atau ke tempoh lain yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Keutamaan perancangan dan pendekatan PdP adalah:

i. menyokong usaha kerajaan dalam mengoptimumkan penjarakan sosial dan memutuskan rantaian jangkitan dalam membendung penularan sepenuhnya COVID-19;

ii. memastikan kelangsungan kemajuan pengajian pelajar; dan

iii. memelihara kualiti pengajian bagi memastikan kepentingan peluang pelajar dalam prospek kerjaya pada masa akan datang.

  1. Panduan ini juga perlu dibaca bersama dengan arahan atau ketetapan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa termasuk Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) KPT dan pihak lain yang berkaitan seperti badan profesional.

  2. Senat/ Lembaga Akademik PPT adalah bertanggungjawab dan diberikan autonomi untuk memutuskan pelaksanaan program dalam tempoh yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berdasarkan peruntukan perlembagaan masing-masing serta kesesuaian sumber dan prasarana sedia ada. PPT perlu mengambil kira kepentingan dan menjaga kebajikan pelajar dan kakitangan dalam pelaksanaan ini. PPT hendaklah memastikan sebarang pindaan dan penyelarasan direkod untuk tujuan rujukan semasa penilaian akreditasi pada masa akan datang.

  3. PPT merujuk kepada UA, IPTS, Politeknik dan Kolej Komuniti. PPT juga merangkumi Institusi Pendidikan Tinggi/ Latihan Awam lain yang programnya telah diakreditasi oleh MQA.

 

PENCAPAIAN HASIL PEMBELAJARAN

  1. Pada umumnya sebarang perubahan dan pengubahsuaian kepada PdP perlu meletakkan pencapaian hasil pembelajaran program sebagai parameter utama. Selaras dengan ketetapan Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Framework, MQF), semua program yang diakredit MQA perlu meliputi lima (5) kluster hasil pembelajaran.

  2. MQA mendapat makluman akan cabaran dan kesukaran PPT untuk membuat penyampaian dan pengukuran pencapaian bagi domain hasil pembelajaran pelajar tertentu dalam PdP alternatif yang diubah suai. Antara domain hasil pembelajaran tersebut merangkumi:

i. Ethics and Professionalism;

ii. Interpersonal and Communication Skills;

iii. Leadership, Autonomy and Responsibility; dan

iv. Personal and Entrepreneurial Skills

  1. Selaras dengan itu, PPT boleh mempertimbangkan sewajarnya untuk membuat pengubahsuaian dan pelarasan semula kepada aspek penilaian dan kaedah pengajaran sejajar dengan hasil pembelajaran yang telah ditetapkan. Ini bagi memastikan hasil pembelajaran tersebut masih dapat diukur dan dicapai oleh pelajar setelah mereka menyelesaikan kursus di dalam situasi dan pengendalian yang berbeza. Ini termasuk menyelaras semula agihan hasil pembelajaran kursus yang mana domain pembelajaran yang sukar disampaikan dan dinilai melalui kaedah alternatif dianjakkan ke kursus-kursus lain yang bersesuaian di semester yang dijangkakan boleh dikendalikan melalui kaedah bersemuka.
  2. PPT bertanggungjawab untuk memastikan pelajar dimaklumkan berkenaan penyelarasan yang hendak dilaksanakan terutama yang berkaitan dengan perubahan aspek penilaian. Ini supaya pelajar dapat membuat persediaan awal dari segi mental dan fizikal.

 

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (PdP)

  1. Merujuk kepada Advisory Note 1/2020 ‘Panduan Pengendalian Program Pendidikan Tinggi Semasa dan Pasca PKP COVID-19’ yang dikeluarkan MQA pada 29 Mac 2020, PPT (yang mengendalikan program secara konvensional) telah diberikan fleksibiliti untuk mengendalikan PdP bagi kursus-kursus secara online/ remote learning. Tindakan ini berupa langkah sementara sehingga keadaan kembali pulih. Mengambil kira normal baharu dan pemakluman terkini KPT, PPT perlu meneruskan pengendalian secara online/ remote learning sehingga tempoh yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

