Logo KPT 200x150   Black

KENYATAAN MEDIA

BERKAITAN STATUS PELAJAR MALAYSIA DI BALI, INDONESIA BERIKUTAN LETUSAN GUNUNG BERAPI GUNUNG AGUNG


Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil perhatian dan sentiasa menjaga kebajikan serta kesejahteraan para pelajar Malaysia di dalam dan di luar negara. Kementerian juga mengambil maklum akan perkembangan Gunung Agung di Bali, Indonesia yang mula meletus pada hari Ahad, 26 November 2017 dan Status IV (AWAS) iaitu status berbahaya dan tertinggi yang dikeluarkan oleh Badan-Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), Indonesia.

Sehingga 27 November 2017, sejumlah 155 orang pelajar Malaysia telah berdaftar dengan Education Malaysia (EM) Indonesia di mana kesemua mereka adalah pelajar bagi program perubatan di Universitas Udayana, Bali. Seramai 139 orang pelajar masih berada di Bali manakala 16 orang pelajar telah kembali ke Malaysia. Kementerian ini telah mengambil tindakan segera dan proaktif dengan memastikan kesiapsiagaan EM Indonesia bagi mengaktifkan proses evakuasi sekiranya perlu dengan melibatkan bantuan logistik kepada para pelajar untuk keluar dari Kepulauan Bali ke kawasan yang selamat seperti di Kota Surabaya, keperluan penginapan sewaktu fasa evakuasi, pengecualian kuliah dan keperluan-keperluan lain bagi menjamin keselamatan para pelajar.

Kementerian juga telah dan sedang membuat pemantauan rapi setiap hari dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPM) Cawangan Bali dan juga Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta melalui Jawatankuasa Keselamatan yang turut disertai oleh wakil Konsul Kehormat Malaysia di Bali. Sehingga kini status keberadaan para pelajar yang terlibat adalah selamat memandangkan Gunung Agung berada dalam jarak 61 kilometer dari Denpasar, Bali dan mereka masih menjalankan aktiviti-aktiviti harian seperti biasa. Walaubagaimanapun, para pelajar juga diberi peringatan agar mengurangkan aktiviti luar bagi mengelakkan sebarang implikasi luar jangka.

Sekian.

Kementerian Pendidikan Tinggi
PUTRAJAYA
30 November 2017

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 8368
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 27 Mac 2024, 16:20:33.