KENYATAAN MEDIA
MESYUARAT JAWATANKUASA BERSAMA MALAYSIA- TÜRKIYE PERKUKUH KERJASAMA BAHARU DALAM PENDIDIKAN TINGGI
Saya bersama Tuan Yang Terutama Profesor Erol Özvar, Presiden Majlis Pendidikan Tinggi Türkiye (YÖK), telah bersama-sama mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Malaysia–Türkiye (Joint Committee Meeting) yang pertama berkaitan pendidikan tinggi.
Penganjuran mesyuarat jawatankuasa pertama ini adalah berdasarkan kepada komitmen bersama kedua-dua negara untuk memperkukuh dan mempelbagaikan bentuk kerjasama strategik dalam bidang pendidikan tinggi.
Mesyuarat yang berlangsung bersempena Sidang Kemuncak Pendidikan Tinggi Eurasia (EURIE) 2025 di Istanbul ini turut disertai oleh barisan pengurusan tertinggi pendidikan tinggi Malaysia dan Türkiye, termasuk beberapa Naib Canselor dan Rektor universiti dari kedua-dua negara.
Dalam mesyuarat ini, beberapa ketetapan penting telah dibincangkan dan dicapai secara bersama. Antara perkara yang dipersetujui ialah:
1. Penubuhan Jawatankuasa Kerja Khas Bersama yang terdiri daripada wakil-wakil pegawai kanan kedua-dua negara;
2. Pelaksanaan pembiayaan bersama projek penyelidikan dalam bidang-bidang strategik yang telah dikenalpasti;
3. Latihan dan pembangunan kapasiti untuk pegawai kerajaan, pensyarah, penyelidik dan pelajar dari kedua-dua negara;
4. Perbincangan lanjut mengenai penawaran biasiswa agar dapat dimanfaatkan secara lebih berkesan oleh pelajar Malaysia dan Türkiye;
5. Pengenalpastian bidang tumpuan untuk kerjasama bersama termasuk program akademik dan penyelidikan;
6. Memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta institusi politeknik dengan tumpuan kepada bidang kemahiran utama yang menjadi keutamaan Malaysia dan Türkiye seperti bidang maritim, kejuruteraan dan teknologi;
7. Penyemakan semula Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani sebelum ini bagi memastikan keberkesanan dan kesesuaian pelaksanaannya; dan
8. Persetujuan untuk mengadakan mesyuarat ini secara tahunan, dengan penganjuran secara bergilir antara kedua-dua negara. Malaysia akan menjadi tuan rumah pada tahun 2026.
Mesyuarat Jawatankuasa bersama ini telah mencapai kata sepakat untuk memperluaskan lagi ruang perbincangan dan kerjasama dalam aspek-aspek yang membawa manfaat besar kepada pembangunan pendidikan tinggi kedua-dua negara.
Sebelum itu, saya telah menyampaikan ucaptama dalam Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Pendidikan Tinggi Eurasia (EURIE) 2025 dan menyentuh tentang pentingnya kerjasama serta kolaborasi pendidikan tinggi pada masa kini.
Sempena majlis ini juga, saya bersama Profesor Erol telah menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dan Surat Hasrat (LoI) antara institusi Malaysia dan Türkiye, iaitu:
1. MoU antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan Universiti Ondokuz Mayis, Samsun dan Universiti Istanbul Gedik;
2. MoU antara Universiti Sains Malaysia (USM) dengan Universiti Kocaeli dan Universiti Hacettepe;
3. LoI antara Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dengan Universiti Karabuk dan Universiti Teknikal Istanbul.
Penganjuran mesyuarat jawatankuasa bersama ini merupakan satu lembaran baharu dalam usaha memperkukuh hubungan strategik antara Malaysia dan Türkiye dalam pendidikan tinggi. Kementerian yakin bahawa langkah ini akan membuka lebih banyak peluang kolaborasi berimpak tinggi, termasuk pemindahan ilmu, penyelidikan bersama, dan pembangunan bakat pada skala global.
DR. ZAMBRY ABD KADIR
Menteri Pendidikan Tinggi
9 April 2025
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 3612