logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

PELANTIKAN NAIB CANSELOR UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG (UMP), UNIVERSITI SULTAN ZAINAL ABIDIN (UniSZA) DAN UNIVERSITI MALAYSIA KELANTAN (UMK)


Tahniah dan syabas atas pelantikan YBhg. Dato' Prof. Ts. Dr. Yuserrie bin Zainuddin sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), YBrs. Prof. Dr. Razli Che Razak sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan YBrs. Prof. Dr. Fadzli Adam sebagai Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang baharu, berkuat kuasa mulai 1 Mac 2022.

YBhg. Dato' Prof. Ts. Dr. Yuserrie bin Zainuddin, 60 tahun, merupakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dari Universiti Sains Malaysia dan Ijazah Sarjana dalam bidang Perdagangan dari University of Wollongong, Australia. Beliau seterusnya telah memperoleh Ijazah Kedoktoran dalam Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Manakala YBrs. Prof. Dr. Razli Che Razak, 59 tahun, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Statistik Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Ijazah Sarjana Sains dalam bidang Penyelidikan Operasi dari University of Strathclyde, United Kingdom dan telah memperoleh Ijazah Kedoktoran dalam bidang yang sama dari Universiti Sains Malaysia. Beliau sebelum ini merupakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK.

YBrs. Prof. Dr. Fadzli Adam, 50 tahun, adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniSZA sebelum dilantik ke jawatan Naib Canselor. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Warisan Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan telah memperoleh Ijazah Sarjana Sastera (Teologi dan Pengajian Agama) dan Ijazah Kedoktoran dalam Pengajian Islam dari University of Leeds, United Kingdom.

Semua Naib Canselor di atas telah melalui proses saringan dan temu bual oleh Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor Universiti Awam yang dianggotai oleh para profesional yang arif dalam selok-belok pengurusan sumber manusia dan kepimpinan institusi serta ahli akademik yang berpengalaman menerajui universiti awam dan swasta.

Justeru, Kementerian percaya dengan ketokohan, kredibiliti dan pengalaman yang dimiliki ketiga-tiga Naib Canselor baharu ini mampu menggalas tanggungjawab dan meneruskan kesinambungan kecemerlangan universiti-universiti berkenaan dalam bidang tujahan masing-masing iaitu teknikal, keusahawanan serta sains dan sains sosial.

Kementerian juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada bekas Naib Canselor UMP, YBrs. Prof. Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, bekas Naib Canselor UMK, YBhg. Dato' Prof. Ts. Dr. Noor Azizi Ismail dan bekas Naib Canselor UniSZA, YBhg. Dato' Prof. Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan atas segala sumbangan dan kepimpinan menerajui universiti-universiti tersebut.

DR. NORAINI AHMAD
MENTERI PENGAJIAN TINGGI

1 MAC 2022

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media Pelantikan Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Zainal Abidin (UNISZA) (31 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 15941
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 April 2024, 16:56:01.