logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

KPT PANTAU KEADAAN PELAJAR MALAYSIA YANG TERLIBAT DENGAN BANJIR DI QUEENSLAND, AUSTRALIA


Susulan daripada kejadian banjir yang melanda Queensland sejak beberapa hari lalu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui Education Malaysia Australia (EMA) telah mengambil tindakan segera dengan melaksanakan koordinasi bersama-sama agensi-agensi lain seperti Pejabat MARA Australia, Pejabat Pendidikan dan Latihan (PPL) New Zealand, Pejabat Malawakil Canberra, wakil penaja (Petronas dan Kementerian Pendidikan Malaysia) serta Persatuan Pelajar Malaysia - MASCA National & MASCA Queensland bagi menyelaras urusan perpindahan dan kebajikan pelajar-pelajar yang terlibat.

Sehingga kini, kesemua pelajar yang terjejas teruk akibat banjir telah dipindahkan di pusat pemindahan sementara melalui bantuan pihak berkuasa tempatan, pelajar-pelajar dan rakyat Malaysia berstatus penduduk tetap (PR) yang tinggal di Queensland. Pihak EMA melalui wakil pelajar juga telah menasihatkan pelajar-pelajar lain yang terjejas supaya berpindah ke pusat pemindahan sementara memandangkan bahawa kemungkinan bekalan elektrik dan air akan diputuskan. Ia juga bagi memudahkan pemantauan dan koordinasi oleh pihak berkuasa dan Malawakil.  

Sehingga kini keadaan pelajar-pelajar yang terlibat adalah selamat dan pihak EMA sedang memantau situasi tersebut dari semasa ke semasa. Pelajar-pelajar juga diingatkan supaya sentiasa peka dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

KPT akan sentiasa berhubung dengan pihak EMA dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai situasi semasa dan tindakan lanjut yang perlu diambil.

KPT juga ingin menasihati para pelajar dan ibu bapa yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai perkara tersebut supaya menghubungi EMA di talian +61 484 570 400 (Encik Muhammad Afiq) atau +61 420 201 781 (Puan Kartini) atau Bilik Gerakan KPT di talian 03-8870 6777 / 6949 / 6623 / 6628.

Kementerian Pengajian Tinggi
2 Mac 2022

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media KPT pantau keadaan pelajar Malaysia yang terlibat dengan banjir di Queensland Australia (36 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 9954
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 27 Mac 2024, 16:20:33.