  2. Dalam pada itu, MQA mengambil maklum terdapat kursus-kursus yang kritikal dilaksanakan secara bersemuka dan sukar digantikan secara online/ remote learning terutama kursus-kursus yang bersifat teknikal, klinikal, penyelidikan kerja makmal atau lain-lain aktiviti yang melibatkan keperluan kompetensi kemahiran yang spesifik. Dalam hal ini, PPT dinasihatkan untuk secara kreatif dan berinovasi dalam menyusun kursus-kursus di semester yang terkesan seperti berikut:

i. meningkatkan tumpuan penawaran kursus-kursus yang melibatkan teori atau berklasifikasi sebagai kursus asas / Mata Pelajaran Umum (MPU)/ kursus universiti/ lain-lain yang sesuai dikendalikan secara efektif melalui online/ remote learning sepenuhnya terutamanya kepada pelajar di awal peringkat pengajian. Ini termasuk pelajar antarabangsa pengambilan baharu yang masih belum boleh datang ke Malaysia atas sekatan perjalanan;

ii. kursus-kursus yang melibatkan aktiviti praktikal/ amali boleh disesuaikan dengan menggunakan pendekatan virtual simulationvirtual labanimation, gamification atau kaedah laindan

iii. komponen pembelajaran yang kritikal dilaksanakan bersemuka yang tidak dapat diganti melalui kaedah online/ remote learning dianjakkan ke semester akan datang atau dikendalikan selaras dengan mana-mana kebenaran khas pihak berkuasa.

  1. PPT juga digalakkan untuk mempertimbangkan berkongsi kemudahan pembelajaran dengan pelajar-pelajar daripada PPT lain yang tinggal di kawasan berdekatan. Ini akan memberikan lebih impak positif dalam membantu pencapaian kemahiran pelajar-pelajar tersebut. Namun, pelaksanaan ini perlu disesuaikan dengan normal baharu yang ditetapkan.

  2. Dalam membuat penyusunan dan penyelarasan semula sistem pengajian, PPT hendaklah mengutamakan pelajar-pelajar yang bakal bergraduat dan memastikan pelajar-pelajar tersebut melengkapkan kesemua keperluan program termasuk aktiviti praktikal dan pendedahan industri.

 

WORK-BASED LEARNING (WBL)/ 2U2i/ LATIHAN INDUSTRI

  1. Dengan keadaan semasa, terdapat industri yang sedang giat memulihkan ekonomi mereka. Lantaran itu, terdapat situasi di mana industri keberatan menerima pelajar latihan industri. Oleh yang demikian, PPT boleh membuat pindaan semester latihan industri ke semester berikutnya atau menggantikan komponen industri/ latihan industri tersebut kepada alternatif lain yang bersesuaian bergantung kepada bidang program dan memenuhi hasil pembelajaran.

  2. PPT digalakkan untuk memberi penekanan kepada pendedahan industri supaya pelajar mendapat manfaat yang optimum untuk persediaan mereka di alam kerjaya. Kaedah lain yang boleh dipertimbangkan adalah seperti industry-based project, problem-based project, topical studies atau research project. PPT juga boleh menggabungkan beberapa aktiviti bagi memastikan hasil pembelajaran yang ditetapkan adalah tercapai. PPT boleh mempelbagaikan kaedah pelaksanaan dengan membahagikan topik-topik yang besar kepada komponen yang lebih kecil mengikut hasil pembelajaran kursus dan dilaksanakan sendiri oleh pelajar dengan penyeliaan staf akademik dan/ atau pengamal industri.

  3. PPT yang mempunyai program yang sama tetapi dijalankan dalam dua mod yang berbeza iaitu mod kerja kursus dan industri (2u2i) atau WBL, boleh mempertimbangkan untuk menukarkan pelajar mod industri kepada mod kerja kursus. Pengubahsuaian ini adalah untuk memastikan pelajar dapat meneruskan program dalam situasi yang mencabar ini. PPT boleh menggantikan kursus latihan industri selaras dengan perkara di atas.

 

MICRO-CREDENTIAL (MC)

  1. PPT juga boleh mempertimbangkan pengubahsuaian online/ remote learning kursus-kursus berkonsep microlearning dan micro-credential (MC) dalam bentuk pelaksanaan unit pembelajaran yang lebih kecil bagi meningkatkan aspek personalization. Ini akan menawarkan fleksibiliti kepada pelajar dalam memilih kursus MC yang ingin diikuti mengikut kesesuaian dan kemampuan mereka.

  2. MC boleh ditawarkan kepada pelajar antarabangsa di luar negara yang belum boleh datang ke Malaysia dan mendaftar di kampus disebabkan oleh sekatan perjalanan.

  3. Kursus MC yang telah diikuti dengan jayanya boleh digunakan oleh pelajar untuk mendapatkan pindahan kredit ke program yang akan diikuti (berdasarkan tahap dalam Kerangka Kelayakan Malaysia).

  4. Selain daripada itu, MC juga boleh ditawarkan bagi memperkukuhkan hasil pembelajaran yang dikenalpasti terjejas semasa pelaksanaan PKP dan PKPB.

