logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

BELANJAWAN 2025:
RM18.1 BILION PACU PENDIDIKAN TINGGI NEGARA


Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas pembentangan Belanjawan 2025 pada petang tadi yang bertemakan ‘Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat'.

Berdasarkan pengumuman Belanjawan 2025, KPT telah diperuntukkan sebanyak RM18,097,086,800 yang meliputi RM13,846,253,700 (Perbelanjaan Mengurus) dan RM4,250,833,100 (Perbelanjaan Pembangunan). Peningkatan keseluruhan peruntukan KPT sebanyak 10.76 peratus berbanding tahun 2024 (RM16,339,467,900) menggambarkan peranan penting KPT sebagai pemangkin kerangka Ekonomi MADANI melalui bidang pendidikan tinggi.

Melalui belanjawan ini, KPT akan terus memacu kecemerlangan pendidikan tinggi melalui inisiatif Belanjawan 2025 yang terkait langsung dan tidak langsung dengan KPT seperti yang berikut:

1. Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan peruntukan sebanyak RM7.5 bilion, yang antara lain melibatkan:

i. Potongan cukai kepada syarikat yang memberi sumbangan peralatan dan mesin baharu kepada ILKA, politeknik atau kolej vokasional berdaftar mulai tahun taksiran 2025 hingga 2027; dan

ii. Peruntukan sebanyak RM55 juta kepada Giat MARA dan Kolej Komuniti bagi tempoh 5 tahun untuk mengupayakan 10,000 anak-anak huffaz dari institusi tahfiz dan pondok dengan latihan kemahiran.

2. Penawaran biasiswa, pinjaman dan elaun pendidikan dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM4 bilion;

3. Penambahbaikan prasarana, penggantian peralatan usang dan perluasan capaian internet di semua Universiti Awam dengan peruntukan sebanyak RM635 juta;

4. Peningkatan dana R&D sebanyak RM600 juta di bawah KPT dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI);

5. Pembiayaan pendidikan PTPTN berjumlah RM500 juta khusus kepada pelajar yang mengikuti pengajian dalam bidang STEM di IPTA;

6. Peluasan pendidikan berkaitan Kecerdasan Buatan (AI) ke semua Universiti Penyelidikan dengan peruntukan sebanyak RM50 juta melibatkan:

i. Universiti Malaya (UM): AI bidang perubatan bagi menangani penyakit kronik seperti kanser;
ii. Universiti Putra Malaysia (UPM): AI bidang pengkomputeran kuantum melalui Penubuhan Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia dengan kerjasama NACSA;
iii. Universiti Sains Malaysia (USM): AI bidang semikonduktor bagi meningkatkan kerjasama termasuk dengan Intel dan Infineon; dan
iv. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM): AI bidang alih bahasa dalam usaha mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

7. Peningkatan peruntukan sebanyak RM20 juta kepada UiTM bagi melahirkan lebih ramai jurutera E&E;

8. RM10 juta kepada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan INCEIF University dalam meningkatkan lagi kefahaman serta pemakaian nilai-nilai universal ekonomi Islam.

9. Bagi menggalakkan tabungan pendidikan tinggi:

i. Kerajaan bercadang supaya pelepasan cukai individu ke atas simpanan bersih dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dilanjutkan untuk tempoh tiga tahun lagi.
ii. Peluasan rantaian pemberian geran padanan sehingga RM5,000 ke atas simpanan dalam akaun simpan SSPN pelajar yang melanjutkan pengajian di IPT kepada keluarga berpendapatan sehingga RM6,000 melalui Ikhtiar Geran Padanan Ihsan (GAPAI).
iii. PNB laksanakan Program Celik MADANI yang memanfaatkan 100,000 pelajar baharu di IPT. Sebanyak RM5 juta bagi pembukaan Akaun ASB (RM50 seorang).

10. Peruntukan Kampung Angkat MADANI:

i. RM200 juta bagi memperluas Kampung Angkat MADANI di 200 kampung seluruh negara yang diterajui pengurusan kementerian dan jabatan; dan
ii. RM100 juta untuk Universiti Awam bagi pelaksanaan Kampung Angkat MADANI serta institusi TVET bagi perkhidmatan seperti baik pulih rumah dan pendawaian elektrik kepada komuniti;

11. Penambahbaikan capaian internet melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meliputi Universiti Awam, sekolah, kem-kem tentera, dan Institusi MARA.

12. Pembelajaran sepanjang hayat, kerajaan memperkenalkan Program APEL Q di bawah kendalian INTAN. Kerajaan akan menanggung kos pengajian sebanyak 50 peratus atau maksimum RM15,000 kepada penjawat awam berkhidmat melebihi 15 tahun.

Kementerian juga menyambut baik langkah pengurangan subsidi pendidikan secara berperingkat bagi kumpulan pendapatan 15 peratus teratas dan ia dapat dimanfaatkan untuk penambahbaikan prasarana IPTA.

Selain itu, kementerian turut menyumbang kepada pelaksanaan perkhidmatan klinik bergerak melalui Hospital Pengajar Universiti seperti rawatan saringan mamogram oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya bagi memenuhi keperluan masyarakat desa dan pedalaman yang terpaksa menempuh perjalanan panjang untuk keluar.

Kementerian akan terus komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif dan program bagi menyokong pencapaian aspirasi Belanjawan 2025: ‘Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat'.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
18 Oktober 2024

Muat Turun:

  pdf Kenyataan Media - Belanjawan 2025: RM18.1 Bilion Pacu Pendidikan Tinggi Negara (145 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 7394
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 06 Disember 2024, 10:19:49.

logo-sirim