logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

PELANTIKAN NAIB CANSELOR UNIVERSITI MALAYSIA SABAH


Sukacita dimaklumkan bahawa YBhg. Datuk Prof. Dr. Kasim Hj. Md. Mansur, 61 tahun, dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang baharu, berkuat kuasa mulai 3 Oktober 2022.

Beliau merupakan anak kelahiran Sabah dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dan Ijazah Sarjana dalam bidang Ekonomi dari Indiana State University, Terra Haute, Amerika Syarikat sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Kedoktoran dalam bidang yang sama di University of Wisconsin, Amerika Syarikat.

YBhg. Datuk Prof. Dr. Kasim Hj. Md. Mansur pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS selama lima (5) tahun dari tahun 2009 hingga 2014. Beliau merupakan seorang tokoh akademik yang sangat disenangi dalam kalangan pegawai dan pelajar UMS. Di peringkat Negeri Sabah pula, beliau memberi sumbangan yang signifikan kepada rakyat Sabah sebagai Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Sabah dan Ahli Lembaga Institute For Development Studies Sabah.

Berdasarkan reputasi kepimpinan institusi yang dimiliki, YBhg. Datuk Prof. Dr. Kasim Hj. Md. Mansur berkemampuan untuk membentuk jaringan hubungan kerja yang harmoni dengan semua pemegang taruh berkepentingan khususnya di Negeri Sabah dan Kementerian yakin beliau mampu meneraju UMS sebagai salah sebuah universiti pilihan di peringkat nasional seterusnya melonjakkan kecemerlangan akademik secara keseluruhan.

Kementerian turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YBhg. Datuk Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin atas jasa bakti beliau menerajui UMS sebelum ini.

Kementerian Pengajian Tinggi
30 SEPTEMBER 2022

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media Pelantikan VC UMS 2022.pdf (50 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 6824
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Selasa 23 April 2024, 10:59:17.