logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

Belanjawan 2021 : Perkasa Pembangunan Pendidikan Tinggi Negara


Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyambut baik dan amat berterima kasih atas keprihatinan Kerajaan terhadap pembangunan pendidikan tinggi negara yang dilihat semakin meningkat dari segi pencapaian terutamanya di peringkat antarabangsa melalui penarafan dalam QS World University Ranking.

Dalam belanjawan yang bertemakan Belanjawan 2021: Teguh Kita, Menang Bersama ini, KPT telah diperuntukkan sebanyak RM14.4 bilion dengan Perbelanjaan Mengurus RM11.58 bilion dan Perbelanjaan Pembangunan RM2.82 bilion.

Peruntukan ini dapat membantu KPT dan agensi di bawah KPT seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melaksanakan program-program pembangunan pendidikan tinggi dan kebolehpasaran graduan.

Terdapat lapan (8) inisiatif belanjawan yang telah dibentangkan dalam usaha membantu graduan dan KPT seperti yang berikut:

  1. RM150 juta bagi program KPT-PACE, iaitu graduan baharu ditawarkan baucar RM3,000 seorang untuk mengikuti kursus sijil profesional. Program ini dijangka akan memberikan manfaat kepada 50,000 graduan.
  2. RM100 juta bagi pembiayaan Skim BSN MyRinggit-i COMSIS, iaitu skim pinjaman komputer riba dengan kadar keuntungan hanya serendah dua (2) peratus setahun.
  3. RM50 juta untuk menaik taraf talian akses Malaysian Research & Education Network - MyREN kepada 500Mbps hingga 10Gbps bagi memastikan kesalinghubungan internet di Institusi Pendidikan Tinggi mampu menyokong keperluan semasa.
  4. RM50 juta bagi projek membaik pulih infrastruktur dan peralatan usang di universiti-universiti awam.
  5. RM50 juta bagi perolehan peralatan, bekalan ujian makmal dan ubat-ubatan di Hospital Pengajar Universiti.
  6. RM29 juta bagi melaksanakan program-program TVET di bawah KPT yang turut merangkumi inisiatif pendidikan Islam dan pembelajaran sepanjang hayat kepada 15 ribu pelajar di institusi tahfiz dan sekolah pondok.
  7. Pelepasan cukai sehingga RM8,000 bagi simpanan bersih Skim Simpanan Pendidikan Nasional dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2022.
  8. Galakan cukai bagi aktiviti pengkomersialan hasil R&D oleh institusi penyelidikan awam diperluaskan kepada Institusi Pendidikan Tinggi Swasta.

Peruntukan-peruntukan ini amat bertepatan dengan usaha KPT dalam menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 - 2025 (Pendidikan Tinggi) - PPPM (PT) 2015 - 2025.

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI
6 NOVEMBER 2020

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 16937
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 18 April 2024, 12:43:09.