KENYATAAN MEDIA
DATUK PROF. EMERITUS DR. OSMAN BAKAR DILANTIK
REKTOR UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA MALAYSIA KE-7
Sukacita dimaklumkan bahawa Datuk Prof. Emeritus Dr. Osman Bakar telah dilantik sebagai Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang ke- 7 bagi tempoh dua (2) tahun berkuat kuasa mulai 23 September 2024 hingga 22
September 2026.
Datuk Prof. Emeritus Dr. Osman, Penyandang Kursi Al-Ghazali, Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), UIAM adalah merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang Matematik dari University of London, United Kingdom dan Ijazah Kedoktoran dalam bidang Falsafah Islam dari University of Temple, Amerika Syarikat.
Beliau merupakan seorang tokoh pemikir Islam yang tersohor di tanah air dan memiliki reputasi kepimpinan dan kesarjanaan dalam bidang Falsafah dan Ketamadunan Islam yang diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sehingga dinamakan sebagai 500 orang Islam paling berpengaruh di dunia pada tahun 2009.
Kementerian yakin dengan pelantikan ini, Datuk Prof. Emeritus Dr. Osman akan dapat mengangkat dan meningkatkan kedudukan UIAM sebagai universiti tersohor dalam peradaban Islam di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Kementerian turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Dato’ Prof. Emeritus Dzulkifli Abdul Razak atas jasa dan bakti beliau sepanjang menerajui UIAM sebelum ini.
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
21 September 2024
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 4125