logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

KEMASUKAN PELAJAR KE INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI 2021


Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 23 Disember 2020 telah meluluskan cadangan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk membenarkan pelajar tempatan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) kembali ke kampus secara berfasa mengikut IPT masing-masing seawal 1 Mac 2021.

Bagi pelajar dari Zon Merah, kemasukan pelajar adalah 10 hari lebih awal untuk menjalani proses pengasingan demi memastikan mereka bebas COVID-19. Sementara itu, bagi IPT yang terletak di Sabah dan Sarawak, kemasukan pelajar tertakluk kepada prosedur yang diguna pakai oleh kerajaan negeri masing-masing.

MKN juga telah meluluskan cadangan KPT untuk membenarkan kemasukan semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu di IPTA dan IPTS KECUALI dari United Kingdom seawal 1 Januari 2021. Pelajar antarabangsa perlu memenuhi syarat kuarantin wajib selama 10 hari sebelum masuk ke kampus.

Keputusan membenarkan kemasukan pelajar ke IPT secara fizikal adalah bagi membolehkan pelajar tempatan dan antarabangsa mengikuti aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara hibrid, iaitu secara bersemuka dan dalam talian. Keputusan ini juga selari dengan hasrat kerajaan untuk memastikan kualiti pendidikan tinggi negara terjamin.

Kementerian menyeru agar pelaksanaan aktiviti akademik di kampus dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan dan mengutamakan langkah keselamatan serta mengamalkan pembudayaan norma baharu seperti sentiasa memakai pelitup muka, memakai cecair pembasmi kuman serta menjaga penjarakan fizikal.

Para pelajar boleh menghubungi Bilik Gerakan COVID-19 KPT yang dibuka 24 jam di talian 03-8870 6777/6949/6623/6124, melayari laman web IPT atau terus menghubungi IPT masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai tarikh dan jadual kemasukan ke IPT.

DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD
Menteri Pengajian Tinggi
31 Disember 2020

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media Kemasukan Pelajar ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2021 (28 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 9471
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 24 April 2024, 16:08:46.