logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

LAWATAN KERJA YB MENTERI PENDIDIKAN TINGGI KE UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA (UKM)


  1. Saya telah mengadakan lawatan kerja ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 26 Januari 2023. Lawatan ini merupakan lawatan kerja kedua saya ke Universiti Awam selepas merasmikan Karnival Penyelidikan Universiti Malaya 2022 awal tahun ini.
  1. Turut hadir YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Husaini Omar, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi serta pengurusan kanan UKM.
  1. Lawatan kerja ini dimulakan dengan meninjau pameran pencapaian dan keberhasilan alumni serta hasil penyelidikan warga UKM di Bangunan Canselori. Pelbagai kerjasama dan hasil penyelidikan bersama-sama dengan pihak industri ditonjolkan.
  1. Saya seterusnya melancarkan buku “Einstein di Malaya” terbitan Penerbit UKM dan Perkhimatan Solar UKM.
  1. Dalam lawatan kerja ini, saya diberikan taklimat oleh YBhg. Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd. Ekhwan Toriman, Naib Canselor UKM berkaitan status semasa, perancangan serta hala tuju UKM pada masa akan datang. Saya melihat banyak kemajuan telah dicapai oleh UKM.
  1. KPT turut mengalu-alukan hasrat UKM untuk muncul sebagai sebuah UNIVERSITI WATAN bersifat Komprehensif. Dalam hal ini, saya tegaskan keperluan UKM untuk mempunyai matlamat, visi dan misi yang jelas, khususnya dalam meletakkan kedudukan watan di tempat yang lebih tinggi.
  1. UKM harus strategik dan proaktif dalam mengambil bahagian penting dan menjuarai pelbagai perkara dan isu yang melibatkan pemerkasaan negara bangsa dan pembentukan tamadun madani, sejajar dengan bidang tujahannya yang bersifat kebangsaan.
  1. UKM mempunyai peranan besar untuk memberikan pandangan berasaskan ilmu dan rasional dan seterusnya membantu menjayakan konsep Malaysia Madani. Kejayaan UKM akan menyumbang kepada kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara yang bertamadun.
  1. Bagi pihak KPT saya turut merakamkan keterbukaan kementerian untuk menerima sebarang idea dan cara baharu dalam soal mengurus dan memperkasa institusi pendidikan tinggi. Khususnya yang menekankan aspek perkongsian sumber, kerjasama penyelidikan dalam bidang yang menguntungkan negara serta dalam mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengurangkan kos atau bebanan kewangan pelajar di universiti.

DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

26 JANUARI 2023

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media Lawatan Kerja ke UKM.pdf (98 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 6385
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 April 2024, 16:56:01.