Buku-buku Malaysia Diterjemah, Terokai Pasaran Jepun

TOKYO, Jepun, 6 November 2018 - YB Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan hari ini telah melancarkan lima buku terbitan Malaysia yang telah diterjemahkan ke bahasa Jepun. Majlis pelancaran berlangsung di Kinokuniya Shinjuku, Tokyo.

YB Dr. Maszlee berkata, usaha ini merupakan inisiatif kerjasama antara Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Japan Malaysia Association (JMA) dengan sokongan tiga universiti awam iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Turut hadir Presiden Kinokuniya Co. Ltd., Encik Masashi Takai dan Pengarah Eksekutif JMA, Encik Takakazu Ogawa. Profesor Dato’ Dr. Nor Aeni Mokhtar, Naib Canselor UMT; Profesor Madya Dato' Dr. Noraien Mansor, Pengarah Penerbit UMT; Puan Kamariah Mohd Saidin, Pengarah Penerbit UPM dan Puan Siti Rafiah Sulaiman, Ketua Jabatan Khidmat Pengurusan ITBM hadir sama.

Judul buku-buku yang dilancarkan terdiri daripada Islamic Finance Fundamentals With Applications in Malaysia, The Basics of Islamic Finance With Applications in Malaysia, Hang Tuah: Catatan Okinawa, Halal: All That You Need To Know dan Beautiful Malaysia.

YB Dr. Maszlee berkata, pelancaran lima judul itu merupakan permulaan kepada lebih banyak lagi projek terjemahan dan penerbitan buku-buku Malaysia ke bahasa Jepun yang akan diusahakan dalam masa terdekat.

Katanya, usaha terjemahan dan penerbitan buku ini penting untuk mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Jelas beliau, perkara itu bertepatan dengan kempen Dekad Membaca Kebangsaan yang digerakkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan KLBACA! iaitu kempen Kuala Lumpur ke arah Kota Buku Dunia 2020.

"KPM akan teruskan usaha untuk memastikan aktiviti penterjemahan bergiat lebih aktif termasuk terjemahan buku-buku dalam bahasa Melayu ke bahasa asing serta dari bahasa asing ke bahasa Melayu. Ini akan meningkatkan ekonomi penterjemahan. Dalam masa yang sama akan ada pemindahan pengetahuan dalam bidang penterjemahan. Ini penting supaya semua kajian kita dirujuk termasuk karya universiti- universiti tempatan," kata beliau.

Malah kata beliau, KPM akan memastikan universiti-universiti awam menjadi penggerak utama program terjemahan dengan kerjasama ITBM.

"Selain itu, pelancaran hari ini juga membuka peluang kepada sektor halal Malaysia untuk berkembang termasuk program latihan untuk industri halal di Jepun dan negara- negara lain selepas ini. Peluang ekonomi yang besar kepada kedua-dua negara," kata YB Dr. Maszlee.

Menurut beliau, satu Memorandum Persefahaman (MoU) turut ditandatangani antara ITBM, JMA dan Kinokuniya Jepun bagi pengedaran buku-buku terbitan ITBM dan JMA di kedai-kedai buku terpilih Kinokuniya di Jepun.

Melalui MoU ini, buku-buku hasil kerjasama ITBM dan JMA boleh didapati di pasaran Jepun, sekali gus menyebar luas karya penerbitan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Program pelancaran ini diadakan sempena lawatan kerja YAB Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke Jepun.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
6 November 2018

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 9307
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Selasa 23 April 2024, 10:59:17.