 

PENILAIAN PELAJAR

  1. PPT dibenarkan membuat penyelarasan dan pengubahsuaian terhadap kaedah penilaian berterusan atau penilaian akhir bentuk baharu yang dijajarkan dengan hasil pembelajaran yang telah ditetapkan. Penggunaan kaedah penilaian alternatif perlu dipraktiskan agar hasil pembelajaran dapat diukur dengan berkesan. Penyelaras program atau Subject Matter Expert (SME) hendaklah menentukan kesesuaian dan kecukupannya.
  2. PPT digalakkan untuk meneruskan Penilaian Formatif mengikut kesesuaian di mana maklum balas atau dapatan daripada penilaian ini akan dapat membantu pelajar mengetahui kelemahan dari aspek pemahaman/ penguasaan topik untuk diperbaiki. Maklum balas melalui penilaian formatif turut membantu staf akademik untuk merancang dan mengendalikan PdP dengan lebih berkesan.

  3. Untuk Penilaian Sumatif, PPT boleh mengenalpasti kaedah penilaian berterusan dan penilaian akhir yang bersesuaian bagi menentukan pengukuran hasil pembelajaran pelajar.

 

GRED PEMARKAHAN PELAJAR

  1. PPT diberikan autonomi untuk menentukan sistem penggredan yang bersesuaian bagi menggambarkan pencapaian kompetensi pelajar terhadap satu-satu kursus semasa tempoh krisis. Namun, PPT mestilah mempunyai sistem penggredan yang telus dan sebarang perubahan hendaklah dimaklumkan dan diperjelaskan kepada pelajar. PPT juga boleh mempertimbangkan kaedah yang membenarkan pelajar menentukan cara penggredan tersebut dinyatakan di dalam transkrip mereka.

 

SYARAT KEMASUKAN PELAJAR

  1. MQA telah mengeluarkan pemakluman bertarikh 13 April 2020 bertajuk ‘Panduan Kemasukan Pelajar Tempatan Akibat Penangguhan/ Pembatalan Peperiksaan Sekolah Menengah Luar Negara dan Ujian Kompetensi Bahasa Inggeris Tempatan/ Antarabangsa Disebabkan Penularan COVID-19’           yang mana PPT dibenarkan untuk membuat pengambilan pelajar tempatan secara tawaran bersyarat mengikut kriteria yang dinyatakan.    

  2. Pengambilan pelajar luar negara adalah berdasarkan syarat kemasukan yang ditetapkan. Mengambil kira pembatalan/ penangguhan peperiksaan sekolah menengah luar negara, pada prinsipnya, gred pelajar dan sijil yang dikeluarkan secara rasmi oleh pihak berkuasa negara berkaitan atau badan persijilan terbabit boleh diterima oleh PPT tempatan bagi tujuan kemasukan pelajar antarabangsa.

  3. Pengambilan pelajar antarabangsa juga adalah berdasarkan ketetapan kompetensi Bahasa Inggeris yang ditetapkan oleh KPT melalui surat berkenaan Syarat Kompetensi Bahasa Inggeris Kepada Pelajar Antarabangsa bertarikh 9 Disember 2019. Berdasarkan pemerhatian MQA, beberapa ujian kompetensi antarabangsa yang ditetapkan oleh KPT seperti Test of English as a Foreign Language Internet-Based Test (TOEFL iBT) dan International English Language Testing System (IELTS) telah menawarkan ujian dalam talian yang boleh diambil oleh calon di rumah masing-masing. Pearson PTE Academic juga ditawarkan di sejumlah lokasi di seluruh dunia termasuk Malaysia dengan kehadiran bilangan calon yang terhad.

  4. Dalam pada itu, PPT boleh melaksanakan pengecualian pencapaian kompetensi Bahasa Inggeris kepada pelajar tempatan berdasarkan Pemakluman Mengenai Keputusan Dasar-Dasar Baharu IPTS yang dikeluarkan JPT bertarikh 27 Januari 2017 seperti berikut:

 i. Menggunakan kelayakan akademik dari institusi yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar sepenuhnya; atau

ii. Telah mengikuti pengajian di Malaysia dan bercadang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dengan tertakluk kepada perkara (i); atau

iii. Mempunyai kelayakan akademik di peringkat O-Level atau A-Level.

 

KEBAJIKAN PELAJAR

  1. PPT yang melaksanakan PdP secara online/ remote hendaklah memastikan kebajikan pelajar dititikberatkan. Ini termasuk jadual waktu pengajian mereka hendaklah mengambil kira keadaan dan situasi semasa. PPT juga perlu memberikan sokongan kepada pelajar dengan menyediakan panduan dan maklumat yang lengkap untuk membantu pelajar menyesuaikan diri dengan perubahan kaedah pembelajaran secara konvensional kepada secara

    online/ remote.

