logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

INSIDEN NAHAS BAS: KPT SALUR BANTUAN KEWANGAN,
PENGURUSAN PENGEBUMIAN, SOKONGAN PSIKOSOSIAL


Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menzahirkan rasa dukacita dan mengucapkan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa nahas kemalangan jalan raya yang melibatkan pelajar-pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak, awal pagi Isnin.

Insiden melibatkan sebuah bas yang bergerak dari Besut, Terengganu menuju ke UPSI, Tanjung Malim itu telah menyebabkan 15 orang terkorban manakala 29 yang lain mengalami kecederaan dan kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Gerik. Proses mengenalpasti jenazah masih sedang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Saya telah hadir ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh pagi tadi untuk menziarahi keluarga mangsa yang meninggal dunia serta melawat dua mangsa yang cedera dan sedang mendapatkan rawatan di hospital ini. Turut bersama menziarahi dan menyantuni keluarga mangsa ialah Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek serta Naib Canselor UPSI, Dato’ Prof. Dr. Md Amin Md Taff.

KPT ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mengikuti secara dekat insiden yang berlaku dan pada masa sama mahukan segala bentuk bantuan segera digerakkan. Atas sebab itu, KPT menerusi jabatan-jabatan dan agensi di bawahnya termasuk Yayasan Perkasa Siswa (YPS) akan menyalurkan beberapa bantuan seperti berikut:

1. Bantuan khairat kematian oleh YPS kepada setiap waris pelajar yang meninggal dunia sebanyak RM2,000.00;
2. Bantuan bencana oleh YPS bagi setiap pelajar yang cedera sebanyak RM1,000;
3. Mengaturkan sokongan psikososial kepada semua mangsa terutama yang mengalami trauma, kebimbangan dan kerisauan;
4. Menguruskan proses pengebumian kesemua pelajar yang meninggal dunia termasuk van jenazah dan kos berkaitan;
5. Menubuhkan tabung bantuan kemalangan bagi meringankan beban ahli keluarga dan mangsa.

KPT juga bersedia untuk menyalurkan apa jua keperluan lain dan sokongan kepada mangsa serta waris keluarga yang terjejas. Semoga mangsa dan ahli keluarga yang ditimpa musibah agar bertabah serta sabar menghadapi dugaan dan ujian ini. Kepada yang cedera, kita doakan semoga semuanya diberikan kesembuhan. Kepada yang telah kembali ke rahmatullah, didoakan semoga roh mereka dicucuri rahmat Allah.

KPT juga ingin merakamkan penghargaan kepada UPSI yang menguruskan kebajikan dan urusan berkaitan dengan baik bersama Kementerian, agensi kerajaan, pihak berkuasa mahupun masyarakat yang turut terlibat dalam usaha penyelamatan dan rawatan. Kementerian juga memohon orang ramai untuk tidak menularkan video kejadian yang berlaku demi menjaga sensitiviti keluarga dan membolehkan proses siasatan dilakukan sebaiknya.

DR. ZAMBRY ABD KADIR
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI
09 Jun 2025

Muat Turun:

  pdf  Kenyataan Media - Insiden Nahas Bas: KPT Salur Bantuan Kewangan, Pengurusan Pengebumian, Sokongan Psikososial(141 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 976
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 16 Jun 2025, 06:58:06.

logo-sirim