logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

ISU PEMBATALAN PENSIJILAN SEVP UNIVERSITI HARVARD, AMERIKA
SYARIKAT


Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ingin merujuk kepada laporan berhubung tindakan Kerajaan Amerika Syarikat (AS) melalui Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) yang telah membatalkan pensijilan di bawah Program Pelajar dan Pertukaran Pelawat (SEVP) terhadap Universiti Harvard pada 22 Mei 2025.

Keputusan ini yang diambil oleh pentadbiran semasa di AS, pada asalnya menghalang Universiti Harvard daripada mendaftarkan pelajar antarabangsa baharu dan turut memberi tekanan kepada pelajar antarabangsa sedia ada untuk berpindah ke institusi lain bagi mengekalkan status visa mereka.

Kedudukan Pelajar Malaysia
KPT memantau rapat perkembangan isu ini melalui Pejabat Education Malaysia Washington D.C. (EMWDC). Sehingga kini, seramai 54 pelajar Malaysia di Universiti Harvard, terdiri daripada 16 pelajar tajaan dan 38 pelajar pembiayaan sendiri.

Namun, perkembangan terbaharu iaitu Mahkamah Persekutuan telah memutuskan untuk mengekalkan Perintah Tahanan Sementara (TRO) yang difailkan oleh Universiti Harvard ini memberikan kelegaan kepada lebih 6,800 pelajar antarabangsa di universiti berkenaan.

Keputusan ini membolehkan pelajar antarabangsa termasuk pelajar Malaysia meneruskan pengajian mereka tanpa gangguan kepada status visa buat masa ini.

KPT dan Pejabat EMWDC juga telah berhubung dengan pihak penaja yang berkaitan serta pihak berkuasa pendidikan AS. Kementerian juga menyambut baik komitmen mereka untuk bekerjasama memastikan kebajikan pelajar Malaysia sentiasa terpelihara.

Pelajar-pelajar juga diingatkan untuk sentiasa mengemaskini maklumat berkaitan Latihan Praktikal Pilihan (OPT) mereka serta berhati-hati dalam setiap tindakan yang melibatkan urusan imigresen. Buat masa ini juga, tiada pelajar Malaysia yang dilaporkan mengalami masalah atau isu berkaitan rekod Sistem Pelajar dan Pertukaran Pelawat (SEVIS) dan penarikan semula visa mereka.

Bagi pelajar baharu yang akan melanjutkan pengajian ke Universiti Harvard pada kemasukan September 2025, KPT menyarankan agar mereka berhubung secara langsung dengan pihak universiti dan penaja masing-masing untuk mendapatkan perkembangan terkini sebelum membuat sebarang keputusan lanjut.

Penegasan Malaysia terhadap Nilai Pendidikan Global
Malaysia percaya bahawa pendidikan tinggi merentas sempadan adalah landasan penting kepada pembangunan bakat global, pertukaran ilmu dan kerjasama strategik antara negara.

KPT juga menyeru agar semua pihak kekal tenang, bertindak berdasarkan maklumat sahih, dan memberi keutamaan kepada kepentingan pelajar dalam menghadapi isu ini. Selaras dengan konsep Malaysia MADANI, KPT akan terus menyokong pelajar Malaysia di luar negara dalam apa jua keadaan.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
8 Jun 2025

Muat Turun:

  pdf Kenyataan Media - Isu Pembatalan Pensijilan SEVP Universiti Harvard, Amerika Syarikat(277 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1048
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 16 Jun 2025, 06:58:06.

logo-sirim