KENYATAAN MEDIA
FESTIVAL IDEA PUTRAJAYA TAWAR LEBIH 2,000 PELUANG PEKERJAAN DAN KAUNSELING KERJAYA
Lebih 2,000 peluang pekerjaan akan ditawarkan sepanjang berlangsungnya Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula 27 hingga 29 November 2024.
Peluang pekerjaan ini akan ditawarkan melalui Karnival Kerjaya MADANI dengan kerjasama MYFutureJobs melibatkan lebih 100 majikan dari pelbagai industri. Antaranya adalah Air Asia, Standard Chartered, Gentari, Bank Simpanan Nasional (BSN), Malaysia Aviation Group (MAG), dan banyak lagi.
Selain menjadi platform untuk mendapatkan pekerjaan impian, karnival ini juga turut menyediakan perkhidmatan kaunseling kerjaya untuk meningkatkan peluang kejayaan dalam temuduga. Temuduga secara terus turut ditawarkan bagi mereka yang berkelayakan.
Karnival kerjaya ini akan memanfaatkan individu yang mencari pekerjaan serta membuka peluang kepada pelajar tahun akhir pengajian tinggi bagi meneroka peluang apabila bergraduasi kelak sekaligus meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan.
Orang ramai digalakkan membawa salinan resume yang telah dikemaskini, sijil dan dokumen berkaitan setelah membuat pendaftaran di: https://eiscentre.perkeso.gov.my/careerfair/socsocareerfair/daftarjobseeker.php?id=NjM=
Penganjuran Festival Idea Putrajaya yang julung kali diadakan pada tahun 2024 ini merupakan satu inisiatif penting dalam usaha merakyatkan idea dan pendidikan tinggi secara besar-besaran serta mempromosi Malaysia sebagai pusat wacana intelektual dan inovasi di peringkat serantau dan global.
Selain itu ia turut mengumpulkan pakar, pemikir, pemimpin, ahli akademik, industri dan masyarakat umum untuk membincangkan dan berkongsi idea-idea inovatif serta penyelesaian terhadap cabaran-cabaran semasa. Pelbagai pengisian program direncanakan termasuk Sidang Idea Malaysia (forum dan sidang selari); pameran inovasi dan idea kreatif; perkhidmatan; serta karnival kerjaya.
Kementerian Pendidikan Tinggi
19 November 2024
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 3033