Advisory Note Pemakluman Kepada Pelajar Di Luar Negara

Seperti yang kita sedia maklum, penularan wabak jangkitan COVID-19 yang sedang berlaku di hampir seluruh dunia telah menjadi isu dan cabaran utama, bukan sahaja Kerajaan Malaysia tetapi juga seluruh masyarakat dunia.  Keadaan ini sudah semestinya menimbulkan kebimbangan juga dalam kalangan ibu bapa terutamanya yang mempunyai anak-anak yang sedang melanjutkan pengajian di luar negara.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) amat prihatin dengan keadaan semua pelajar Malaysia di luar negara dan sentiasa berhubung rapat dengan wakil-wakil Education Malaysia di seluruh dunia untuk mendapatkan laporan harian berkenaan pelajar-pelajar semua. 

Buat masa ini, pelajar adalah dinasihatkan untuk kekal berada di negara pengajian mereka sekarang, sentiasa menurut arahan daripada pihak universiti dan pihak berkuasa tempatan di negara berkenaan serta mengikuti perkembangan terkini yang sahih berkaitan perkara ini.

Pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi satu kenyataan pada 29 Mac 2020, telah memaklumkan bahawa kesemua pelajar tajaan JPA di luar negara, dinasihatkan untuk kekal berada di negara pengajian masing. Begitu juga dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerusi satu kenyataan pada 28 Mac 2020, telah memaklumkan bagi negara-negara yang tidak menyarankan pelajar asing untuk pulang ke negara masing-masing,mereka meminta supaya pelajar mereka terus kekal di negara pengajian. Pertimbangan ini dibuat selepas menilai risiko semasa pergerakan dan penerbangan serta menilai isu-isu logistik berkaitan secara mendalam. Semua pelajar tajaan persendirian di luar negara turut dikehendaki untuk terus kekal berada di negara pengajian mereka.

Walau bagaimanapun, bagi pelajar yang berada di dalam kategori rakya tMalaysia yang terkandas, pihak Wisma Putra dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kewangan Malaysia dan semua Perwakilan Malaysia di luar negara akan menjalankan usaha membawa pulang mereka ke Malaysia.

Rakyat Malaysia yang terkandas merujuk kepada warganegara Malaysia yang kebetulan berada di luar negara bagi tujua nkerja, urusan keluarga atau bercuti, atau apa-apa sebab dan mempunyai tiket penerbangan pulang ke Malaysia, namun penerbangan pulang mereka telah dibatalkan dan tiada alternatif untuk pulang ke Malaysia, disebabkan oleh sekatan-sekatan perjalanan yang dikuatkuasa bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

KPT ingin menasihatkan agar pelajar semua sentiasa menjaga kebersihan dan kesihatan diri, bertenang dan tidak panik.  Sila berhubung dengan wakil-wakil Education Malaysia dan Wisma Putra di negara pengajian masing-masing jika ada sebarang masalah atau penjelasan yang diperlukan.

KPT juga ingin menarik perhatian bahawa walaupun ketetapan pada masa ini adalah untuk tidak membenarkan pelajar-pelajar pulang, namun sekiranya terdapat pelajar yang masih ingin pulang ke Malaysia, KPT ingin memaklumkan bahawa urusan tersebut adalah di bawah tanggungan dan tanggungjawab para pelajar sendiri atau keluarga masing-masing. Dalam konteks yang sama, mereka harus memaklumkan kepada wakil-wakil Education Malaysia dan kedutaan di negara pengajian mereka.

Dalam hal ini, semua pelajar yang tiba di tanah air adalah tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh MKN, KKM dan NADMA seperti menjalani saringan kesihatan di pintu masuk antarabangsa negara dan kuarantin selama 14 hari di pusat-pusat kuarantin yang telah ditetapkan serta mematuhi arahan selanjutnya yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI

3 APRIL 2020

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 11037
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 24 April 2024, 16:08:46.