KENYATAAN MEDIA
KPT SAMBUT BAIK REFORMASI PERKHIDMATAN AWAM,KOMITED
JAYAKAN AGENDA PENDIDIKAN TINGGI NEGARA
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkaitan reformasi perkhidmatan awam yang memberi perhatian kepada tiga aspek penting iaitu meningkatkan produktiviti dan kecekapan; meningkatkan kesediaan penjawat awam dalam melaksanakan perubahan; serta meningkatkan daya saing negara.
Ia termasuk memperkenalkan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) berkuat kuasa 1 Disember 2024 dengan sistem saraan yang berteraskan prestasi.
Dalam konteks KPT, reformasi ini bakal memberi manfaat dan akan menyaksikan perubahan secara total kepada ekosistem pendidikan tinggi yang memfokuskan kepada pemerkasaan bakat dan pengetahuan bagi mencapai kesejahteraan masyarakat untuk kemajuan negara yang mampan. Ia sekali gus berupaya menjayakan visi KPT iaitu menjadikan Malaysia sebagai hab bakat dan pengetahuan yang unggul.
Sementara itu, KPT juga menyokong penuh pengumuman berkaitan pelarasan gaji penjawat awam dengan julat peningkatan pendapatan antara 16.8% hingga 42.7%, mengambil kira faedah berganda.
Pengumuman ini jelas memberi kegembiraan dan kelegaan kepada lebih 104,000 penjawat awam di seluruh IPTA, jabatan dan agensi di bawah Kementerian dengan peningkatan pendapatan boleh guna seiring cabaran kos sara hidup semasa.
KPT akan terus komited memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap dan produktif selain menjayakan hasrat Kerajaan dalam melaksanakan reformasi pentadbiran secara menyeluruh, meliputi aspek pengoperasian, tahap akauntabiliti dan kecekapan penjawat awam.
DATO’ SERI IR. DR. ZAINI UJANG
KETUA SETIAUSAHA,
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
16 Ogos 2024
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 3553