  2. PPT hendaklah memastikan pelaksanaan PdP secara online/ remote dapat dimanfaatkan oleh semua pelajar. Sekiranya pelajar mengalami kesulitan untuk mengikuti pembelajaran secara online/ remote, PPT hendaklah mengenal pasti kesulitan yang dihadapi oleh pelajar. Antara mekanisme yang boleh dipertimbangkan adalah menyediakan kemudahan pinjaman alat peranti mudah alih dan internet bagi membolehkan pelajar mengikuti program pengajian dengan efisien. PPT hendaklah sentiasa mendapatkan maklum balas pelajar dari semasa ke semasa supaya pembelajaran dapat berlaku/ berlangsung secara berkesan.

 

STAF AKADEMIK

  1. PPT perlu memastikan staf akademik diberikan panduan, bimbingan dan sokongan yang bersesuaian dalam merancang dan melaksanakan pengubahsuaian secara online/ remote learning. Staf akademik hendaklah dibekalkan dengan kemudahan yang bersesuaian untuk memastikan pengajaran yang dijalankan secara online/ remote berjalan dengan lancar dan berkesan. Ini termasuk membenarkan staf akademik menggunakan kemudahan di kampus sekiranya diperlukan.

 

JAMINAN KUALITI DALAMAN

  1. Pusat/ Unit Jaminan Kualiti Dalaman PPT bertanggungjawab memantau pelaksanaaan dan keberkesanan penyampaian program yang dijalankan secara online/ remote secara berterusan. Ini bagi memastikan isu atau masalah yang timbul semasa pengendalian program secara online/ remote learning dapat diatasi dan ditambah baik.
  2. Pusat/ Unit Jaminan Kualiti Dalaman PPT perlu memantau keberkesanan pelbagai aspek tindakan pasca krisis setelah keadaan kembali pulih. Tindakan tersebut boleh berbentuk program pemulihan, pembetulan atau penambahbaikan berdasarkan keperluan dan boleh dilaksanakan secara berperingkat.

 

KAEDAH PENYAMPAIAN PROGRAM

  1. Pengubahsuaian pelaksanaan PdP secara konvensional kepada online/ remote sepenuhnya tidak mengubah kaedah penyampaian program tersebut kepada kaedah Open and Distance Learning (ODL). Pengubahsuaian ini merupakan kebenaran khas kepada semua PPT secara interim dalam membantu PPT memberi tumpuan sepenuhnya untuk melaksanakan PdP yang terbaik dalam situasi yang mencabar ini.

  2. Tidak dapat dinafikan perubahan dan pengubahsuaian ke atas program konvensional yang dilaksanakan terutama secara online/ remote dalam tempoh krisis ini akan dapat memberikan impak yang positif kepada PPT untuk menawarkan program secara ODL dan MC dengan lebih serius di masa akan datang.

 

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat melalui Sistem Pengurusan Pertanyaan dan Aduan di www2.mqa.gov.my/sppav2/.

AGENSI KELAYAKAN MALAYSIA (MQA)

29 MEI 2020

 

SENARAI DOKUMEN BERKAITAN YANG BOLEH DIRUJUK:

 1. Code of Practice for Programme Accreditation: Open and Distance Learning (COPPA:ODL) Second Edition

https://www2.mqa.gov.my/qad/garispanduan/COPIA/2019/Final%20COPPA-ODL%202nd%20edition%204.12.19.pdf

 2. Guidelines to Good Practices: Work-Based Learning (WBL)

https://www2.mqa.gov.my/qad/PS/2019/GGP%20WBL%20BI%2023%20Jan%202019-merged.pdf

 3. Guideline on Micro-Credential

https://www2.mqa.gov.my/QAD/garispanduan/Guideline%20on%20Micro-credential%2010%20Mei.pdf

 4. Panduan Pengendalian Program Pendidikan Tinggi Semasa dan Pasca Perintah Kawalan Pergerakan COVID-19 bertarikh 29 Mac 2020

https://www.mqa.gov.my/pv4/document/advisoryNotes/Advisory%20Note%20No.%201%202020%20%20Panduan%20Pengendalian%20Prog%20PPT%2020200329.pdf

 5. Panduan Kemasukan Pelajar Tempatan Akibat Penangguhan/ Pembatalan Peperiksaan Sekolah Menengah Luar Negara dan Ujian Kompetensi Bahasa Inggeris Tempatan/ Antarabangsa Disebabkan Penularan COVID-19 bertarikh 13 April 2020

https://www.mqa.gov.my/pv4/document/advisoryNotes/Advisory%20Note%20No.%202%20Panduan%20Kemasukan%20Pelajar.pdf

 

 

 

 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 32949
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 27 Mac 2024, 16:20:33.